Followers

COPYRIGHT & USE OF IMAGES
All images on this blog are copyright of CUPCAKEKASIH and may not be published without the permission. If you would like to use some of our images feel free to email me at cupcakekasih@yahoo.com

Wednesday, June 29, 2011

Bicara Politik Sesudu

SALAM semua,

Kadang-kadang tu, bila tengah menaip kat laman ni, saya suka hanyut ke laut. Apabila idea tiba-tiba kering, kita pun tinjau-tinjau juga blog lain. Nak cari ilham sebelum karam. Selalunya saya tak masuk blog masak...sebab dah jelak tenguk makanan sana, makanan sini. Jadi, kita masuk pula medan kraf ke, fotografi ke, laman, sajak, puisi....dan apa-apa saja yang berlainan daripada apa yang saya buat hari-hari. Memanglah melegakan otak dan benak.


Tapi, sehari dua ni, termasuk pula gelanggang politik sebab awalnya nak cari definisi Ber*** yang dihebuh-hebuhkan itu. Ingatkan pasal bersih rumah ke, bersih tandas ke, bersih apa ke. Maklumlah sekarang ni memang banyak nyamuk. Takut juga kalau nyamuk Aedes. Dan, ....kak Bedah nak bersiap siaga juga, manalah tahu kalau nanti anak tanya pula. "Mama, apa dia yang orang hebuh Bersih Bersih tu?"


Seganlah kalau kak Bedah tak tahu. Tak mo ler pulak dikatakan kita ni emak yang cuma tahu sukat tepung, catu gula dan mengadun fondan. Jadi, sebelum kena tempelak, lebih baik kita mula selak selak (maksudnya Google, untuk mencari jawapan yang terendam).


Tapi, selepas masuk ke blog politik ni, akak jadi panasaran. Maklumlah, baru baca sebaris dua ayat kat laman tu, perut pun mula sebu. Otak tepu. Eh, cukup ler. Berbahang sungguh laman depa, panasnya sampai menggelegak otak. Berasap-asap, api-berapi, laga-melaga, sembur-menyembur...... lebih panas daripada oven kat dapur.


Aiseh, kak Bedah buka langkah seribu. Kalau tak cukup ilmu, jangan duduk lama-lama kat situ. Takut terbakar anak mata ni kena tembak dek laser pendebat tegar. Lidah yang biasanya rabung jer berkata-kata pun boleh jadi kelu.


Jadi kesudahannya, akak pun balik ke dunia sendiri. Kita sukat balik segala gula tepung tu. Bicara kek sudahlah, sambil sulam menyulam ayat-ayat cinta untuk novel yang dah jadi pekasam. Biarlah bidang politik tu kita bagi kat pakar saja. Dan paling penting, jangan politikkan dapur kita pulak ya. Masak biar telus, baru rasanya sedap -- tulus-mulus. Bak kata orang, telur (ayam) mesti dibasuh. Biar bersih. Biar jelas putih. Itu perkara paling asas, tak perlu kita bahas.


Kalau kita rasa bosan dengan dunia kita, carilah benda lain yang boleh menggembirakan hati kita. Sediakan payung sebelum hujan. Jangan masuk gelanggang yang kita tak tahu. Nanti tak pasal-pasal kena luku.


Macam Maslina, graduan jurusan kimia yang sudah bertukar cinta. Dahulu belajar bidang lain tetapi masa yang berlalu mengubah citra jiwa dan kini hatinya sudah terminat bidang baking dan decorating kek pula. Jadi, walaupun dahulu bergaji lumayan, dia sanggup gantung kot makmal tu, dan sarung apron. Lebih bermakna, hati senang...jiwa tak terpanggang.











Dan kerana kecintaan juga, Maslina sanggup drive dari Selatan berseorangan. Selepas kek dekorasi, Maslina berhajar mempelajari teknik mengadun bunga gum paste pula. Insyaallah, panjang umur kita berjumpa lagi ya Maslina. Sapiyah kat sebelah tu segan nak bergambar, jadi tak payahlah kita papar gambarnya ya. Cukup nampak sipi sipi saja.




Akhir kalam, saya sudahi dengan ucapan selamat malam. Esok saya ada janji temu dengan tetamu dari Dubai. Jadi perlu tidur awal.


