Followers

COPYRIGHT & USE OF IMAGES
All images on this blog are copyright of CUPCAKEKASIH and may not be published without the permission. If you would like to use some of our images feel free to email me at cupcakekasih@yahoo.com

Friday, December 30, 2011

Cerita Hati: Tentang Dhia atau Tentang Mati?

Assalamualaikum

SELEPAS bertahun-tahun, saya masih meminati filem Erin Brockovich (terbitan tahun 2000). Saya rasa, mana mana perempuan berjiwa tegar pasti sealiran dengan saya dalam bab ini. Kalau ada yang bertanya apa hebatnya filem ini, jawapan mudah saja -- semangat juang seorang perempuan; yang juga ibu tunggal yang terlalu kental. Tambahan pula cerita ini berdasarkan kisah benar. Lagilah suka. Semangat macam inilah perempuan semua wajib ada, iaitu tidak mudah mengalah walaupun bergelar janda. Bagi Brockovich hal itu tidak sedikit pun menjadi kudis, apatah lagi sehingga hendak menangis meratap dan berhiba.


Jadi secara peribadi saya berpendapat filem biografi yang diarahkan oleh Steven Soderbergh ini amat sesuai sekali dijadikan filem tema untuk Persatuan Ibu Tunggal supaya mereka tidak terus tertidur dalam igauan sebaliknya berani mendepani kenyataan.

Tambahan pula tahun 2011 dah nak sampai ke penghujungnya jadi maknaya kita sudah tahu seluruh cerita takdir kita untuk tahun ini. Tahun depan, 2012? Belum tentu lagi nasib kita. Entah banyak mana rezeki kita, banyak mana duit kita, ramai mana kawan kita, besar mana pangkat kita -- itu semua kuasa Allah yang Maha Esa.

Apapun, jika tahun ini memang kita ditakdirkan ditimpa banyak musibah maka kita wajib meghapuskan segala kedukaan. Jadi kita mesti sambut kedatangan 2012 dengan azam baru. Ya, memang ada yang tak minat tanam azam tapi bagi saya pula, kita mesti ada landasan untuk mendapatkan titik tumpu. Azam itu umpama pintu gol bagi pemain bolasepak. Betul tak?


Jadi dek kerana semangat kita ni selalu panas - sejuk - panas - sejuk, maka kita sangat memerlukan sokongan moral serta sumber inspirasi melalui cerita-cerita hebat orang lain serta kejayaan mereka. Ini semua sebagai pembakar semangat. Doa, solat, bermunajat itu memanglah kita kena buat. Tapi selain itu, kita tokok tambahlah dengan perencah jiwa yang dirasakan sesuai. Tak kiralah kalau kita pinjam semangat orang putihkah, hitamkah, sawo matangkah -- Islam atau kafir -- janji benda itu memberi kebaikan kepada kita dan tidak bertentangan dengan akidah.

captions: Inilah wajah ibu tunggal yang pernah papa, akhirnya menjadi jutawan atas usaha sendiri dan tidak terus merungkup....kepasrahan....menangisi nasib diri.


Jadi berbalik hal Brockovich ni, cerita beliau adalah salah satu kisah yang bagus untuk kita teladani. Kepada yang tak tahu hujung pangkal siapakah sebenarnya wanita ini eloklah google sekarang. Sinopsis hayat beliau berbunyi lebih kurang begini:

"....dia penganggur dan ada tiga anak yang perlu ditanggung, Erin kalah dalam sebuah kes tuntutan mahkamah lalu meminta peguam yang mewakilinya dalam kes tersebut mengambilnya bekerja. Dek kerana kasihan Edward L. Masry (Albert Finney), mengupah Brockovich sebagai kerani di pejabatnya dan bertitik tolak dari sinilah ibu tunggal tegar ini terjumpa beberapa fail tuntutan yang sangat misteri."


Ternyata, di sinilah takdir Brockovich. Rasa ingin tahunya yang terlalu meluap-luap telah menyebabkan dia menyelongkar kembali cerita lama sehingga membawa kepada kes yang menggemparkan sebuah syarikat korporat gergasi dan menggegarkan seluruh Amerika Syarikat. Well.....inilah baru boleh dikatakan 'tangan yang menghayun buaian boleh menggocang dunia'.

captions: Julia Robert merasa peluk anugerah Pelakon Wanita Terbaik, berkat menghayati watak hebat Brockovich.


Kesudahan ceritanya amat positif dan meneduhkan jiwa. Saya rasa kalaulah ada yang hampir mati akibat terlalu pasrah dengan derita maka pasti jiwa yang fakir itu akan terjentik jua semangat untuk 'melawan' dan meneguhkan hidupnya.

Tidaklah seperti Dhia, watak utama dalam drama airmata Tentang Dhia, yang akhirnya mati di atas katil hospital akibat barah rahim. Pasti peminat drama ini marah kat saya sebab tidak sealiran dengan mereka (yang nampaknya turut sama berjuraian airmata tanda simpati terhadap nasib Dhia yang sungguh malang sekali). Bertimpa-timpa musibah Dhia. Semakin teruk dia tersiksa semakin dalam kecintaan penonton terhadapnya. Hem....! Saya garu kepala. Tak paham...(mungkin sebab saya cuma tertenguk espisod awal dan selepas itu tadi baru tergerak nak tenguk penutup cerita).


Sebenarnya, penolakkan saya bukan terhadap watak Dhia, tapi semua watak wanita yang digambarkan sebagai terlalu naif, rapuh jiwa, setia tak bertempat terhadap sebuah perkahwinan yang tidak jelas berlandaskan apa? Adakah berteraskan kasih sayang? Penghormatankah? Keimanankah? Atau apa? Hanya yang jelas di sini ialah sebuah sikap penerimaan membabi buta. Hem...sungguh saya tak tahu nak kata apa. Macam mana jiwa kita nak tumbuh tegar macam Brockovich jika asyik mengadap cerita penuh airmata jatuh berjuraian, tak kira masa. Kalaulah kita kaitkan secara langsung kejadian dalam drama begini dengan kehidupan di alam nyata, hem, rasa-rasanya susah nak maju negara kita ni.


Masakan tidak kerana yang ada hanyalah jiwa-jiwa yang kacau!

Si suami
>> yang sangat dayus hanya terkulat-kulat saja melihat isteri diperkotak-katik macam bola. Adakah patut dia kata menyesal selepas berkahwin lagi (dengan wanita pilihan ibunya) dan lari balik rumah isteri tua. Lelaki apakah ini yang terlalu meremehkan sebuah ikatan perkahwinan. Nak kawin main ikut telunjuk orang dah tu apabila tak suka/menyesal mudah saja nak buang.

Si Mak Mentua
>> yang gila main bomoh...aduhai...masih ramaikah spesis begini di alam nyata? Kalau ya, hancurlah bangsa Melayu (dan akidah anak cucu kita). Sepatutnya zaman mak mentua seperti dalam cerita Ibu Mentuaku garapan Tan Sri P Ramlee itu sudah lama kita talkinkan.

Zaman sekarang ibu mentua sepatutnya berjuang mempertahankan hak menantu perempuan, jangan sampai anak lelaki yang tak tahu memimpin keluarga itu membolak-balik rumahtangganya sesuka hati sebab kesudahannya anak cucu kau juga yang merana, hidup bergelandangan tanpa ayah sebagai Imam mereka. Jadi anak cucu, nak bertiangkan apa? Bersendikan apa?

Si Isteri
>> berjiwa serapuh cotton candy, yang hanya tahu melafaskan '...demi cinta yang sangat dalam kepada abang'. Hem.....mudahnya mengaku kalah, kemudian duduk di sebalik pintu menangis tak berlagu. Apa tu? Itu bukan ikhlas dan redha namanya, tapi ****h tak bertempat. Maaf ya!

Terus terang saya katakan, kalau anak saya menangis tak tentu pasal, saya arahkan diam. Jangan membazirkan airmata. Fight for your life. Dan tadi kebetulan saya tenguk dengan Alia, saya tanya dia, "...you nak rot macam ni ker kalau kawin nanti? Please don't."


