Followers

COPYRIGHT & USE OF IMAGES
All images on this blog are copyright of CUPCAKEKASIH and may not be published without the permission. If you would like to use some of our images feel free to email me at cupcakekasih@yahoo.com

Sunday, July 31, 2011

Doa Untuk Semua



SALAM semua,

Tiga, empat hari lepas saya sibuk menyiapkan tempahan. Nampaknya, ramai yang kempunan kek Red Velvet saya jadi semua mahu melampiaskan selera sebelum mula berpuasa. Jadi berkilo-kilolah cream cheese dan buttermilk yang saya 'kerjakan'. Selain itu saya juga sibuk memenuhi undangan daripada kawan-kawan sempena menyambut Ramadan. Hem, ini trend baru ni. Kata orang rezeki jangan ditolak. Jadi selepas kenyang menjamu selera, ketika mendoakan yang terbaik untuk kawan yang murah hati meraikan kawan-kawan.


Dek kerana jadual yang sibuk, banyak juga berita panas yang saya tak sempat saya ikuti. Jadi malam tadi saya qada' dengan membaca akhbar on-line saja. Antara yang menyentuh hati ialah berita kematian Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesya Farhana, dan kisah tuntutan cerai isteri Jimmy Shanley.


Takziah dan alFatihah disedekahkan kepada aruah Mohd Ashraf. Tak sangka ya, kemurungan boleh 'memakan' hati kita sehingga membawa maut. Dan saya rasa kedukaan Mohd Ashraf itu kini melingkari hati kedua ibubapa dan ahli keluarganya pula.


Dan bagi Jimmy pula, keseronokkan menimang cahaya mata pasti tercalar kembali dengan kenyataan isterinya yang mula 'membuka mulut' mengenai kemelut rumahtangga mereka. Kasihan kepada kedua-dua insan ini. Hidup berumahtangga itu memang penuh onak duri, tapi kalau kita berjaya menelan segala pahit jadam, pasti akhirnya kita akan dapat menikmati kemanisan sebenar sebuah kasih sayang yang dibina atas dasar persefahaman. Saya selalu pesan kat Alia, 'mana ada manusia yang sempurna. Dan kenapa kita selalu mengharapkan orang lain menjadi terlalu sempurna untuk kita? Walhal kita pun ada cacat celanya. Hanya Nabi sahaja yang maksum. Kita ini manusia biasa. Selagi boleh, terimalah pasangan kita itu seadanya.


Tapi kalau bab puasa pula, mestilah kita cuba sedaya upaya menyempurnakannya semampu yang boleh. Bab ganjaran dan pahala tu biar Allah yang menentukannya.









Apapun, sebagai menutup tirai bulan ini....saya paparkan gambar dua kek harijadi yang ditempah oleh Nurul dan Arfah untuk putera dan puteri mereka. Rayyan menyukai Buzz Light Years dan Amani pula suka Barbie.


Semua lukisan dan figurin pada kek Rayyan itu boleh dimakan. Begitu juga kek kembang Barbie yang menggayakan fesyen ala-ala Cinderella.




Ok, akhir kalam saya ucapkan selamat berhari minggu dan selamat berpuasa. Sampai jumpa lagi. Wassalam. Saya nak ke rumah Abby Fana. Nak jenguk baby Azra. Kesian Abby, kena kerja juga hari Ahad dan extra shift untuk MHI.



Wasalam

Tuesday, July 26, 2011

Cerita Hati 7

Salam semua,

HARAP sihat walafiat ya. Hari ini saya nak sambung Cerita Hati Puan Sabar. Tapi sebelum tu saya nak share sedikit tips dari seorang teman yang kini sedang di lambung duka setinggi langit gara-gara suami yang sangat dipercayai seluruh jiwa raga dan urat nadi rupa-rupanya curang dengan sepupunya sendiri.

Kata teman saya ini, kita panggil saja Puan SH (Sakit Hati), suami kalau curang akan mula berperangai pelik. Kalau dulu kurang romantik, tiba-tiba menjadi terlebih baik. Dan satu lagi, kalau dulu handphone dia campak saja merata-rata (dan kadang-kadang dicari tak jumpa-jumpa). Tapi kini alat komunikasi yang satu tu mula dijaga rapi mengalahkan emas sepeti. Kalau dulu anak boleh main games kat handphone si ayah sesuka hati, sekarang ni tak boleh lagi. Terjerit-jerit dia marah anak macam hendak putus anak tekak.

Dan dulu, kita boleh menggunakan handphone tanpa perlu minta izin tapi sekarang ni dia allergic bukan main. Baru terpegang, dia dah serang! Nak buat apa? Eh! Pegang handphone pun dia tanya nak buat apa? Mestilah nak call seseorang. Takkan nak masak atau nak sikat rambut kot. Jadi, kenapa si suami kelam-kabut? Ya puan puan sekalian, itulah petanda awal sudah berlaku sebuah selingkuhan (dan mungkin tak ada kesudahan).

Bak kata Puan SH, `warna' (perangai) suami curang ni akan berubah-ubah mengikut keperluan dan keadaan. Biasanya, suami yang sudah ada kekasih gelap akan menjadi terlebih baik/romantik. "Depa mula rajin bagi pelukan dan ciuman. Ada yang lebih advance, rajin bagi bunga + hadiah. Kadang-kadang hadiah tu sangat mahal, sampai kita pun naik khayal." oh! Rupa-rupanya, semua ini adalah sebagai modal untuk menutup kecurangan, juga sebagai penyendal rasa kesal. Maklumlah, dalam hati ada cinta tapi di rumah isteri menunggu penuh setia. Jadi, bagi meredakan gelora jiwa maka kita pun dia gula-gula.

"Lebih dahsyat tahap kecurangan si suami, maka lebih hebat hadiah yang kita dapat. Dan, biasanya mereka akan beli hadiah kat kita (juga) kalau depa baru sahaja bagi hadiah kat kekasih hati. Konon-kononnya, nak berlaku adil. Tapi ada encik Suami yang yang lupa diri..., tergamak hadiah isteri yang dah menopause tu katok G-String," ujar Puan SH geram!

(p/s: tahu tak macam mana ropa katok G-String? Google ya!)


Berbalik pasal handphone tadi, kata Puan SH, kalau dulu tak ada password tapi sekarang mula pasang segala security. Password pun kerap bertukar-tukar tau. Selang dua, tiga hari depa tukar, selang dua tiga hari, depa tukar lagi. Maklumlah, orang buat salah, memang selalu menggelabah. Tapi yang tak cerdiknya, kata laluan itu depa tulis kat kertas, dan simpan kat dalam poket seluar. Hem....siapa yang basuh seluar tu? Isterikan? Ha ha (habis pecah lobang!)