Wasalam dan nite nite

Puteri Alisa

SALAM semua,

PAGI ini Subang Jaya hujan. Awalnya rintik, kemudian lebat. Seronok menulis sunyi dingin macam ini. Tapi dek kerana sekarang saya sedang menunggu kedatangan tetamu dari Dubai, jadi saya tak mau mengarang apa-apa sebab kalau berhenti separuh jalan tak best pula. MAcam telur setengah masak. Tambah-tambah pula kalau nak karang episod Cerita Hati. Kena duduk dan hadap betul-betul, sepenuh jiwa raga. Kalau sekejap duduk, sekejap bangun meninjau di tingkap, alamatnya memang susah nak garap.



Jadi sebagai halwa mata pagi ini, tataplah kek Princess ini yang saya rias untuk baby Alisa yang menyambut harijadinya yang ke-5 semalam. Alisa minat puteri bergaun ungu dan skirt mesti kembang sekembang-kembangnya. Jadi, aunty Jun tebarlah fondant itu selebar-lebarnya. Dan dipasang renda selagi boleh. Dan hasilnay, memang Alisa happy. Selain itu mummy Alisa juga tempah 60 biji cupcakes. Tapi saya cuma ambil gambar yang ini saja. Dah penat sangat nak menyusun atur semua cuppies itu. Sehari suntuk mengadunnya. Penat.



Kepada Alisa, aunty Jun ucapkan selamat harijadi dan semoga besar nanti menjadi anak yang sangat baik hati, berjaya dan sentiasa ditetapkan keimanannya.

Amin

Sunday, June 26, 2011

Cerita Hati 3

Salam semua,

SEMOGA minggu yang baru saja berlalu menyimpul kenangan manis untuk kita semua. Saya dan anak-anak mendakap dingin pagi Sabtu di Genting Highland. Maklumlah, encik suami memang tak berapa minat bercuti ketika musim cuti. Katanya 'meriah' sangat sampai sesak semua tempat. Jadi, dia tak berkenan. Maklumlah, semua nak kena rebut! Parking rebut, kat swimming pool, berebut, nak naik lif berebut, nak makan berebut. Kalau tak pun kena beratur panjang. Kat tandas R&R beratur, beli air beratur, beli petrol beratur dan nak bayar tol pun beratur. Berjam-jam. Dan kadang-kadang barisan punyalah panjang nun sampai dua, tiga kilometer. Jadi bila semua kena kejar, kena catu, kena beratur, jawabnya stress ler. Hilang keseronokan bercuti sebab sakit hati. Jadi, kerana itulah kami menungkah arus. Apabila terasa nak bersantai-santai, barulah kami pergi. Kalau tidak, seronok melengkar di rumah dengan macam-macam aktiviti yang tak pernah surut.

Apapun, bercakap pasal kenangan manis ni saya tiba-tiba berasa sangat ralat kerana dalam dok happy happy melayan kerenah anak di atas bukit tempuh hari, seorang kawan mengirim SMS penuh sembilu. Memang saya terkedu mendengar curahan hatinya. Hai, baru balik dari berbulan madu, encik suami sudah bagi hempedu? Inai pun masih merah di jari, tapi hati sudah ditusuk duri.


Kata kawan saya ni, dia pengsan dua hari dek kerana teramat terkejut dengan bala yang menimpa. Kata orang tu, pedihnya tak boleh digambarkan dengan kata-kata. "Nak tau rasanya macam mana? Ha, cuba akak siat kulit, lepas tu siram cuka. Then, lumur garam."


Saya tak terkata apa. Patutlah dia pitam.


Apapun, biji butir onar si suami itu tak payahlah saya selak kat sini. Ngilu rasa hati. Agaknya sekarang ni semakin banyak lelaki sambang? Tahu hukum, tapi memang depa suka yang sumbang.


Kes dia ni sama macam suami Puan Sabar. Suaminya dahulu hidup penuh angan-angan. Kepalanya sentiasa mendongak ke langit dan kaki tidak jejak di bumi. Jadi kerana itulah dia tidak nampak kesengsaraan isteri dek kerana dia (si suami) ralit melayan nafsu serakah sendiri. Isterinya sibuk mencari duit nak sara keluarga. Dia kemaruk mencari cinta di layar maya. Tapi bak kata orang, bangkai gajah bolehkah ditutup?