Memang saya tak suka. Kalau berani kahwin, maka berani tanggung dan berani menegakkan hak sebagai isteri. Kalau suami tu nampak gayanya tak ada ciri-ciri kepimpinan, 'tolong betulkan ya'. Jangan nak taat membabi buta sehingga suami buat kerja mungkar, kau tetap diam macam burung kuyup dalam sangkar.

Jadi, bersempena kedatangan tahun baru ini, moleklah jika pemilik layar besar sama ada di pawagam atau stesen televisyen memberi sedikit ruang untuk cerita/drama yang penuh inspirasi seperti Erin Brockovich ini. Bagilah peluang kepada penonton yang tak suka cerita melayu melentuk menangis 24 jam ini menghayati sebuah kisah kehidupan tanpa tangisan sia-sia.

Hidup kita sudah terlalu terhimpit dengan bermcam-macam gejala, jadilah bagi sedikit ruang bernafas. Kalau buka TV, asyik-asyik disogokkan dengan hantu, tahyul, keganasan dan airmata. Kesudahannya kita mengadap laptop sajalah jawabnya. Itupun kadang-kadang serabut juga apabila membaca status yang ada. Mungkin 2012 tahun terbaik untuk saya tutup saja akaun Facebook peribadi itu (???). Nak cuba hidup tanpa FB. Rasa-rasanya sangat bagus tu.


Apapun sebelum mengucapkan selamat malam, saya ingin kongsi email yang dikirimkan oleh Puan Anonymous, beberapa minggu lalu. Sebenarnya, drama-drama yang penuh emosi di kaca televisyen seperti Tentang Dhia menyebabkan saya teringat terus kat Puan Anonymous. Maklumlah sudah lama dia tidak menyambung 'kisah kasihnya.' Tergantung begitu saja...tanpa kesudahan. Jadi saya copypaste email Puan Anonymous di sini dan sambungannya akan menyusul bergantung masa senggang saya, juga kiriman email tuan punya badan/si empunya cerita.

Assalamualaikum, Kak Jun yg ku sayangi & kasihi lagi dihormati.

Kak Jun, saya pengikut setia Cupcakekasih.. Kalau saya sebutkan nama pena saya, tentu Kak Jun kenal siapa saya. Saya tak peduli sekiranya Kak Jun nak siasat siapa saya tetapi harapan saya jika pun Kak Jun dah pun mendapat jawapannya siapa saya, Kak Jun buat-buatlah tak tahu saja ya.. ;p

Di sini, ingin saya kongsikan cerita kasih saya yang tak pernah saya dengar atau baca di mana-mana. Ceritanya mungkin sama sahaja bak kata Kak Jun, kisah suami bermain kayu tiga ini kalau dilempar sepuluh batu pasti lapan yang terkena. Namun, Kak Jun.. pengakhiran kisah saya berbeza. Tidak pasti mungkinkah Kak Jun akan teruja tetapi harapan saya sekiranya ada ruang di hati membaca nestapa pasti Kak Jun akan ternganga (macam iya-iya sajakan.. cerita saya boleh buat Kak Jun ternganga.. haha). Apapun, ceritanya akan saya emailkan setelah menerima warkah lampu hijau menyala dari Kak Jun nanti. InsyaAllah, jika dipanjangkan usia...

Wassalam..



gambar ihsan www.tonton.com


Akhir kalam, wassalam

Wednesday, December 28, 2011

Malang Berbau Hangit

video

Assalamualaikum

SEMOGA petang ini semuanya sihat sejahtera. Kami pun alhamdulillah, selamat sahaja. Cuma dalam perjalanan menuju Selatan ada sedikit halangan. Awalnya, semua lancar sahaja tetapi tiba-tiba terganggu apabila semua pemandu mula memperlahankan kenderaan. Tidak lama kemudian terdengar pula siren polis dan bomba. Sah ada yang tak kena.


Tambahan pula dari jauh nampak asap hitam berkepul-kepul. Bau hangit menusuk hidung. Memang dah agak, pasti ada kemalangan tapi tak berani nak membayangkan seteruk mana dan janganlah pula ada yang bergelimpangan di atas jalanraya. Kalau pembaca nak tahu, kejadian ini berlaku di lebuhraya KLIA menuju ke arah Selatan.

Apabila semakin menghampiri tempat kejadian semua ternganga. Maklumlah perlanggaran ini membabitkan beberapa kenderaan berat dan limpahan baju memenuhi kawasan sekitarnya. Agaknya kontena itu membawa baju peniaga di Nilai 3 gamaknya. Mungkin baru saja dipunggah dari pesawat yang mendarat ataupun dari Pelabuhan Klang. Tak tahu sama ada ini membabitkan kehilangan nyawa atau tidak. Tapi keadaan di tempat kejadian memang mengharukan. Sememangnya sesiapa yang biasa memandu di kawasan ini dapat membayangkan keadaan di Persimpangan Nilai-Bangi ini. Nampak nyaman saja tapi sebenarnya agak merbahaya. Maklumlah, biasanya kenderaan tak banyak jadi memang sedap kaki menekan pedal minyak.


Semoga kita semua tak pernah akan terbabit dalam kejadian begini. Pesan emak dan ulamak kalau naik kenderaan jangan lupa baca doa. Kalau tak hafal baca saja al-Fatihah dan Bismillah sebanyak 21 kali. Insyaallah perjalanan kita akan dirahmati. Ameen.

Akhir kalam jumpa lagi apabila segala urusan di sini sudah selesai.

Tuesday, December 27, 2011

Takziah Myn Lemongrass

Assalamualaikum

SABTU 24 Disember saya sepatutnya ke Kuala Lumpur. Ada janji temu dengan kawan yang pulang bercuti dari Perth. Mynn Maarof atau terkenal panggilan LG dari blog Salam Dua Benua kembali ke tanah air demi berada di sisi ayahandanya yang perlu menjalani rawatan di IJN. Email bersambut SMS berbalas, tapi memandangkan Mynn balik bukan untuk berlibur maka saya tidak berhajat mengambil banyak masanya. Cukup sekadar bersalam dan memandang empat mata kerana selama ini hanya 'berkirim salam' di laman maya sahaja.


Apapun, takdir Allah tidak dapat dijangka. Ayah Mynn kembali ke rahmatullah pada pagi Sabtu itu juga dan detik waktu pun terhenti seketika. Innalillahiwainnailahirojiun.

captions: Walaupun senyuman terukir di bibir tapi wajah Mynn masih disapu duka.


Saya pun hanya mengetahui berita ini siang tadi. Awalnya saya sms Mynn kerana mahu tahu sama ada dia masih di hotel atau di IJN. Sebaliknya, balasan sms Mynn membuat saya terkedu. "....my abah dah meninggal sabtu lepas..."

Tak tahu nak kata apa kerana saya sendiri pernah melalui detik yang sama bertahun-tahun lalu. Dalam hati, saya tidak lagi mahu menggangu masa berkabung Mynn. Tapi, dek kerana kebetulan dia ada urusan sangat penting dan ingin ke hypermarket di USJ 1 maka berjanjilah kami untuk bertemu sekejap di situ. Alhamdulillah, bisik hati saya. Ada rezeki jumpa sahabat yang jauh.


Tapi, maaflah ya kerana saya tak dapat nak perinci budi bicara kami tadi. Pertemuan pun sangat singkat kerana Mynn masih banyak urusan. Insyaallah, ada rezeki kita bertemu lagi ya dan sedekah al-Fatihah untuk aruah ayahandamu. Harap Mynn tak kisah kak Jun share gambar kita di laman Cupcakekasih ini.