Selain handphone, komputer riba juga dijaga macam emas seraga. Bak kata Puan SH, dia mula ragu-ragu tahap kesetiaan encik Suami yang sudah separuh botak dan beruban itu apabila dia tak lepas memeluk komputer riba. Kadang-kadang sampai nak tidur pun benda tu masih ditangan. Tekun sungguh dia mengadap benda tu. Macamlah bisnis besar sangat....setakat jual tepung, gula dan mentega saja.

Puan Sabar bersetuju dengan pendapat Puan SH. Memang perangai suami yang curang berubah apabila pecah tembelang. "Awalnya, mereka takut, tapi apabila tenguk kita masih memaafkan dan terus bagi peluang maka rasa sayang dan hormat suami kat kita pun akan hilang."

Inilah kesilapan paling besar seorang isteri apabila tidak dapat membezakan antara cinta palsu dan asli. "Kita selalu mencari alasan untuk kekal dalam perkahwinan dan biasanya anak sering menjadi sandaran."

Dalam kes Puan Sabar - anak dan cinta yang merantai hatinya. Tapi peristiwa di bandar T menyebabkan dia tidak lagi mengharapkan apa-apa dari suami. Di mata lelaki itu, Puan Sabar seperti halimunan. Tidak wujud. Hanya Miss X dan Miss XX saja yang bertahta di hatinya.

Jadi, Puan Sabar hanya membisu 1000 bahasa ketika sesi terjah dilakukan kedua-dua wanita selingkuhan suaminya. Lelaki itu datang dengan penuh gaya kerana sangkanya pertemuan petang itu akan menjadi yang paling keramat. Penuh nikmat. Eh! tau tau dia diserang hendap!

"Tapi yang saya heran tu dia boleh buat muka selamba saja. Takda riak terkejut atau bersalah pun, sedangkan kedua-dua pompuan tu (kekasih si suami) dah hangin satu badan, tapi dia boleh senyum saja."

Menurut Puan Sabar, suaminya boleh kata macam ni..."Ah!! Dah terlanjur korang semua kat sini, meh abang perkenalkan. Ini isteri abang." Intonasinya rileks sungguh, tanpa secalit pun rasa bersalah. Saat itu Puan Sabar tahu dia perlu mengira edah. Tak perlu bersuluh kerana sudah terang dan nyata Miss X yang berkuasa dan tak sabar-sabar nak ambil aleh tempatnya. Cara dia terjah, mengalahkan isteri yang berjaya tangkap suami yang sedang bermukah. Agaknya kalau tidak kerana di tempat awam, kekasihnya itu sudah lunyai dikerjakan.

"Miss XX?"
"Oh! Dia pun cool juga. Sikit pun dia tak heran dengan reaksi berlebih-lebihan Miss X."
"So?"
"Miss X yang sudah hilang pertimbangan itu bagi kata dua kat encik Suami, now you pilih yang mana satu?"

Dan tanpa berfikir dua kali, encik Suami kata, 'mestilah you sayang.'

Puan Sabar redha. Dia sudah menjangkakan hal itu akan terjadi juga dan dia sudah pun bersedia menerima gelaran 'janda'. Bak kata orang, 'mengapa di pegang janji sang lalang, ke kanan ke kiri tiada yang larang'. Jadi, sebaik sahaja mendengar keputusan si suami, Puan Sabar pun angkat kaki. Hanya hatinya saja yang membisikkan duka. Begitu mudah rumahtangga yang dibina musnah. Berbelas tahun hidup bersama-sama, akhirnya dia dibuang seperti hama.

Memang kering betul hati lelaki seperti Mr Y. Sepatah kata maaf pun tidak terkeluar dari mulutnya. Apalagi ucapan terima kasih untuk semua tenaga, masa dan wang ringgit yang sudah si isteri itu curahkan sepanjang perkahwinan mereka. Dan Puan Sabar pun sudah berjanji kepada diri sendiri, tidak mahu menjatuhkan maruahnya -- menyerang mana-mana perempuan sekali pun kerana semua itu hanya memalukan diri sendiri saja.

Miss XX pun tidak mahu bertelagah dengan Mr Y kerana dimatanya lelaki itu sungguh tidak bernilai. Baginya, setakat sebuah kereta terpakai yang dah nak terbarai -- tak berbaloi hendak bergolok bergadai. Sangkanya selama ini Mr Y itu kaya, tapi tembelang busuknya didedah Miss X sendiri. Dia memang sakit hati, tapi baginya cinta itu datang dan pergi seperti hari yang terus bersilih ganti. Ibarat orang memancing, kalau sabar pasti akhirnya akan dapat ikan besar. Dan bagi perempuan seperti Miss XX, badan menjadi cagaran dan kalau setakat Miss X yang berjubah itu sedikit pun dia tak heran.

Menurut Puan Sabar, ketika encik Suami mengucapkan 'sorry' kat Miss XX kerana terpaksa memilih hanya satu di antara dua, Miss XX hanya tersenyum sinis. Inilah jenis perempuan yang hanya mau kaut untung tanpa memikirkan tindakannya itu mungkin menyebabkan ada anak dan isteri hilang tempat 'bergantung'.

...begitulah alkisahnya, nanti kita sambung.


Monday, July 25, 2011

Cerita Isnin




SALAM semua,

Isnin yang sunyi. Saya perlu menghabiskan semua kerja menulis yang tertunggak sebab mulai esok sampai Sabtu jadual saya sudah penuh dengan undangan makan-makan, bersempena menyambut Ramadan. Hem, murah rezeki. Alhamdulillah.


Last Saturday saya dengan penuh semangat pergi ke Jakel di Seksyen 7 (lagi) untuk cuci mata dan tak sampai sejam, duit pemberian cik Suami sudah selamat bertukar tangan. Memang saya kalah sungguh kalau bab kain ela ni. Memang tak kuat semangat. Rambang mata, dan macam kena pukau jer, tau-tau dan berela-ela dalam shopping bag! Puas juga baca doa tahan hati, tapi akhirnya ....ku tertunduk juga di kaki Jakel. Memang dah beribu-ribu duit saya habis kat situ. Dulu sebelum ada Jakel saya gila ke Euro Moda Shah Alam, dan sebelum tu Nagoya. Hai, inilah salah satu penyakit saya. Sampai sanggup pergi belajar jahit baju demi hendak memuaskan hati, menjahit baju sendiri. Dulu-dulu, semasa belum gila kek, saya gila jahit baju. Semua saya buat sendiri -- baju raya dan baju Melayu cik Suami dan Adam settle. Cantik tak cantik, itu belakang kira. Semuanya saya nak jahit sendiri. Saya tahu jahit seluar lelaki dan perempuan, tapi malas sebab rumit sangat. Kalau langsir dan cadar tu boleh disiapkan dalam tempuh terhad sebab jahit lurus ni senang sanja. Hem, memang gigih sungguh, tapi tak juga kaya raya! Tapi tak apa, yang penting, misi menentukan tema fesyen dan warna baju raya tercapai!