Menurut Puan Sabar, suaminya itu berkenalan dengan pompuan sambang itu di Facebook. Rupa-rupanya dia (si suami) ada banyak akaun FB dengan nama samaran yang hebat-hebat. Patutlah dia suka sangat mengadap komputer lama-lama. "Saya ni buta IT. Jadi percaya saja apa yang dia kelentong. Kononnya buat kertas kerja. Hah, memang betullah kertas kerja, tapi projek mencari cinta haram."


Jadi moralnya apa? Adik adik dan kakak kakak semua, jangan buta IT tau. Kena ambil tahu juga macam mana nak layan FB, layan Blog, layan Twitter dan yang sewaktu dengannya....faham!? Kalau rasa susah sangat...meh sini, kak Bedah boleh ajar. Belanja saja saya kopi Mc D, saya rela korban masa sejam dua untuk ajar you all macam mana nak login, logout dan create akaun serta cari segala macam link haram suami tu. Kita perlu gerak gempur sikit.....baru pasangan you all tu sedar yang isteri depa ni rupa-rupanya bukanlah karat sangat!


Jadi berbalik kepada cerita Puan Sabar ni, selepas terjumpa akaun FB suami, maka dia pun buat modus operandi yang sama untuk memerangkap suami. Kita namakan Operasi Serkap! Kata orang tu, biar lambat, asalkan masih sempat menjerat sebelum si suami lebih melarat-larat. At least kalau nak buat serangan balas, kita ada bukti. Takkan selama-lamanya kita nak hidup di bawah tempurung kebohongan suami! Jadi, dalam kes Puan Sabar ni, dia bijak menyiasat dengan membuka banyak akaun samaran di FB. Macam-macam benda yang dia jumpa, sampai dia rasa macam baca cerita sumbang orang lain pula. Lain sungguh perangai si suami di alam maya. Huh! Bak kata orang tu, cuma intan berlian saja yang Puan Sabar tak jumpa sebab suaminya itu memang sengkek. Tapi, kalau hubungan gelap dengan kekasihnya itu semua dia tahu -- satu persatu.


"Oh! Rupa-rupanya depa ni ada blog peribadi. Tak ada sesiapapun boleh baca. Pompuan tu yang create. Jadi dia akan masukkan segala madah cinta berahi, buat mengayat si suami. Dan suamipun balaslah dengan ayat-ayat powernya itu. Jadi depa sama-sama menggelupur. Lupa diri. Kat blog itulah saya tahu detail mengenai perhubungan depa."


Hati? Hancur?


Hem Puan-puan jawab sendirilah ya.


Tapi, cuba bayangkan senario ini -- suami penganggur, isteri buat sampat 3, 4 jenis kerja sebab nak sara keluarga. Si suami ni pernah berniaga di pasar Ramadan tapi rupa-rupanya untung yang tak seberapa itu dihabiskan untuk beli baju raya buah hati. Baju dia? Si isteri Mithali ini juga yang beli (cis!). Sakit hati tak? Hem, tapi Puan Sabar masih boleh sabar. Terima saja segala onar. Kenapa? Demi cinta dan demi anak!


Apapun, apabila sudah pecah tembelang, Puan Sabar pun telefon kekasih si suami -- Miss X. "Ok, mula-mula dia terkejut. Oh! Katanya suami saya mengaku bujang. Jadi, selepas bercakap dari hati ke hati, pompuan tu bersetuju untuk putuskan hubungan."


Tapi selepas 24 jam, si pompun ini berubah fikiran. Puan Sabar habis daya. Maklumlah, hubungan yang sudah terlalu jauh hanyut.....mana mungkin boleh berpatah balik begitu saja. Betul tak? Tapi yang menyedihkan tu sebab Miss X ni adalah seorang Hafizah. Ya.....saya ulang -- Hafizah.