Akhir kalam, wassalam

JUN, subang jaya
www.flickr.com/photos/cupcakekasih

Monday, December 26, 2011

Hatimu Dicuri Lagi



Assalamualaikum

SEBELUM tidur, saya nak ucapkan Selamat Pengatin Baru in advance kepada Lisa Surihani dan Yusri yang bakal ke jinjang pelamin tahun depan. Nampaknya tamatlah sudah sebuah penantian dan spekulasi paling penting bagi rakyat Malaysia, terutama peminat Yusri dan Lisa Surihani. Dan dengan itu juga maka anak-anak gadis yang masih menampalkan gambar hero kacak ini di pintu almari baju tu, udah udah ler menangis. Turunkan saja gambar bakal suami orang tu dan ganti dengan gambar hero lain pula. Mungkin Saiful MasterChef Malaysia. Ok tak? Hensem juga jejaka Sabah ini dan saya yakin selepas makeover pasti kesamaannya lebih berganda-ganda. Cuba pejam mata dan bayangkan dengan sepenuh jiwa raga, Saiful ni ada iras-iras muka Yusri. Kan?


Semoga cinta Lisa & Yusri kekal abadi (Ehsan MStar)

Dan bagi si bujang, janganlah bersedih cinta. Bunga bukan sekuntum. Berikan saja hati yang sudah diperuntukan untuk Lisa Surihani itu kepada yang lain. Masih banyak yang menunggu cinta sucimu. Kata orang tu, kadang-kadang kita dok impikan bulan di langit sampai tak sedar ada cinta menanti, bukan orang jauh pun, cuma duduk kat sebelah meja kita saja kat opis tu.

Maksud saya teman sepejabat. Mungkin selama ini ada menyimpan hati kat kita, tapi haram kita nak perasan sebab dok jeling-jeling kat kembang nun di seberang laman. Iya betul. Ini bukan dongeng tapi terjadi kepada kawan saya sendiri yang terlalu lama menunggu dan menunggu tapi jejaka idamannya itu langsung tak perasan. Selalu buat projek berkumpulan. Buat sales sama-sama. Handle kursus untuk jabatan berdua-dua. Tapi sikit pun si jejaka tak faham segala jejak dan tanda.

Baru-baru ni kawan saya sms, nak tempah kek. Dia nak bertunang dah dengan orang lain. Habis tu, macam mana dengan cinta mati kau tu? Dia jawab dah 'ditalkinkan'. Katanya, 'pinggan tak retak, nasi tak dingin. Orang tak hendak aku pun tak hingin'.


Dalam hati, jangan kau menyesal sudahlah Jah. Apapun, betul kata emak saya, lebih baik kita kawin dengan orang yang memang beriya-iya nak kita, daripada menunggu buah yang tak gugur. Ha, betul sangatlah tu. Bak kata Maya (salah seorang pelanggan saya) yang sudah pun melangsungkan perkahwinan baru-baru ini, "jodoh kena cari". Tak boleh ditunggu-tunggu sambil goyang kaki. Buka mata, buka telinga dan buka hati. Macam kesnya (Maya), yang akhirnya bertemu jodoh selepas menghadiri majlis suai kenal anjuran Perkim. Tak pernah dengar cerita ni kan? Ya, itulah untungnya kalau kita ni peramah macam Maya. Macam-macam benda/cerita/info yang kita perolehi kalau suka bertanya. Bukan busy body, tapi peramah -- that's my middle name tau.

:-)).

Saya, kalau jumpa sesiapa pun, mesti suka tanya itu dan ini -- terutamanya kalau kita dah boleh hidu di situ ada sumber berita. Cara bertanya? Eh! Banyak seninya. Pendek kata kena selalu berlatih, pok pek pok pek. Jadi, barulah mudah kita nak suai padan antara umpan dengan ikan. Jadi kalau dulu dulu tu, zaman sebelum ada Internet, kena ramah bertanya baru senang cari berita. Misalnya, kalau saya pergi ke majlis kenduri A, mesti saya akan sembang dengan B,C, D dan E. Dan sebaik sahaja majlis selesai saya sudah dapat banyak contact baru. Dan mereka inilah talian hayat saya. Biasanya mereka very supportive.


Kita minta satu nama, depa bagi tiga. Kita cuma nak interview sejam saja tapi nah kau, sebaik saja sampai ke rumah mereka, hidangan penuh meja. Sapa tak terkejut. Kita ingat ada majlis harijadi anak depa ke, apa ke. Oh! Rupa-rupanya masak beriya-iya sebab nak jamu saya. Wartawanlah katakan. Aduh, isu yang saya nak kupas tu cuma seperenggan jer... tapi cara sambutannya macam nak buat sidang akhbar. Aduh, macam mana nih? Tapi, dalam hati kembang juga sebab kita sangat dihargai.

Sebenarnya, memang orang kita ni suka menjamu. Tapi, paling tak larat nak jawab kalau ada yang minta nak jadi penghias muka depan majalah. Aduh, gawat tu. Ada juga yang nak minta jadi model, alamak macam mana? Bukan tak sudi, tapi kalau tak ukur pun saya dah boleh agak ketinggian tu mesti confirm tak cukup seinci. Model mesti kurus langsing, tinggi at least 5'4" (macam saya). Jadi, nak jawab apa? Melainkan akak sengih-sengih sajalah ya. Betul tak? Tapi yang pentingnya, dah jauh saya hanyut ke laut ni. Awalnya cuma nak cerita pasal Lisa & Yusri saja. Begitulah.....


Jadi, dek kerana mengantuk dah melarut sangat ni jadi saya nak logout. Kita jumpa esuk, Insyaallah.


Apapun sebelum turu, tatap dulu kek berbentuk kotak berhias bunga ini yang orang putih panggil Hat Box. Cantik sangat dan sebab itulah ramai yang minta ulang cetak reka bentuk begini untuk musim kahwin di hujung tahun 2011 ini. Maknanya, inilah rupa gaya karya saya yang paling menyengat dan Insyaallah untuk 2012 dah ada yang minta saya ulang cetak fesyen ini juga (dan saya pun suka membuatnya).


Jadi kepada yang bercadang nak tempah hantaran untuk Februari 2012, silalah. Jangan segan-segan beritahu budget anda. Apapun, kalendar Januari 2012 dah penuh tapi saya masih boleh pertimbangkan kalau kena gaya tema dan cara gayanya.






Akhir kalam, wassalam

Sunday, December 25, 2011

Tepuk Dada tanya Selera




Assalamualaikum

PAGI ini sangat sunyi sepi. Hujung minggu, cuti panjang. Semua ada agenda tersendiri. Ataupun malam tadi ada acara sampai pulang pun telat (balik lambat), jadi hari ini mahu bangun lewat.

Apapun saya nak ucapkan selamat harijadi kepada anak bujang saya, Adam Roslan. Dah 17 tahun dan sudah selesai SPM. Dia juga berkongsi tarikh dengan Nana Ariffin, kawan baik saya sejak berumur 10 tahun lagi + Zarina Zainuddin. Semua kek saya buat tapi rasa lain-lain.

Zarina minta kek coklat, Nana teringin kek Red Velvet dan untuk Adam saya buat kek Opera. Ya, nama kek ni memang jarang didengari, kan? Sebenarnya kek ni sangat sedap -- sesedap Red Velvet dan Cheese Cake juga. Tapi tak tahu kenapa kurang menyerlah. Kalau nak tahu bahan utama kek ini ialah serbuk badam debu dan cuma sedikit saja tepung biasa. Jadi sebab itulah sangat sedap. Nanti saya masukkan gambar dan beri resepinya sekali.

Dek kerana malam tadi ada sesi jamu selera di rumah Zarina....pagi ini mulalah gerutu, tak tahu nak makan apa. Nak masak lagilah malas. Jadi, kita tunggu apa kata juri awam. Bagi yang teringin nak mencuba mi bandung yang sedap, silalah ke Subang Parade. Ada seksyen baru menempatkan gerai makan yang sedap dan harga yang munasabah, terletak di aras bawah sekali bersebelahan Parkson Grand dan menghadap Mc Donald. Namanya Market Place.





Inilah mi bandung yang menepati selera saya. Amat mengecurkan liur. Rupa dan rasa sama serasi. Mi bandung JM Beriani ini saya bagi 5 bintang. Kalau tak minat mi, cuba hidangan utama nasi beriani yang memang sedap dan mengenyangkan itu.


Ini pula popiah yang juga sesuai dengan selera saya. Juga boleh didapati di Market Place. Makan satu sudah cukup mengenyangkan. Harga pun ok. Menu popiah ini pelbagai dan semuanya bersaiz jumbo.