Now saya fikir bab nak buat biskut raya pulak. Memang Ramadan tidak sesibuk bulan-bulan lain kerana saya nak enjoy bulan ini dengan cara tersendiri. Dulu masa kerja, dah jenuh beradu tenaga di atas jalanraya demi nak menyudahkan semua assignment supaya dapat cuti Raya sepuas-puas hati. Memang kering tapak kaki tau. Letih dahaga jangan cakap, tapi ku pulun juga atas nama kerja. Tapi, sekarang ni, nak cuti berapa hari? Tepuk dada tanya selera.


Tapi selepas seminggu Syawal, siaplah. Saya akan kembali sibuk, rasa-rasanya sampai tak jejak tanah. Itulah rutin hidup kita ni kan? Berputar mengikut ketentuan alam dan cerita takdir. Sibukkkk memanjang. Kerja, kerja, kerja saja, sampailah saat kita menutup mata. Jadi, jangan terlalu memberatkan hati memikirkan hal yang menyesakkan dada. Masalah tetap ada dan kalau nak bersedih cita pun boleh, tapi jangan sampai kedukaan itu terpancar di wajah kita. Biar pecah dada, tapi di mata orang kita tetap nampak cool saja.


Bagi saya, masalah paling saya takut ialah soal kesihatan diri sendiri, anak dan suami sakit. Emak sakit pun saya sedih juga. Tapi yang lain-lain tu, kita pejam mata sajalah. Jangan fikir masalah keterlaluan dan jangan dipersoal takdir. Itu kerja Tuhan.


Ok, panjang pulak mukadimah saya kali ini. Sebenarnya saya nak kongsi gambar dua gadis manis ini yang sanggup kumpul duit demi memenuhi impian belajar rias merias bunga gum paste. Masih muda tapi dah ada cita-cita tinggi untuk buka perniagaan satu hari nanti.




Waty ni berasal dari Kota Kinabalu, masih belajar di sebuah universiti di kota kelahirannya itu tapi sanggup turun KL untuk menghadiri beberapa kelas intensif di sekitar Lembah Klang, termasuklah dengan Cupcakekasih. Thanks Waty sebab nama kak Jun tersenarai dalam senaraimu. Selain ditaja emak ayah, Waty turut mengeluarkan duit simpanannya sendiri. Bagus tu, positive attitude! Satu pelaburan yang sangat berbaloi-baloi. Nanti dah habis belajar boleh buat pilihan -- nak makan gaji atau nak buka perniagaan sendiri.


captions: Waty dengan hasil bunga gum paste yang berjaya disudahkan dalam tempuh lima, enam jam saja. Memang tangannya berseni. Jadi, sekarang ni Waty sudah tau macam mana nak mengadun gum paste dan menguli dohnya membuat bunga Peonies, Carnation, Cala Lily, Rose, Daffodils dan ranunculus.

captions: Ramai tanya saya peralatan yang digunakan untuk dekorasi bunga gum paste. Sebenarnya ada berbagai-bagai jenis, tapi untuk beginners, inilah alat paling ajaib. Wajib ada! Sesiapa berminat, sila email ya. Memanglah saya sibuk tapi masih boleh tolong belikan juga.

Dan ini pula Diana, yang minat sangat memasak dan merias kek. Sebenarnya, cik adik ni balik dari UK, belajar perakaunan di Nottingham dan kini bekerja di bidang sama. Tapi sebab minat, Diana tak kisah menjadi midnite baker. Masih muda, dan banyak tenaga...jadi pursue saja apa yang kita suka.






Jadi, kepada yang berminat mengikuti kelas dekorasi, boleh tempah tarikh selepas Ramadan ya. Kalau nak tempah kek kahwin atau bertunang, silalah hantar emel sekarang sebab sering terjadi, dua tiga hari lagi nak naik pelamin baru teringat kek pemanis hidangan penyeri hantaran tak ada pula.


Akhir kalam, kepada yang sudah LIKE page Cupcakekasih, saya akan kirim resepi Red Velvet. Tapi yang emel saya selepas tengah malam tadi, maaf ya.... tawaran sudah expired. Kita tunggu sesi lain ya.

Sampai jumpa lagi, dan jangan lupa kejar 500 ribu. Ada hadiah juga.

Wasalam




Sunday, July 24, 2011

BONUS: Resepi Redvet




SALAM Semua

Sejak Red Velvet mencuri hati penggemar kek di Malaya, saya telah menerima tempahan yang sangattttt banyak untuk kek ini sahaja, mengatasi kek yang lain (maksud saya -- cheese cake, Carrot cake atau Moist Chocolate Cake dgn Chocolate Ganache).


Saya terima baaaaanyak email, meminta saya kongsi resepi Red Velvet itu. Jadi bersemepena kehadiran Ramadhan yang tak berapa lama lagi ini, saya akan kongsi resepi Red Velvet saya ini (yang juga telah menyebabkan kawan saya Linda yang sering 'meroyan' apabila lama tidak pekena kek saya ini...he he he).


Tapi ada syarat cinta yang senang saja. Pembaca yang mahu resepi ini perlu LIKE fanpage Facebook Cupcakekasih saya dahulu di sini, kemudian email saya ya.





Sampai jumpa lagi, wasalam

p/s: saya nak pergi rumah MIL, sebab durian dari Pahan g sudah sampai....

Friday, July 22, 2011

Jejak Kasih + Ayam Panggang Dari Syurga


Salam Semua

Siang tadi saya meluangkan masa bersama sahabat baik saya -- kawan sama-sama menangis dan ketawa ketika di majalah Jelita iaitu Lily Haslina Nasir dan Khairol Bariah Kamaruddin (Bariah).

Peminat novel mesti kenal siapa Lily Haslina Nasir dan Bariah, Penerbit di TV3 + TV9. Dahulu kami sebumbung di majalah Jelita dan kini kami sama-sama membawa haluan masing-masing tetapi masih saling rindu-rinduan. Dan pertemuan kami tadi bukanlah sekadar hendak borak-botak kosong sahaja kerana kami merancang untuk menganjurkan majlis Jejak Kasih (reunion) dengan bekas wartawan majalah Jelita yang sama-sama membina kerjaya sejak di Jalan Liku dan Jalan Riong, Bangsar pada satu waktu dahulu.

Semoga niat suci kami ini akan termakbul kerana sejak usia semakin bertambah-tambah ni, kita menjadi lebih melankoli dan suka sekali bernostalgia tentang masa lalu dan sangat berhajat untuk mengeratkan kembali silaturahim yang pernah terjalin agar semakin sayang dan kental berpanjangan. Kata orang tu hendak bermaaf-maafan juga sebab kita tak tahu siapa yang akan pergi dulu...kan?

captions: Lily Haslina Nasir (tudung biru) dan Bariah. Love you all... dindaku. Kami kalau berjumpa tak boleh sejam dua. Kalau nak tahu persidangan santai ini bermula jam 10 am (di Secret Recipe) -- kami order saja makan dan minum sesuka hati kami saja (rasa dahaga angkat tangan, panggil waiter. Rasa lapar jer, angkat tangan lagi) macam kat rumah sendiri. Order saja, bil belakang kira. Tahu-tahu, kami melepak situ sampai jam 4 pm. Apalagi, bBerkejar cari surau kat Mid Velley Mall tu, (kami panggil Lembah Tengah) untuk solat Zohor (buat 2 dalam satu ler, apa lagi) dan selepas itu sambung semula persidangan kat cafe Krispy Kreme sampai jam 7 pm. Kalau ikut hati malas nak berpisah, tapi teringat pulak yang kami ni sebenarnya emak/isteri orang, jadi dengan berat kaki dan 'berat badan' kami pun melangkah pulang. Hem.... tersentuh sungguh hati setiap kali kami mengungkap cerita masa lalu yang penuh dengan suka duka dan kenangan inilah yang membuatkan kita sangat sayang kawan yang sanggup bersusah senang - sejak dari zaman muda, dan mungkin sampailah kita menutup mata. Semoga persahabatan kami ini tidak pernah merenggang. Amin

Jadi, dek kerana urusan berbangkit ini, hajat saya hendak menyambung kisah Cerita Hati pun terencat lagi (alasan lagi). Jadi sebagai halwa mata dan halwa rasa, saya papar koleksi resepi saya ini, Ayam Panggang Dari Syurga. Saya copypaste resepi dan teks di bawah dari terbitan lalu saja. Kalau esok tak ada idea nak masak apa, boleh cuba mencuba ya....!


Ayam Panggang Dari Syurga
(nanti saya bagi resepinya...malam nanti )

Sebenarnya, membuat ayam panggang ni sangat senang. Saya tergerak hati hendak membuatnya selepas menonton rancangan MarthaStewart tu. Eh! ideanya mudah benor...kita cuma perlu ada ayam dan oven. Lepas tu yang lain tu ikut suka hati emak kita ler. Nak lumur ayam dengan rempah rendang ke, rempah black pepper atau sekadar taruk garam dengan kunyit saja pun jadi. Apa yang penting.....mesti ada ayam. Kalau pakai kambing, kita tukar tajuknya jadi Kambing Panggang Dari Syurga. Kalau gajah, kita tukar nama resepi ni jadi Gajah Panggang dari Syurga. Apapun daging nak dipakai....kat hujung tu mesti ada perkataan 'syurga'. Satu, lagi, ayamnya mesti muda...bukan ayam pencen. Jadi untuk resepi Ayam Panggang Dari Syurga.

Bahan-bahannya:

BAHAN A
Ayam (biar gummuk dan gebu. Beli yang besar, bukannya kurus atau yang dah pencen)


BAHAN B
3 tsp butter
3 tbs sos tiram


BAHAN C
4 ketul ubi kentang
1 cili benggala
4 biji bawang besar
Segenggam baby tomato

CARA MEMBUATNYA
1. Ayam dibersihkan. Keluarkan isi perutnya.
2. Sapu atau lumur seluruh badan ayam dengan butter.
3. Kemudian lumur pula dengan sos tiram pada seluruh badan ayam termasuk dalam lubang perut ayam itu juga.
4. Perap sekurang-kurangnya 30 minit (tapi lebih sedap kalau sejam lebih).
5. Kemudian setengah bahan C dalam perut ayam dan sebahagian lagi disusun di keliling ayam.
6. Panaskan oven 190 darjah selsius (sapu butter sekali lagi ke seluruh body ayam. Boleh juga di sapu madu dan dipipiskan dengan lada putih, sesedap rasa.

Sila klik link ini untuk maklumat lebih lanjut. Wasalam.



Thursday, July 21, 2011

Menanti 500,000


SALAM Semua,

Tak lama lagi nak raya. Tapi sebelum raya kita kena puasa. Dan, sebelum puasa,kita kena ganti puasa. Jadi, kesimpulannya pastikan puasa sudah berganti sebelum kalendar Islam bertukar lagi. Kalau semua sudah sempurna kita top-up dengan yang sunat selagi larat, sambil berbincang dengan suami konsep raya tahun ini. Oh! Part ini saya suka. Sabtu ni kena pergi Ja*** lagi sebab baju raya yang tempah hari tu dah terpakai pulak pergi kenduri. Jadi, mana mungkin baju itu digayakan sekali lagi di pagi Aidilfitri nan suci. Jadi, kenalah kita cari barang sehelai dua lagi! :-))


Betul tak?


Ok, selain baju raya, juadah raya pun penting juga. Jadi, terlanjur bercakap mengenai bab hidangan raya ini saya ingin mengumumkan penantian detik 500,000 pun dirasmikan mulai malam ini. Syarat-syarat penyertaan adalah seperti berikut:-

1. Peserta mestilah warga Malaysia.

2. Peserta sudah layak mengundi: maknanya golongan dewasa.

3. Peserta wajib mengambil hadiah sendiri di tempat yang ditetapkan oleh penganjur - Cupcakekasih.

*Sekiranya peserta bermastautin di luar Lembah Klang atau di luar negara, masih boleh menyertai Penantian Detik 500,000 ini, tapi perlu menghantar wakil yang sah untuk mengambil hadiah di tempat yang ditetapkan oleh Penganjur.

4. Peserta perlu email TIGA perkara berikut kepada penganjur iaitu:

i. Screenshot CUPCAKEKASIH dengan penunjuk angka 500,000

ii. Screenshot yang membuktikan peserta adalah FOLLOWER blog Cupcakekasih.

iii. Screenshot yang membuktikan peserta sudah LIKE Facebook Fanpage Cupcakekasih

(klik LINK ini untuk LIKE Fanpage Cupcakekasih. Selepas LIKE, tulis slogan "Saya suka Cupcakekasih" di WALL Fanpage tersebut. Selepas itu klik butang Print Screen (atas sekali, tiga dari kanan tertera Prt Sc, buka Word Document dan tekan Paste. Settle)

iv. Peserta perlu membawa LIMA kawan untuk LIKE Fanpage Cupcakekasih dan lampirkan nama kelima-lima orang kawan untuk disemak oleh Admin.