Ok, ini pula tauhu bakar. Saya bagi 4 bintang. Bagi saya tauhu bakar yang tersedap sudah tentu dijuarai oleh restoran Aji Don Alley, E-O-16, Plaza Damas, Sri hartamas, KL. Tapi bagi ahli kariah sekitar Subang Jaya, Putera Heights dan USJ Heights ni, kalau mengidam nak tauhu bakar, Market Place adalah sorga.

Sebenarnya saya beriya-iya promosi ni sebab saya sangat hampa dengan tauhu bakar di sebuah restoran kat Bangi. Saya tak ingat nama penuhnya selain perkataan Gear Box. Penat sungguh rasanya kami datang jauh jauh, apabila nak makan tak satu pun melepasi piawaian munasabah.

Mana tidaknya, kita minta udang goreng mentega tapi dihidangkan dengan sepiring udang bergoreng kangkung dan bawang besar. Ternganga kami anak beranak. Tauhu bakarnya pula macam plastik. Tempat cantik, indah dan besar tapi...(tak apalah, saya simpan saja ayat penutupnya). Juadah lain tak payah tanya. Mujur harganya sederhana. Kalau tidak, mesti lebih terkilan.



Jadi bak kata orang tu, lebih baik kita tak payah pergi jauh. Kalau mengidam nak makan kuih Melayu, pun ada juga di jual di Market Place ini. Selamat mencuba.

Peminat pizza boleh cuba keenakan pizza resepi asli Itali di sini.

Happy Birthday Ina

Thursday, December 22, 2011

Sayang Sayang Buah Kepayang

Assalamualaikum

SEKARANG ni hebuh juga pasal duit kertas baru yang akan dikeluarkan tahun depan. Warnanya cantik. Saya suka yang oren. Ungu pun saya suka juga, Kalau digulung dilipat, dan digubah bentuk bunga ros macam yang orang selalu buat untuk hantaran pernikahan itu pun bagus juga. Meriah. Matching pulak dengan warna kek. Mesti sedondon, menawan dan terserlahlah kemewahan. Lebih afdal lagi kalau kita ambil berkat jumlah wang hantaran tu bersempena tahun 2012. Maknanya nilai wang hantaran tu mestilah berkisar tarikh 20.12.2012. Ish, besar jumlahnya tu. Mesti kembang mekar jambangan wang hartarannya. I loike....!

captions: Duit kertas baru dengan warna lebih ranggi.

Apapun, encik Suami ada juga hint hint nak beli duit baru ini untuk dibuat koleksi sebagai kenang-kenangan. Katanya, tiga, empat puluh tahun lagi, kalau dijual, mesti besar nilainya. Tak tahulah. Tapi kalau ada yang belum pernah tenguk rupa duit kenang-kenangan yang dimaksudkan itu, disertakan gambarnya di bawah ini.



Kalau nak tahu duit bercantum ini encik Suami beli pada tahun 1996. Tak tahu nilainya berapa. Tapi kalau dapat nombor siri yang cantik, lagi mahal. Dia pernah tenguk, ada yang nak jual sampai puluh ribu juga. Oh iya ker? Lepas juga buat belanja kawin anak ni...(atau dia sendiri?)

Bukan main.

Tapi, terlanjur cakap pasal kawin ni, saya pernah tanya juga soalan cepu emas kat encik Suami.

"Kalau I merayu-rayu suruh you kawin lain, you nak tak?
"Isy...merepek je..."
"Ece...ce..ceh. Merepek. Kalau I paksa?
"Tak naklah!"
"Eleh eleh. Betul ke?
"Tak percaya sudah. Nasib youlah."

Hem? Boleh percaya ada laki-laki menolak tuah macam ni? Besar kuman pun saya tak percaya. Sebenarnya kalau mampu, kawin sajalah. Minta izin daripada Jabatan Agama Islam, bukan daripada isteri pertama. Ini kata ustaz (Amin), bukan saya tau. Tapi saya memang suka sentuh bab piligami ni. Kalau dah tulis, setebal novel komennya. Tapi, hari ni saya tak nak berdebat pasal nikah kawin ni. Kalau orang muda tu, manis juga. Tapi kalau dah tua, tak habis-habis cerita pasal nak beristeri muda. Jenuh juga. Tapi sekarang ni, ada pula orang sibuk nak ketengahkan topik pompuan tua (maknanya melebihi 50) bercinta dengan budak lelaki muda (maknanya macam pangkat cucu). Ada yang nak buat novel. Nak dibuat drama + filem.

Betulkah? Saya harap ini semua cuma setakat sembang ceruk dapur sajalah ya. Janganlah sampai dijadikan drama dan filem sebab knowing pengarah yang terlalu mementingkan hasil seni yang bermutu tinggi (kononnyalah kan) mesti nak selit adegan ranjang yang nampak real Pelakon mesti betul-betul menjiwai watak. Jadi, bayangkan kalau hal ini terjadi? Aduh!

Jadi. harap-harap jangan sampai ini berlaku. Jom kita sama-sama berdoa semoga LPF lebih peka dan memotong bahagian ranjang muda + renta ini, kalau ada. Saya berani cakap sebab dah ada yang risik-risik minta skrip. Banyak yang teruja nak melabur selepas kutipan Ombak Rindu pecah panggung.

Apapun, memang senang nak bikin bisnis kalau ada modal. Bak kata orang tu, 'ada duit semua boleh kuit'. Tapi kalau tak ada duit benda bergolek depan mata pun kita cuma boleh pandang saja. Terkelip-kelip. Kalau bercinta sanpai 10 tahun pun, belum tentu boleh bersanding di pelamin. Maklumlah, kalau setakat berani bercakap dan berjanji saja nak kawin tapi dalam bank cuma ada seposen.

"....ada wang abang sayang, tak ada wang abang melayang."

Nak kawin bukan memadai setakat bersumpah berjanji sehidup semati. Langkah pertama saja sudah memerlukan kepingan merah, biru dan ungu. Kena beli cincin. Dimulai dengan cincin belah rotan, atau digelar juga sebagai cincin tanya. Dah dapat cincin tanya, kena hantar pula cincin tanda. Selepas tu baru bagi yang rasmi -- cincin tunang dan cincin kawin. Orang putih pun dah kata, cincin untuk orang kawin ni ada tiga -- engagement ring, wedding ring & suffe-ring.'
Betulkah? Saya tak tahu nak jawab sebab saya rasa happy jer. Bergaduh manja manja tu biasalah. Nak lari rumah pun pernah juga. Tapi 1 Disember lalu, kami sambut ulang tahun perkahwinan ke-21. Oklah tu kan. Berdoalah semoga berkekalan saja sampai mati. Dan saya pun dah bagi lampu hijau kat encik Suami, "kalau I mati dulu, you kawinlah. Tapi oven I jangan bagi bini baru you pakai. Bagi kat anak-anak pompuan. Kalau bini baru you nak, suruh dia beli lain."

Dan as usual, encik Suami kata saya merepek. Iya ker merepek? Tapi yang pentingnya saya dah pesan kat Alia suruh dia bagi bapak dia kawin kalau saya dah tak ada nanti. Alia cuma 'iyakan' saja. Tapi, encik Suami tak bagi saya kawin lain kalau ditakdirkan dia pergi dulu. Ish...macam tau tau jer dia ni, agenda tersembunyi bini dia. Hem.....LOL

Tapi tak apalah. Tak kisahlah apa apa pun. Janji jodoh berkekalan.
Apapun, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Didie Alias kerana anaknya, Nurdinie Ridzuan mendapat keputusan cemerlang PMR, 8A. Hem, tak payah tanya, mestilah Didie happy. Anak pandai, siapa tak gembira. Masih saya ingat lagi ketika menghadiri majlis persandingan anak Datuk Aziz Sattar, Sandakiah, many many years ago, Didie Alias pun hadir juga dengan bekas suaminya dulu. Ketika itu dia mengandung. Sekarang ni semua anak dah besar, pandai pula. Berbaloi juga Didie bertungkus lumus membesarkan mereka selepas perceraian dahulu. Tahniah Didie dan Dinie.

Akhir kalam, selamat menikmati petang Jumaat yang indah.


captions: Didie Alias dan anak-anaknya. Dinie kanan sekali (pic ehsan Didie yang diambil dari FB Didie, menerusi mStar online)


Wednesday, December 21, 2011

Ampunkanlah Dosa Kami

Assalamualaikum

GODAK tepung, tepung juga. Ayak gula, ayak juga. Tapi hal dunia kena ambil tahu juga. Ternyata banyak hal yang berlaku sepanjang 2011. Jadi dalam sibuk mengumpul resepi dan menayang gambar kek dan makanan yang tak pernah habis-habis tu, eloklah saya sorot juga kisah dunia. Apa yang berlaku kat dalam laman kita...juga kat negara jiran tetangga.Mahu dijadikan peringatan untuk diri sendiri dan anak-anak. Jika ada yang sudi berkongsi rasa, sama-sama kita hayatinya.

Bagi saya, berita paling menggemparkan minggu ini pastilah kisah perkahwinan songsang yang berlaku di antara Arff Alfian Rosli, 28 yang pergi ke Dublin untuk mendalami ilmu perubatan.

Kasihan ibubapa Ariff Alfian Rosli. Dia yang sudah lama menghilangkan dir, tup-tup muncul dengan berita yang sungguh mendukacitaka. Bukan saja keluarga Ariff Alfian tapi juga seluruh umat manusia yang beradap, terutama di kalangan Muslim. Tak tahu nak kata apa sebab dia budak pandai, perangkul A dalam peperiksaan besar sewaktu di sekolah menengah dan khabarnya juga seorang ketua pengawas. Pasti ketika dia dianugerahi biasiswa Petronas untuk ke Dublin dahulu, seluruh ahli keluarga budak ini sangat gembira lela. Tapi kesudahannya diuji seberat ini....hanya Allah sahaja yang tahu segala-galanya -- rahsia dan kesudahannya. Apapun, cerita lanjut boleh klik di sini




Doa untuk budak ini semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepadanya. Ampunkan dosa kami yang terleka.....

Tuesday, December 20, 2011

Kecantikan Di Hujung Pisau?

Assalamualaikum

INI cerita Sabtu lepas. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba seorang kawan, MF, menelefon.

"Kak Jun...esuk kak Jun free tak?"
"Kenapa?"
"Kak Jun nak buat facelift tak?"

Tentulah saya terbeliak apabila diaju soalan cepu emas itu. Haish, dalam banyak-banyak perkara, benda itu yang jadi pokok persoalanny. Mati hidup balik saya tak percaya apa yang saya baru dengar tadi!

"Apa dia? Cuba awak ulang sekali lagi!"
"Esok kak Jun free tak? Husband kita nak bagi awak complemantary......buat facelift. Nak tak?
"facelift? Nak buat apa?
"Tegangkan muka. Buang eyebag. Jomlah kak. Nak tak?"

Terus saya tergelak. Memang saya terasa sangat geli hati. Tak pernah terfikir ada orang nak bagi kita hadiah menegangkan kulit muka. Itu yang tergelak tak habis tu.

"Kak Jun nak tak? Kita nak tahu sekarang juga."
"Awak ni merepeklah MF. Mana ada orang boleh decide nak buat benda-benda maca ni dalam split second. Major thing ni. Tak boleh nak cakap through phone jer."
"Alah kak Jun, sekejap je procedure tu. Lepas tu, awak nampak muda 10 tahun."

Sekali lagi saya tergelak. Memang perkara begini sangat aneh bagi kita, orang kebanyakan. Tak terfikir pun buat pembedahan plastik semudah taip ABC. Tapi, apabila bersuamikan seorang pakar bedak plastik maka benda yang kita anggap mustahil (kalau tak ada keberanian, keinginan dan wang berpuluh-puluh ribu), adalah hal biasa saja bagi MF. Maksudnya setakat nak cerita pasal nak tegang itu, buang ini, besar kan itu dan kecilkan in adalah bualan lazim. Macam kita, para Chef, tukang masak dan bakers. Cerita pasal masak memasak ni kat hujung lidah saja.

Jadi, kalau saya ke jamuan di rumah agam MF itu, pastia akan berlaga bahu dengan ramai selebriti yang juga merupakan kawan baik MF dan suaminya. Tapi jangan tanya saya siapa, dan adakah mereka ada 'buat muka' ataupun membuang itu dan membesarkan ini. Itu semua sangat confidential. Dah masuk X-Files. Tapi, untuk kesekian kalinya, MF tak pernah jemu offer kat saya untuk mencantikkan wajah menerusi meja bedah.

"....kita nak belanja kak Jun pulak sekali ni."
"Hem...tak apalah dek oii. Kalau belanja pizza ke, kopi secawan ke kak Jun terima. Tapi nak tegang muka tu kak Jun minta maaf. Takutlah."

(....tapi sambil bercakap dengan MF, sempat juga belek muka kat cermin. Tarik-tarik pipi.....tolak-tolak dahi. Hem memang tempting juga offer ni).

"Jomlah akak.....sekejap jer. Akak datang sini tengah hari esuk. Husband kita terus buat kan."
"Aduhai MF...takpa...takpalah. Tak berani kak Jun. Memang tak berani nak operate operate ni. Tak apalah."

MF memang frust sangat sebab saya reject offer dia mentah-mentah. Kalau bagi dekat peminat kecantikan tegar, mesti depa takda nak fikir balik walau sesaat. Silap-silap haribulan, terus berkhemah depan bilik bedah.

Tapi pokok pangkal ceritanya, encik Suami saya confirm tak bagi dan saya pun tak berani. Tambahan pula kalau saya teringat semula pengalaman masuk ke bilik bedah lima, enam tahun lepas.

Sebenarnya, dulu, saya pernah tulis cerita mengenai pembedahan demi kecantikan ini. Saya temuramah wanita yang sanggup dilapah-lapah tubuh mereka atas nama 'cantik'. Majoriti melakukan hal ini kerana tak mahu suami lari. Salah seorang yang sudi berkongsi cerita ialah Puan M.

Dia ditakdirkan gemuk. Katanya semasa muda dahulu dia kurus langsing, body macam biola. Maknanya berlekuk di bahagian pingganglah tu. Tapi selepas beranak-pinak, badan pun melemak. Dipendekkan cerita, dek kerana suaminya jenis suka perempuan kurus, jadi dia pun buat macam-macam cara untuk mengekalkan bentuk badan. Tapi apakan daya, apabila badan si isteri ni nampak lunyai, suami pun buat perangai. Dan ternyata sekali Puan M cukup takut kena cerai. (Hem.....dah jemu saya dengar ragam lelaki macam ini?) Tapi bagi Puan M, inilah kenyataan yang dia perlu hadapi dan baginya sakit perit kerana liposuction itu tak apa-apa jika dibanding penderitaan jika ditakdirkan berlaku perceraian.

Sebenarnya, yang memperkenalkan saya kepada Puan M ini ialah Dr AG. Dia adalah salah seorang pakar bedah plastik terkemuka di Malaya. Semasa sesi temuramah berlangsung, Puan M sudah pun bersedia untuk masuk bilik bedah. Kami (saya dan jurugambar) pelik juga sebab Puan M ni nampak rileks saja. Kalau saya, dah tentu seram sejuk satu badan.

Sakit beranak pun buat kita jeran, ini pula nak kena lapah macam ikan. Tapi, Puan M memang tegar. Duitnya banyak dihabiskan atas katil bedah saja. Menurut Dr AG, Puan M ini adalah pelanggan tetapnya. Dia selalu buat liposuction. At least tiga, empat kali setahun. Sekejap kat perut, sekejap kat pinggang, sekejap lagi kat bahagian belakang.

Saya cuma boleh telan liur saja. Berani betul dia...! Ini semua kerana cinta. Adakah pergorbanan ini berbaloi? Hanya Puan M saja yang tahu. Tapi yang pentingnya, saya tak akan buat sebab saya dah tenguk sesi sedut lemak ini. Dr AG mengizinkan saya masuk ke dewan bedah. Atas nama kerja (dan juga rasa ingin tahu) maka saya kuatkan semangat.