5. Hadiah tidak boleh ditukar dengan wang tunai atau hadiah lain, selain dari yang ditetapkan oleh Penganjur.

6. Pemenang perlu mengirim email dengan semua bukti penyertaan seperti yang sudah termaktub dalam syarat-syarat penyertaan dalam LAPAN jam selepas kemenangan.

7. Penganjur akan menetapkan sendiri tarikh serta masa yang sesuai untuk menyerahkan hadiah kemenangan. Sekiranya peserta gagal memenuhi tarikh penyerahan hadiah seperti ditetapkan Penganjur lebih dari TIGA kali, maka secara automatik taraf kemenangan lupus dan Penganjur berhak memberikan hadiah tersebut kepada salah seorang daripada LIMA peserta terdekat dengan no: 500,000 (contoh: 499,998 atau 499,999 atau 500,001 atau 500,002).

8. Hadiah: sebuah *Novelty Cake atau Cake Hantaran atau Kelas Dekorasi Bunga Gum Paste.

* Novelty Cake = sesuai untuk harijadi atau anniversary
* Kek Hantaran = siapa tak nak kek untuk majlis pertunangan atau perkahwinan...betul tak?

Ok, setakat ini dulu amanat dari Penganjur. Kalau ada rezeki, adalah ya. Kalau tidak kita tunggu sahaja musim akan datang ya. Sampai jumpa lagi. Wassalam


Bercanda Sepekan...

Oh! Patutlah lama tak sambung Cerita Hati. Rupa-rupa, seminggu bercuti, pengarang bersuka ria menikmati waktu senggang dengan berbagai aktiviti memasak dan sembang-sembang.


Ini adalah sesi yang paling saya tunggu, belajar buat Tart Nanas. Maaf, correction -- bukan tak tau buat Tart Nanas, tapi belajar buat tart dengan pakar. Tenguklah, saya dok ralit membelek hasil terapan idaman. Maklumlah, tak lama lagi dah nak puasa, jadi kita pun mulalah kembali bernostalgia. Tart Nanas kegemaran kami sekeluarga dan setiap tahun inilah satu-satunya kuih yang mendapat tempat di meja utama. Zaman dulu masa saya masih lagi berkerja membanting tulang dari subuh sampai ler ke rembang petang, mana minat memasak pun + memasak itu adalah kegiatan hujung minggu (kalau rajin) sahaja. Jadi, mana mungkin saya nak buat biskut raya. Semua main tunjuk tunjuk saja. Saya ingat lagi kalau seminggu dua lagi nak puasa, pejabat jadi sungguh meriah dengan bermacam jenis sample biskut raya. Biasanya saya akan beli semua biskut yang diletakkan kat atas meja saya. Tak payah rasa pun tak apa, saya akan beli juga kerana tiga sebab >>


* satu: memang saya tak akan buat biskut raya sendiri, microwave oven tu hanya digunakan untuk memanaskan lauk saja, especially waktu sahur. Jadi takkan nak dibiarkan balang kuih tu kosong saja.
* dua: saya mesti beli extra sebab nak bagi mak saya, mak mentua dan sapa-sapa yang langkah kanan. Maknanya kalau masa tu saya ada sebalang kuih dalam but kereta, terjumpa pula kawan lama kat mana-mana, jadi saya akan bagi sebagai buah tangan.
* ketiga: sebab kesian kat penjual tu. Saya tak akan beli di pasaraya sebab biasanya tak sedap dan kedua, saya rasa tokeh pasaraya tu dah kaya dan banyak sumber pendapatan. Jadi biarlah saya tolong peniaga kecil-kecilan ni.


Jadi, sekarang ni sebab saya dah pun jadi wartawan pencen maka alasan *satu* di atas sudah tidak relevan. Jadi, demi hendak menunjukkan kerajinan kepada encik Suami, maka saya akan buat semua biskut raya. Tahun ini saya berazam untuk buat dua biskut saja -- Tart Nanas dan Chocolate Chips Cookies sebab itu saja yang laku. Biskut lain tu kalau ada, buat pekasam saja sebab depa tak akan sentuh.


Berbalik kisah Tart Nanas ni, saya rasa sangatlah teruja sebab kawan saya Anita Jamal yang memang terkenal sebagai pakar masak dan pakar rias kek paling Vogue, sudi berkongsi resepi Tart Nanasnya yang sangat sedap itu. Jadi Isnin lalu, saya pun dengan perasaan penuh berbunga-bunga mampirlah ke rumah Puan Sri kita ini di Bandar Utama. Saya dah rasa bermacam jenis tart, tapi lidah saya ini cuma berkenan kat Tart Anita Jamal seorang saja....sedap sungguh. Lemak manis, cair di mulut you. Hilang kempunan dek. Dapat juga saya ilmu yang berharga ini. Sebelum saya berkongsi dengan pembaca, biarlah saya buat dulu sebab vuat depan sifu dengan buat sendiri tak sama. Silap-silap tart tak mau gebu, malulah you.


Lihatlah, betapa tekunnya saya menerap Tart Nanas.


Cikguku kawanku -- AJ yang sudi berkongsi resepi dengan saya....terima kasih daun keladilah ya.
Inilah tart yang dibuat hari tu. Saya cuma tolong terap dalam 10 ketul saja.....tapi nak credit juga!
Kek coklat dan kek Red Velvet menambah selera...tak sedar borak dari pagi sampai petang.
Tart siap....saya pun pulang. Alhamdulillah....nanti saya tunjukkan hasil tart saya....yang sudah pun menunjukkan tanda tanda menggebu sama seperti tart yang ditunjur ajar oleh sifuku.


LEBIH BANYAK LAGI GAMBAR YANG MENARIK. KLIK SINI.


Akhir kalam, bertemu lagi secepat mungkin.

Wasalam

Men, Chocolate and Coffee Are All Better Rich

SAYA setuju 150% dengan tajuk ini....! Kalau nak tahu lebih lanjut cerita di sebalik tajuk ini, sila klik link di bawah ini ya. Saya akan muncul kembali dengan cerita penuh menjelang esuk. Sampai jumpa lagi...nite nite.


wassalam

Tuesday, July 19, 2011

Puteh by Rizalman



Salam Semua,

KOTAK email saya penuh. Semua ralat kerana kisah Puan Sabar masih tergantung! Hem...sebenarnya saya pun ingin menamatkan episod kelat ini tetapi kesuntukan waktu untuk terus mengarang membuatkan saya terpaksa juga akur perintah mood yang selalu tenggelam punca. Memang susah nak dapat ilham pada sebelah siang.