Hem...nak tahu macam rupa lemak yang disedut itu? Macam jus carrotsusu -- kuning oren dan kemerah-merahan dek bercampur darah. Memang lemak yang disedut dari bahagian belakang Puan M itu agak banyak, adalah dalam satu botol Coke yang besar tu.

Dan selepas sesi itu, saya tak tergamak nak minum jus carrot susu. Tak boleh nak dibayangkan rupa rupa nozel (saya panggil nozel saja) yang disodok di bawah kulitPuan M itu. Cukup meremangkan bulu roma saya. Nak tahu besar mana? Cuba tenguk ibu jari tangan kita tu. Besar tak? Ha....ukur lilit nozel tu lebih kurang sebesar itu dan panjangnya lebih kurang sekaki.


Sebelum operasi, doktor bagi anaesthetic. Puan M terus 'tidur' dan doktor buat garisan pada bahagian yang bakal 'dikerjakan'. Macam melukis peta pula. Selepas berpuas hati, doktor pun ambil alat sedut lemak -- ada balang besar, ada nozel (ada banyak ukuran, dan ada pedal untuk tekan alat penyedut lemak itu -- maksudnya untuk mengawal tahap kekuatan sedutan (tak ubah macam pedal untuk tekan minyak kereta).


Berpinar-pinar mata ni melihat nozel sebesar itu dicucuk kat badan macam orang tusuk besi bawa kavadi. Setiap kali doktor tekan pedal penyedut, dia akan mengocak nozel tu sedikit, ke kiri ke kanan agar lemak mudah tanggal (agaknya). Seminggu kemudian saya jumpa Puan M dan dia nampak sungguh ceria. Berbeza sekali berbanding sebelum dioperasi dahulu. Maksud saya airmukanya. Nampak jernih cerlang macam baru lepas dimahkotakan sebagai ratu. Saya tanya, sakit tak?

"Mestilah sakit dek oi!"

Bayangkan dia terpaksa meniarap saja selepas opreasi itu kerana 'luka dalam badan' banyak dan menyengat 24 jam. Nak buang air kecil, air besar, makan minum....semua atas katil.

Tapi bak kata Puan M, nak buat macam mana?" Dek kerana nak tambat hati suaminya tu, Puan M telan sajalah walaupun sepahit hempedu. Dan paling penting, duit hasil main kutunya itu, habis. Bukan seratus dua, tapi beribu-ribu.

Kalau nak tahu, Puan M ni bukannya kerja pegawai tinggi ataupun pengurus besar. Cuma receptionist saja di sebuah jabatan kerajaan dan suami pun dah dekat nak pencen. Memang dia betul-betul berjimat cermat dan menabung demi memenuhi hajat suami yang tersanjung.

Saya pulak, dah dapat offer buat plastic surgery boleh berdolak-dalik lagi. Walaupun tahu MF mesti kecil hati tapi saya tetap tak berani.


"Kak Jun tahu tak kos surgery untuk kak Jun tu 28 ribu tau. Bukan senang nak dapat offer macam ni lagi Kak Jun oii. Selain husband kita, ada tiga doktor pakar lagi yang akan buatkan muka kak Jun. Sebenarnya depa nak introduce pakej bedah muka terbaru ni kat customers depa. Memang sesuai untuk pompuan umur macam kak Jun. Nak tak?"

Hem.... kekdahnya. Kira-kiranya kita ni macam macam gambar katalog gitu.

"Tak apalah MF. Nanti kalau cantik sangat, kalah pulak Neelofa. Silap-silap haribulan, Aaron Aziz meragam nak berlakon dengan kita. Sapa nak jawab tu?


MF ketawa besar. LOL!

.....oklah, saya minta dulu. Akhir kalam, kalau sud sudilah beli InTrend bulan ni. Ada rencana saya kat dalam majalah tu. Sebenarnya kawan saya (Puan Deputy Editor) yang minta saya sumbang satu, dua artikel untuk majalahnya. Oklah...terima kasih ya Haizan. Sampai jumpa lagi...

captions: Iya....saya tulis pasal K-Pop. Sesuai ke? Tapi yang penting, gambar tu memang saya rakam sendiri. Pakai HP masa tunggu lampu merah bertukar hijau. Siapa biasa buat kerja macam ni? LOL


wasalam



Sunday, December 18, 2011

Esok Masih Ada!

Assalamualaikum

MALAM ini saya cuma nak kongsi gambar karya hujung miggu saya -- kek Smurf untuk Nathalia dan kek Angry Birds untuk Fatin. Tak sempat nak cerita ceriti panjang sebab hujung minggu yang sungguh meriah membuatkan saya berasa letih sikit, Jadi nak rehat dan beradu saja. Esuk pula ada acara yang sangat happening juga...itu yang tak sabar tu.


Apapun, sebelum saya mengundur diri, saya nak share gambar bersama-sama Dr Ereen dan kakaknya Mak Lang yang sangat berbakat membuat seni jahitan sulam reben. Sebenarnya kami ni berkenalan melalui alam maya saja. Saya suka baca blog Dr Ereen dan menatap keindahan hasil kerja seni Mak Lang yang sungguh menawan kalbu itu. Insyaallah, satu hari nanti saya mesti belajar dengan Mak Lang (sebenarnya anak saudara panggil saya Mak Lang juga) menyulam reben. Insyaallah.

Jadi akhir kalam, selamat malam.

Sudi-sudi juga lawati blog ini juga ya


Saturday, December 17, 2011

Warna Cinta....merah, putih atau hitam berjelaga?

MALAM tadi selepas Isya', bekas rakan wartawan ketika di Jelita, Kusyi Hirdan menelefon,

"Kak Jun dah baca dah?"
Saya tak faham soalan Kusyi. Berkerut-kerut kening cuba mencari jawapan. "Baca apa?"
"Metro hari ni."
"Metro? Kenapa? Tak pun."
"Story tu, dah keluar."
"Oh! Dah keluar....iyakah. Ok, ok...belum tenguk lagi, tapi kejap lagi suruh Alia beli surat khabar. Kak Jun ni kalau sibuk sangat malas beli paper. Takkan baca pun."
"Oh! Iya ker?"
"Iya...memang jarang beli paper."
"Ni nak bagi tahu...ni...bla...bla...bla...bla."
"Oh! Pasal tu. Tak adalah....tak pa. Takisah pun."
"Iyalah...Kak Ani kata...bla..bla...bla...bla."
"La...iya ker..(ketawa sikit). Takde mende Kusyi....takpa. Tak kisah...bla...bla...bla..."



Dan seperti biasa, kalau dua wartawan bersembang, mesti banyak cerita berbingkai...dan akhirnya talian terputus dengan sendiri. Sorrylah Kusyi, tak tau pula bateri HP dah kering. Anak suka main games.


Apapun, saya pun cepat-cepat Google...cari tajuk berita yang Kusyi maksudkan. Tak jumpa pulak. Google lagi, baru dapat. Bukan berita gempar pasal pengumuman pilihanraya pun. Cuma kisah kami reunion Jelita minggu lepas yang saya gemparkan itu. Dah keluar dalam Harian Metro. Ini sedutannya:

"Genap 35 tahun pada Ogos 2011 lalu, Jelita sudah diterajui tujuh pengarang sehingga kini. Keluaran pertamanya pada Ogos 1976 adalah di bawah pengarang pertamanya, Adibah Amin.

Diikuti pengarang kedua, Zaharah Nawawi pada Disember tahun yang sama. Kemudian Allahyarham Siti Bidayah Ahmad (November 1983 - Jun 1984) kemudian diambil kembali Zaharah (Julai 1984 - Mei 1985). Seterusnya Rohani Pa’ Wan Chik (Jun 1985 - Mei 2004), Wan Sabariah Shikh Ali (Jun 2004 - Ogos 2007), Raihanah Abdullah (September 2007 - Januari 2009) dan Sarimah Husin (Februari 2009 hingga sekarang).