Jadi sementara menunggu episod terakhir Puan Sabar, saya hidangkan dahulu PUTEH by Rizalman. Inilah koleksi yang ditunggu-tunggu oleh semua peminat fesyen dan menjelang Aidilfitri kali ini nampaknya sifon dan kaftan masih menguasai semangat lebaran. Ilham segar Rizalman menyerlahkan gaya yang tiada duanya -- pesona menawan, membuatkan kita berasa tidak sabar hendak menggayakan koleksi ini di pagi Aidilfitri.



Memang tidak berkelip mata kami tatkala menatap peragawati yang tinggi lampai menggayakan seluruh busana hebat Rizalman. Gabungan cahaya dan bunyi yang sungguh dramatik menambah mood pada malam itu, membuatkan saya sendiri terperasan, boleh catwalk macam model profesional itu. Mungkin gambar saya yang sesetengahnya kelabu ini mengganggu angan kalian, tapi aura hebatnya masih boleh kita rasai....kan? Segar dan penuh pesona. Saya hanya papar sebahagian dari koleksi ini di sini dan selebihnya boleh klik link ini ya,








Ya! Semua maklum hanya yang diundang sahaja berpeluang menghadiri majlis eksklusif ini dan saya terasa amat tersanjung kerana nama saya terselit dalam senarai tetamu Rizalman. Sebenarnya, anakanda saya, Alia yang minat sangat dengan Rizalman dan seminggu sebelum majlis berlangsung dia sudah kepanasan, sms saya.


"Ma, Alia nak pergi."
"Eh! Macamlah mama boleh bagi tiket kat Alia. Alia tanyalah uncle, kan Alia ada nombor hp dia."


Hem...teruja betul budak ini dan apabila Rizalman membalas smsnya, segala hal yang lain tidak lagi penting bagi Alia. Dia cuma menghitung hari saja.



berseri sungguh muka Alia....dapat bergambar dengan Rizalman...



Saya pula, sejak gantung tag 'wartawan', memang jarang sangat nak pergi majlis glamour begini sebab selalu terhalang dengan keperluan lain. Tapi untuk melepaskan peluang menatap koleksi hebat Rizalman, tidak sama sekali. Kebetulan, kawan saya, Penerbit TV Media Prima, Bariah, juga mahu date dengan saya ke majlis yang sudah menjadi bualan hangat di kalangan media, peminat fesyen dan all ningrats and bangsawans ini... maka saya pun mengatur langkah penuh kesukaan.


me and Bariah...(Jumaat ini kita dating lagi :-))

Alia tersenyum sepanjang malam (bersama Editor GLAM, Aida dan Bariah)

Akhir kalam, jangan lupa LIKE fanpage Facebook Cupcakekasih ya.

Selamat malam dan wasalam

Monday, July 18, 2011

Cerita Hati 6

Salam semua,

KATA orang, janji jangan dimungkir tapi mana mungkin kita mengatasi ketentuan takdir. Jadi, walaupun saya berjanji menyambung cerita Puan Sabar secepat mungkin tapi ada pula beberapa hal berbangkit. Jadi tanpa bertangguh lagi biarlah saya sambung Cerita Hati ini sebelum basi.


OK, nampaknya kemelut kasih Puan Sabar dengan encik Suaminya, Mr Y semakin pelik dan berbelit-belit. Belum selesai bab Miss X yang semakin galak menyira hati encik Suami, Puan Sabar dikejutkan dengan kehadiran Miss XX yang identitinya masih misteri.


Sikap kekasih encik Suami yang 'lebih sudu dari kuah' membuatkan Puan Sabar rasa sangat tercabar. Nak dikatakan Miss X ini kurang matang sebab masih remaja tak boleh juga sebab sebenarnya dia sudah pun bergelar 'cik Jan'. Dan, kononnya Miss X dipaksa kahwin keluarganya, jadi sebab itulah ia tidak mampu dipertahankan. Dek kerana kesepian menyebabkan dia mengintai-intai cinta baru. Tetapi, mengapa tergamak dia mendera perasaan Puan Sabar? Tidakkah pengalaman pahit akibat keruntuhan rumahtangga dahulu memberi kesan di hati dan boleh dijadikan sandaran sebagai mengemudi kehidupan.

Kini, dia sendiri panasaran. Hati sendiri yang terpanggang akibat bermain cinta dengan suami orang. Barulah dia tahu makna sakit hati apabila kasihnya dikhianati.

Menurut Puan Sabar, dia langsung tidak mahu ambil tahu rancangan Miss X dalam mengatasi kemelut cinta tiga seginya itu. Tapi apa yang pasti, dia berasa sangat lapang dada selepas memberikan nombor telefon misteri kepada Miss X. Biarlah perempuan itu yang menangani masalahnya sendiri. 'Aku mau rehat!'

Jadi sebaik sahaja seminar kendaliannya tamat, Puan Sabar pun menghabiskan masa dengan anak-anak di hotel.

Tapi, panggilan SOS daripada Miss X terus mengganggunya.

"Kak, datang ke pekan T dalam tempuh sejam ya sebab saya nak semuka dengan pompuan tu. Saya dah called abang. Dia tak tahu lagi rancangan kita. Akak datang saja. Jangan bocorkan rahsia!" Tegas Miss X.

"Akak? Abang? Rancangan kita? Eh! Apa semua ni. Dia tak tau ke aku ni sapa?" Rungut Puan Sabar cuak. Ternyata budaya hidup Miss X terlalu songsang, sampai dia tak dpt membezakan antara malam dan siang, batu atau orang, makna setia dan curang. Dan kerana itulah dia boleh telefon Puan Sabar tanpa segan silu.


Tapi, walaupun hati terlalu gerutu, Puan Sabar ikut saja rentak Miss X itu. Seluruh tubuh dan pancainderanya bagai ditarik magnet, menyebabkan tindak balasnya terarah kepada perempuan selingkuhan suaminya itu. Apa saja yang Miss X suruh, dia patuh.

Jadi dalam keadaan hati terbahagi dua, Puan Sabar mengikut saja rancangan kekasih hyper suaminya itu. Rupa-rupanya Miss XX yang turut terkejut dengan panggilan hangit Miss X. Jadi dia pun tidak sabar hendak bersemuka dengan sembilu hatinya itu. Apapun, dalam keadaan marah, kedua-dua wanita ini sepakat untuk memerangkap pengarang jantung yang amat dicintai itu, yang selama ini sudah 'melayur' hati mereka sehingga terpedaya dan menjadi 'buta' jiwa.

Menurut Puan Sabar Miss XX menelefon kekasihnya, mahu berjumpa dengan kadar segera bagi meredakan gelora jiwa. Maka, sudah tentulah si lelaki yang sedang angau itu menggelupur kesukaan, kerana menyangka ikan sudah termakan umpan. Tanpa syak sedikit pun, dia bergegas ke pekan T, kira-kira 2 jam perjalanan dari Lembah Klang semata-mata mahu bertemu Miss XX.

"Sempat juga encik Suami saya tu telefon Miss X, minta tangguhkan dating mereka petang tu. Kononnya, dia ada urgent meeting. Dan saya pun buat buat telefon dia (encik Suami), merayu supaya dia datang ke Utara, bercuti dengan anak-anak. Eh! Encik Suami balas sms dengan penuh kemarahan. Kononnya 'orang nak kerja, sibuk disuruh cuti'." Bukan main ya, sanggah Puan Sabar dalam hatinya.

Akhirnya, kemuncak episod mendebarkan ini pun berlangsung seperti direncanakan Miss X. Kali pertama Puan Sabar memandang Miss XX, matanya terbuntang. Sesaat itu juga dia teringat seranah encik Suami, yang kononnya sudah hilang kasih terhadap Puan Sabar kerana dia tidak mahu bertudung labuh. Kononya, encik Suami tak suka Puan Sabar menggayakan fesyen tudung singkat. Jadi kerana itulah dia (Si Suami) bermati-matian mempertahankan cintanya terhadap Miss X kerana terpesona benar dengan gaya si buah hati itu yang bertudung labuh. Jadi, kata kunci di sini ialah 'singkat' lawan 'labuh'. Relevan tak? Bermain kayu tiga kerana isteri tak mau pakai tudung labuh. Logik tak?

Hemmm.....! Kalau sekali pandang, memang terasa kudusnya lelaki ini!!! (Kononnya). begitu merindui sebuah wajah penuh berhemah...bertudung labuh sebagai tanda seorang muslimah.

Tapi, kalau betul tergila-gilakan pompuan bertudung labuh, kenapa pulak si Miss XX tu berskirt pendek dan berbaju sendat? Adakah kini encik Suami Puan Sabar sudah beraleh kiblat? Sebenarnya, bukan setakat sendat, tapi fesyennya aduh...sudah boleh dianggap separuh lucah. Hem....Puan Sabar tak habis fikir. Dimana logiknya. Sakit dahinya sebab dok berkerut 1000. Dia benar-benar keliru. Tak tahu mana satu alasan yang genuine dan yang palsu. Tapi apa yang pasti, "aku sudah kena tipu."

Apapun, hati Puan Sabar menggeletek juga melihat reaksi Miss X yang begitu panas melihat Miss XX.

"Pompuan yang sorang ni cool saja. Tapi Miss X jer yang berasap kepala. Macam ternampak-nampak jer tanduk dia. Silap haribulan, mau disondolnya 'madunya' itu. Saya pandang aje. Dah tak rasa apa. Nak padankan muka dia pun tak kuasa."

Menurut Puan Sabar, suasana sungguh tegang. Mujur restoran ramai orang. Tapi Miss X dan Miss XX sama-sama tak boleh pandang memandang. Masing-masing berbalas jeling. Mujur tidak juling. Bagi kedua-dua perempuan yang sedang berperang dalam hati, menunggu buah hati mereka sampai adalah satu saat yang menyiksakan. Satu jam yang sungguh mendebarkan! Tak tahu apa yang akan mereka lakukan terhadap lelaki yang menjadi punca segala kemelut dan ribut di hati. Dan yang lebih melucukan, Suami Puan Sabar langsung tidak tahu mengenai Operasi Serkap yang diatur Miss X. Dalam kepalanya, cuma ingat satu saja - nak jumpa buah hati, si pucuk muda, Miss XX, dewi asmara yang baru dikenali....! Pelampias nafsu.


....hem...lelaki oh lelaki!

Nanti kita sambung lagi.

:-))
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Sunday, July 17, 2011

Durian VS Creamy Meat Pie

Salam

Semalam adalah hari yang sangat memenatkan kerana agenda Sabtu membawa saya sampai ke Mantin. Kawan kami di Nilai, Atikah dan Zul, yang suka sangat jamu kawan-kawan, bersungguh-sungguh mempelawa kami menikmati durian. Jadi, selepas Subuh saya dan encik Suami pun menderu-deru ke sana -- tanpa `gerabak keretapi' (maklumlah anak zaman sekarang mana boleh bangun pagi. Selepas Subuh, semua sambung mimpi). Jadi, seronoklah saya dengan cik Ki saja (dan Kasih)....menikmati pagi....cruising ke Selatan sambil minum kopi Mc D (kegemaran kami berdua, sambil sembang-sembang). Eh! Tau-tau dah sampai di Nilai ketika matahari pagi baru saja menyapa di balik awan yang tebal. Tanpa berlengah. Zul dan Atikah terus membawa kami mengintai-intai durian Mantin.


Saya memang suka jalan-jalan luar kota. Kalau ke negara mana pun saya tidak teruja dengan keindahan kota metropolitannya. Tapi saya suka sangat menatap kehijauan desa dengan ternakan bermain-main di padang rumput. Tak berkelip saya memandangnya. Kalau sesiapa berhajat ke New Zealand, jangan ambil pemandu pelancung. Tapi cuba drive sendiri. Saya masih ingat kenangan meneroka bumi Kiwi ini satu waktu dahulu... dari Auckland sampai ke Rotorua di pulau Utara, kemudian berferi ke Selatan, singgah di Wellington dan Christchurh. Sepanjang perjalanan, indahnya pemandangan. Saya paling teruja apabila dapat melawat ladang kiwi di Rotorua dan melihat ikan paus di Kaikoura.


Sepi pagi Mantin mengingatkan saya kepada kesunyian yang pernah saya nikmati dahulu. Seronok dapat melamun sambil menyulam kata-kata dalam hati. Berkajang-kajang sajak dapat saya cipta sepanjang 10 hari di NZ.


Oklah, sebelum melalut, mari saya tunjukkan hasil 'tangkapan' semalam. Memang berbaloi. Duriannya sungguh lemak manis dan betapa segarnya isi....saya sebu sampai ke pagi ini. Biasanya saya cuma boleh makan sepangsa sahaja. Tapi semalam saya agak lupa diri sedikit.



Cantikkan durian-durian ni? Tak termakan jika sekeluarga saja. Dan memang seronok kalau makan durian ni ramai-ramai. Itu yang tak sedar, habis entah berapa biji.

Kasih menikmati rambutan, durian dan manggis di pagi hari. Dan nampak tak pokok yang menjalar-jalar itu? Yes....itulah pokok anggur. Tak sabar nak tenguk laman Atikah and Zul diperindah anggur pula!