“Alhamdulillah, ramai penulis yang hadir untuk meraikan detik bersejarah majalah Jelita ini."

Kalau nak baca berita penuh, klik sini ya:

Tapi, dalam saya dok mencari berita pasal majalah tu tadi, saya terbaca kisah kes mahkamah Jimmy Shanley dan isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy yang sungguh panas itu. Aduhai, kenapa sampai ke mahkamah ya. Alamatnya, memang habis kena selaklah....luar & dalam. Bak kata orang tu, kalau 'menang jadi abu, kalah jadi arang'. Tak ada siapa yang untung pun! Dan yang pasti, tak seronok mana masuk mahkamah ni. Percayalah. Memang kalau hati tengah panas, kita rasa nak main saman saja. Tapi apabila dah keluar masuk kandang kat dalam tu, segala-galanya berubah. Mengkal jer rasa hati ini.


Tapi, semua orang ada alasan tersendiri sehingga sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk kos mahkamah dan harga peguam. Lebih baik buat cara kawan saya, J, yang bercerai dengan suaminya baru-baru ini. Bekas suami yang memang sayang sangat kat anak-anaknya itu terus membuat perakuan akan bayar nafkah anak. Tak payah risau katanya. Jadi, tak payah J tuntut apa-apa pun. Segala kemewahan yang mereka kecapi semasa si ayah masih sebumbung, tetap tidak terluak. Mereka tetap ke sekolah swasta yang mahal itu. Cuma kereta mewah J sahaja bekas suaminya tukar lain -- beli yang lebih kecil dan murah diuruskan. Dan anak-anak diberi Blackberry sorang satu, supaya senang mereka nak BBM si ayah. Ok sangatlah tu, kan? Kalau semua perceraian begini, tak membazir duit ringgit.


Tapi, hal Jimmy Shanley ni, saya tak ada nak komen sangat, cuma terdetik nak menyorotinya sedikit kerana semasa majlis persandingannya tempuh hari, my BFF ajak saya sekali. Kad jemputan untuk wartawan pun ada juga. Tapi saya ada hal lain yang perlu didahulukan. Tup tup, tak lama selepas itu keluar pula cerita lain. Tragedi betul. Semoga hal ini cepat berlalu dan jodoh mereka berpanjangan, ameen.

Cerita lanjut, klik sini ya. sini ya

.....saat bahagia...semoga berulang.

Akhir kalam, saya share gambar kek pengantin yang saya rias untuk Izzati dan pasangannya ini, yang khabarnya sedang berbulan madu di Eropah. Sewaktu bertunang dahulu pun, Izzati minta saya buat kek hantarannya juga. Sepupu Izzati juga menempah dengan saya juga untuk majlis-majlis bersejarah mereka. Alhamdulillah, ramai customers saya yang suka kesinambungan macam ni -- bermula kek bertunang, kemudian hantaran kawin, anniversary, baby shower, aqiqah dan ketika anak pertama itu sambut harijadi pertama. Sweet! Saya bagai menyoroti sebuah cerita cinta realiti yang sentiasa marak berkembang dan berbunga harum wangi.
Best...!

Ini pula cupcakes yang ditempah Shidah untuk majlis pertunangannya. Semoga hajat untuk naik pelamin tahun depan akan tercapai jua ya Shidah. Ameen,



Ok, nite-nite.
jun, sunyi malam semakin hitam....

Thursday, December 15, 2011

Dua Gabungan Menguja Selera

Assalamualaikum

ADA yang bertanya kat mana sebenarnya perpustakaan Shah Alam yang kami kunjungi semalam. Bagi memudahkan penerangan, lebih baik saya bagi link laman web ini saja. Ada peta lengkap. Tapi sebagai panduan ringkas, perpustakaan Shah Alam ini terletak dalam kawasan kelab Golf Sultan Salahuddin Shah Alam, di seksyen 13. Kalau tak sure juga, set sahaja GPS menuju ke kawasan Giant Shah Alam seksyen 13, yang semukim dengan stadium Shah Alam. Dekat juga dengan Kolej PTPL.


Dan bagi geng bakers, bolehlah berkunjung ke Bagus Shah Alam yang juga terletak di kawasan yang sama dan satu lagi De Manis, cawangan Bake With Yen. Jadi, pendek kata...memang tak sia-sia kalau ke PPSA, banyak benda/kerja yang dapat disudahkan. Kalau hari Ahad lagi best sebab boleh sarapan di Pasar Tani Mega di Stadium Shah Alam. Kata orang tu, pasar tani ini sangat besar -- kalau tawaf seluruh kawasan, dua jam pun belum tentu selesai. Bolehlah jamu selera sup gear Box dan popiah sedap. Selepas itu, baru berombongan ke perpustakaan, yang dibuka setiap hari mulai jam 9.30 am - 5 pm. Ini link laman web dan petanya ya. Saya copypaste dari laman tersebut juga.



Bagi peminat sastera, bolehlah menikmati himpunan karya yang kebanyakannya sukar diperolehi di pasaran. Berkunang-kunang mata saya tatkala melihat buku hasil karya nama besar para sasterawan negara, juga penulis novel tersohor dunia. Kalau diikutkan hati, hari-hari saya mahu ke PPSA ini sebab mahu menghabiskan semua buku yang sudah pun saya tanda. Aduhai....! Seronoknya. Mujurlah sesi pendaftaran mudah saja, tak sampai 10minit. Boleh juga mendaftar dari rumah. Masuk laman web PPSA dan explore.



Saya jumpa dua buku yang best ini di sana. Dapatlah disorot minda kreatif Lim Swee Tin dan Sasterawan Negara, Arena Wati. Busa Hati ada tiga episod besar dan saya pinja Busa Hati Jilid 1 dahulu. Tahukah apa makna busa? Buih. Jadi, agaknya apakah intipati cerita yang digarap dalam novel bertajuk unik ini. Inilah yang sedang saya selami.

....sambil tu kita jamu selera keenakan Kek Chocolate Indulgence. Kalau nak diberi markah, sedapnya sama seperti kedua-dua naskhah sastera hebat itu. Resepinya saya kongsi dalam post yang lain. Insyaallah.



Akhir kalam, terima kasih Mak Lang Azie untuk coaster ceramic yang cantik ini.

Wednesday, December 14, 2011

Jangan Di Tebak Soal Hati


Assalamualaikum

TERTANGGUH beberapa kali akhirnya hajat bertemu seorang lagi teman yang baru pulang dari Makkah tertunai juga. Secara berseloroh saya memanggilnya 'Hajjah'. Tapi sebenarnya dia tidak suka. Tegahannya itu mengingatkan saya teguran seorang kenalan yang sudah banyak makan garam. Katanya kita ke Makkah untuk beribadat, menyempurnakan perintah Allah. Nilainya sama seperti kita mengucap dua kalimah syahadah, bersolat, bepuasa, dan berzakat. Jadi takkan kerana sudah menyempurnakan rukum Islam yang kelima itu maka kita terus dipanggil 'Hajjah' (atau Haji)?

Kalau macam itu, hamba Allah yang buat semua rukun Islam selengkapnya itu wajib dipanggil dengan didahului semua gelaran -- Syahadah Solat Puasa Zakat Hajjah + nama Si Polan? Begitu?


Pause


"I cuma bagi pandangan saja. Tak berani nak cakap lebih-lebih. Bukan pandai sangat soal hukum hakam ni," tegasnya lagi.

"Hem, saya pun tak berani nak komen sembarangan kerana bab agama ini sangat sensitif. Kita tak boleh memandai-mandai beri fatwa kerana ini melibatkan soal aqidah. Dan bercakap soal fatwa ini, teringat pula saya kepada bapa seorang artis terkenal yang pernah saya temuramah satu waktu dahulu.

Masa itu si anak bintang pujaan ramai, kita pun hendak singkap rasa hati si ibu dan bapa. Jadi memang lumrahlah si bapa memuji-muji si anak yang katanya sangat komited dengan bidang seninya. Itu 'darah dan dagingnya'. "Pak cik memang sokong 100 peratus...bla bla bla. Lagipun pakcik yang izinkan dia menyanyi sebab pakcik rasa apa yang dia buat tu satu fardhu kifayah. Menghiburkan orang. "

Saya terdiam.