OK, petang semalam, dek kerana terlalu penat saya pun membancuh pastri untuk membuat pie daging yang sangat sedap untuk minum petang. Kalau sesiapa nak mencubanya boleh saja untuk menjamu selera petang ni kan?

Resepi

Bahan Pastri
250 g mentega
200 g tepung gandum
secubit garam
1 tsp gula
sebiji merah telur
110 g yogurt (plain)

Cara membuatnya
1. Campurkan tepung, garam, gula dan butter. Gaul sebati dengan tangan sahaja.
2. Masukkan merah telur. Gaul sebati.
3. Masukkan yogurt, gaul sebati.
4. Akhir sekali, masukkan yogurt dan mesrakan semua bahan.
5. Simpan dalam bekas bertutup dan masukkan dalam peti ais lebih kurang 30 min.
6. Canai doh pada bekas pie. Masukkan inti dan tuang sos krim. Bakar lebih kurang 25 minit (sampai masak). Suhu 180 darjah selsius.

Inti
2 cawan daging cincang.
2 biji bawang besar, potong dadu.
3 ulas bawang putih, potong dadu.
1/2 cawan tomato puree.
1 tomato, potong dadu.
1/2 cawan air
Secubit garam.
Sedikit gula.
Sedikit serbuk lada sulah
2 helai daun salam

Cara membuatnya
1. Tumis bawang besar dan bawang putih.
2. Biar wangi, baru masukkan tomato dadu.
3. Masukkan tomato puree. Kacau lagi.
4. Masukkan air.
5. Masukkan, garam, gula, lada sulah dan kacau lagi.
6. Masukkan daun salam. Kacau sekejap. Ketepikan.

Sos Krim
1 cawan susu segar.
1/2 cawan thick cream
2 biji telur
sedikit lada sulah, garam.

Cara membuatnya:

Campurkan semua bahan ini dan kacau sebati. Tuang dalam belas pie berinti daging.



Pie siap dibakar.

Hidang panas-panas...memang tidak menghampakan.

Jangan lupa LIKE fanpage Cupcakekasih. Kini blog ini sedang menunggu 500,000. Agaknya siapa pula yang bakal memenangi hadiahnya ya.

Saya teringin nak rias kek Pillow ataupun kek Kereta.

Wasalam

Friday, July 15, 2011

Cinta & Harapan





Salam semua,

PETANG Sabtu yang damai, baru saya dapat menghadap lappy merah ini. Banyaknya cerita yang hendak saya update tapi seperti yang semua maklum, tiga kek hantaran ini sudah cukup mencuri seluruh perhatian saya. Hajat hendak menyambung Cerita Hati seperti yang dijanjikan pun tidak kesampaian. Dah garap intro, tapi isi tak berisi. Jadi bersama-sama ini saya papar gambar kek hantaran yang ditempah oleh Sophia dan Shamsiah.


Kebetulan pula Sophia dan Shamsiah jatuh hati rekaan kek yang sama dari Galeri Kek Hantaran jadi mudahlah saya menghasilkan bunga-bunga gum paste untuk menghiasi kek fondant ini.


Ini kek yang ditempah Shamsiah, tema kehijau-hijauan.
Kek: Carrot Cake dengan cream cheese frosting




Sophia & Ali



Ini pula kek hantaran pilihan Sophia. Sebenarnya dia menempah dua kek sekali gus -- untuk pihak perempuan dan pihak lelaki. Kek bertema jingga lembut ini pilihan Sophia untuk Ali, tunangannya.
Kek Coklat Moist dengan Chocolate Ganache

Kek: Red velvet dengan cream cheese frosting.



Akhir kalam, terima kasih saya ucapkan kepada Shamsiah dan Sophia. Jangan lupa LIKE page Cupcakekasih dan FOLLOW blog cupcakekasih ya kerana sebentar lagi saya akan umumkan hadiah menarik untuk pemegang nombor 500,000. Jadi peserta bertuah perlu mengemukakan bukti (sreen shot) untuk tiga page utama iaitu pengesahan sudah menjadi peminat Facebook Cupcakekasih dan Follower Cupcakekasih.



Sampai jumpa lagi. Wassalam

JUN

Wednesday, July 13, 2011

Oh! Cerita Hati

Salam semua,

NAMPAKNYA Cerita Hati Puan Sabar tertunda lagi sebab saya perlu menyudahkan beberapa perkara yang juga memerlukan kesabaran. Maklumlah, kalau nak tulis kisah kasih ni perlu ada jiwa. Jadi kalau berebut-rebut dengan hal lain, maka separuh jiwaku pun pergi...tidak di sini dan tak boleh hendak menyulam bait-bait ayat itu. Nanti taku tak sedap pula kalau cerita tanpa roh. Macam lauk tanpa garam, Red Velvet tanpa Buttermilk atau cincin tanpa tatahan berlian.


:-))


Jadi diringkas cerita, saya masukkan dulu gmabar kek untuk Emer, anakanda Nureta yang baru saja menyambut harijadi keenam baru-baru ini. Kek ini lebih kurang tiga kilo beratnya. Kek coklat yang sedap. Dan Nureta yang cantik lawa itu (....bukan saja-saja puji tau. Memang cantik tinggi, macam model) juga menempah mini sausage bun. Sebenarnya saya tak pernah ambil tempahan kueh atau roti, tapi hari tu, saja jer nak suka-suka. Seronok pula tenguk susunan sausage yang banyak tu. Alia kata macam jari (?).


Terlanjur pulak malam ini ada perlawanan bola Arsenal (betul ke?). Jadi sesuailah saya kongsi gambar kek ini kat sini. Tapi Emer peminat Chelsea. Adam dan encik Suami saya meminati Arsenal. Saya tak minat bola. Tapi masa sekolah menengah dulu saya pemain bola keranjang dan juga minat sukan olahraga saja. Kalau suruh lari 100 meter tu, ok saja sebab kaki panjang agaknya. Lompat tinggi dan lompat jauh pun ok. Sekarang ni? Jangankan lari, jalan pun kena pelan-pelan :-))


Jadi akhir kalam, kepada yang mengikuti kisah Puan Sabar...termasuk Alia kat Lendu tu. Sabar ya. Saya akan sudahkan juga dalam minggu ini. Sekarang sedang menunggu enam biji kek dalam oven tu....semua perlu dirias malam ini juga. Bunga gum paste sudah berkembang harum kat dapur ni.


Sampai jumpa lagi dan jangan lupa klik page FACEBOOK saya ya. Nanti saya akan umumkan penantian 500 ribu dan keutamaan akan diberikan kepada Follower blog Cupcakekasih dan yang LIKE page Cupcakekasih







Sila klik SINI