Kata si anak pula, "bapak saya kata kalau nak bergaya, melaram sakan ok asal jangan pakai dedah. Ketat pun tak apa, janji tak dedah."

Sekali lagi saya tak berani nak komen lebih-lebih sebab ilmu di dada ini pun cuma sesudu sahaja. Tujuan saya membangkit soal fatwa dan hukum hakam ini bukan sengaja nak bercerita buta saja. Tapi sekadar terdetik di hati, dengan penyebaran maklumat mengenai syiar Islam yang sangat pesat melalui Facebook, blog, Twitter dan yang sewaktu dengannya, maka tahulah kita setakat mana ilmu di dada. Banyaknya yang tak tahu -- dari soal yang paling besar, hingga yang paling kecil -- yang perlu diperinci dan diperhalusi. Misalnya, soal membersihkan najis/air kencing baby. Kebiasaannya, kita lap saja dengan tisu basah, tanpa membilas dengan 'air lalu'. Rupa-rupanya dari segi syarak, anak masih belum bersih. Kasihannya. Si anak, dalam keadaan bernajis sepanjang masa, dan tidak didampingi Malaikat. Patutlah baby menangis terlalak. Aduhai (terima kasih Uztaz Don).

Jadi sebaik-baiknya kalau tak tahu, kita tanya para ulamak. Misalnya, menerusi program Tanyalah Uztaz (TV9) atau kat Ustaz Don, personaliti TV Al-Hijrah (yang sangat sejuk mata memandang itu). Kalau masih ada yang belum kenal dengan Ustaz muda yang sudah bertunang ini (hemmmm....dengan bakal doktor, tahun 5, kolej perubatan, Kaherah), bolehlah klik sini

Jadi berbalik kisah sahabat saya yang pulang dari Makkah itu, katanya pada hari pertama ke pejabat, riuh rendah dia disambut -- dengan pelukan dan ciuman tahniah kawan-kawan. Katanya, bukan kerana depa rindu (sahaja) tetapi kerana I sudah pun bertudung. Berkati-kati pujian diberikan. "Kau nampak cantiklah...(alhamdulillah), muka nampak lebih suci bersih.....nampak syahdu...nampak lebih beriman...nampak lebih Islam.


"I terdiam Jun. Mulut senyum, tapi dalam hati ni berkata-kata juga, selama ini aku tak Islam penuhkah? Macam mana depa bagi markah agaknya ya?"

Hem, memang susah hendak kupas bab ini. Inilah yang dikatakan, "jangan nilai buku berdasarkan kulitnya." Apa yang ada dalam hati nurani kita, hanya Allah saja yang tahu. Tudung labuh, tudung singkat, tidak bertudung semuanya akan dinilai oleh Allah Taala. Jadi kenapa yang bertudung memandang sinis kepada yang tidak bertudung dan kenapa yang tidak menutup rambut tidak melihat semula ke dalam diri sendiri. Ini juga bukan satu tujahan, sekadar cadangan.


Tapi hakikatnya, ramai juga wanita yang sekarang ini bertudung, pernah melalui zaman tidak melitup kepala. Jadi, kenapa memberi statement yang tidak ditapis disaring dahulu? Dan ada juga yang pernah bertudung litup sejak kecil, kesudahannya buka segala hijab dan jilbab (nauzubillah). Rahsia hidup kita ini sebenarnya hanya Allah yang tahu, tak berani hendak dikupas -kupas bagai menyelak lapisan bawang. Lagipun kita tak tahu/tak berilmu kalau hendak menegur handai taulan. Kalau kita cakap nanti ditempelak, "kau nak tunjuk alimkah?

Saya pun sekadar mengingatkan diri sendiri kerana anak kita pun tidak bertudung dan sekarang ini sedang memujuk rayu agar segeralah dia berhijab. Saya beritahu Arina, dia mesti pakai tudung dan kalau boleh jangan tunggu P. Mulakan dari sekarang. Bila dah P, wajib pakai. Dia soal balik, "Kakak tu?" Well that's my mistake Nana. And now mama tengah nak betulkan. But you love me...kan?" Dia angguk. He he....senang saja si emak mematikan hujah anak.

Saya rasa bersoal jawab dengan anak tu tak apa, kerana kita mesti ajar mereka menjadi lebih peka dan berani bersuara dan bertanya. Jangan timid atau pasif, takut memberi pendapat. Esuk esuk, bila dah kerja tak berani nak buka mulut. Kalau tak suka, tanya. Kalau tak tahu pun, kena tanya. Kita, sebagai emak jangan pula cap anak yang menjawab itu sebagai anak durhaka Aduhai, bukankah kata-kata kita itu doa?


Dan berbalik kes kawan-kawan si polan, kalau dah nampak kawan tu dah berubah ke arah positif, jangan pula buat kenyataan rambang, "I memang mendoakan satu hari kau bertobat. Pakai tudung."

Niat tu eluk, tapi cakap tu tak berlapik. Ia bukan sahaja mengguris hati si kawan, juga mengundang riak kepada yang bercakap tu.


"Tapi Jun, ada juga yang kata I pakai tudung ni nampak macam orang tua. Macam makcik."

:-(

Hem...sebenarnya kita buat untuk siapa? Kawan? Emak bapak? Adik kakak? Jiran? Atau kerana Allah Ta'ala.

Saya sendiri pun pernah kena kata macam itu. "Kak Jun, I sukalah cara you pakai tudung masa dulu-dulu. You ikat tudung ke belakang. Nampak lagi moden. Sekarang ni macam makcik." Oh! Tuan. Nak buat macam mana. Saya tak kecil hati sikit pun sebab saya tahu memang diri ni dah layak dipanggil makcik. Dah tua mengaku tua. Kenapa nak meranggi lagi kemudian jawab pula, "oh! umur tu sekadar angka."

Tidak! Saya bangkang. To me, umur bukan sekadar angka. Umur itu menandakan sesuatu takah perubahan dalam kehidupan kita. Kenapa Allah menetapkan manusia mengandung 40 minggu? Gajah pula 22 bulan. Kucing sekejap saja. Setahun boleh mengandung tiga empat kali.

Kenapa kalau bercerai mesti patuh ketetapan edah 3 bulan? Kenapa poligami cuma empat sahaja? Well, ini semua berkaitan nombor dan setiap angka itu ada kesan dan kepentingannya. Bolehkah anak manusia hidup jika baru tiga bulan dalam perut dah keluar? Bolehkah kita kawin lain sebelum tamat tempuh edah? Apakah hukumnya?

Jadi kalau yang muda nak nampak tua atau yang dah tua renta pula nak nampak muda suka hatilah. Atau kalau orang nak panggil saya Opah sekali pun, bolehkah saya halang? Tapi saya tanya anak-anak, "tergamak ke tenguk mama sekarang pakai skirt? Pakai baju ketat?

"Oh! ma....please ma...jangan!" Jawab Adam, siap geleng kuat-kuat.



Akhir kalam, saya nak kongsi gambar Perpustakaan Shah Alam yang baru ini. Semalam bawa Arina & Kasih ke sana dan memang berbaloi-baloi meredah sampai ke hujung tanjung yang cantik itu. Cantik sekali, canggih dan mewah. Kata Arina, ".... I can study for UPSR kat sini."

:-))




Perpustakaan baru Shah Alam terletak di seksyen 13, berdekatan dengan kelab golf berprestij di pinggir kota.



Ruang dalam yang sungguh cantik hiasannya, macam berada di kompleks beli belah nan mewah.


Gerbang tersergam, menyambut kedatangan setiap pengunjung perpustakaan.



Kalau nak main komputer di sini, sejam cuma RM1 saja. Canggih komputernya, Mac. Harap kita semua menjaga segala barangan di sini seperti hak milik kita yang kita sayangi.


Bahagian kanak-kanak yang sangat menghiburkan. Banyak aktiviti disediakan, tinggalkan saja anak-anak di sini....Insyaallah, semua selamat.




....bukan main santai. Macam kat living room rumah sendiri.

<