Sedihkan? mengapa seorang gadis yang dididik serapi itu tergamak menjalinkan hubungan gelap? Kita jangan salahkan 'budak sekolah ugama'. Tak baik cakap macam itu kerana ini cuma nila setitik. Dan saya percaya, emak bapak Miss X pun tak salah, sebab mereka langsung tak tahu menahu kegiatan anak gadisnya itu. Menurut Puan Sabar, kekasih suaminya itu tinggal di perkampungan macam Al-Arqam. Maknanya, kita faham-faham saja keadaannya di tempat macam itu ya.


Tapi dek kerana sekarang ini segala hijab sudah dibuka dan dunia pun menjadi terlalu luas, tanpa sempadan, jadi susah juga nak kawal kegiatan anak-anak. Kita mungkin boleh 'kurung anak' melalui peraturan, larangan dan hukuman. Tapi, sekarang ini hendak buat jahat tak perlu keluar rumah ya! Jiwa kita tetap boleh mengembara ke seluruh dunia -- hatta melepasi jangkauan tujuh lapisan langit dengan hanya satu klik saja. Bak kata simpulan bahasa moden, 'kalau ada komputer, semua kita boleh reka'.


Jadi berbalik kepada perilaku kekasih sambang Puan Sabar ini, jangan pula kita cemuh madrasah dan sekolah agama. Miss X itu bukan pengamal, cuma pengikut. Dia disuruh belajar agama, tapi dia sendiri tak mahu mengamalkan cara hidup berlandaskan agama. Keluar rumah berjilbab, sebaik saja hilang dari pandangan emak ayah -- dia bebas menjadi apa saja! Dapat pula kekasih seperti suami Puan Sabar. Bahasa cinta lelaki yang dah kawin (tua pula tu), memang lain macam sebab depa dah berpengalaman. Nak buat macam mana? Mangsanya? Kitalah -- isteri yang dok lena!


Jadi, sampai jumpa lagi, saya nak masak dulu nanti saya sambung lagi kisah Puan Sabar ni.


Thursday, June 23, 2011

Demam Ramadan dan Aidilfitri

...kembali

SALAM Semua,

Dah ganti puasa? Berapa hari tinggal agaknya ya? Saya tanya ni bukanlah sengaja nak busy body. Tapi dek kerana siang tadi rumah saya dah jadi macam kapal karam akibat sesi fotografi biskut raya dengan majalah GLAM, maka saya pun terjentik rasa nak tanya pasal bab bab puasa ni. Maklumlah, tirai Ramadan akan tersingkap tak lama lagi. Jadi, kenalah cepat-cepat ganti puasa.


Selain biskut raya, baju raya sangat penting untuk kita (orang pompuan) ni kan? Dan saya dengan tenangnya sudahpun menyiapkan dua helai baju raya (setakat ini). Since masih ada lagi masa untuk menambah koleksi, jadi tak tahu lagi tahun ini apakah warna tema baju raya kami. Baju Alia pun dah ready. Cuma tinggal baju papa dia, baju Adam, Arina dan Kasih. Itu hal kecil saja sebab apabila bab baju raya ni, yang penting ialah baju raya saya dan Alia. Dah puas dah bincang dengan Alia, apa sebenarnya tema warna yang sesuai sebab semua 12 warna primary dah dilaram, kecuali hitam. Eh! Tak sesuai sungguh hitam untuk lebaran. Betul tak?


Apapun, saya rasa mesti ramai mother daughter yang conquer tema baju raya ni macam saya dan Alia, betul tak? Encik suami dan anak-anak tu sebagai props saja. Lagi pun, majoriti orang lelaki ni tak kisah bab baju raya ni sebab depa cuma nak bergaya semasa pergi sembahyang raya and ambil gambar keluarga. Lepas tu, siaplah....mesti tanggal uniform tu. Jadi, biasanya saya suruh encik Suami dan Adam pakai baju Melayu raya tu sampai waktu Zohor. Ha, lepas tu, nak tukar, tukarlah. Tak kisah dah.


Betul tak?




Apapun, berbalik bab shooting biskut raya ni, saya nak kongsi gambar yang sempat dirakamkan siang tadi. Tapi cuma rempah ratus di belakang tabir saja ya. Gambar cookies masih belum boleh dipaparkan kerana dah jadi hakciptanya sudah majalah GLAM. Tunggu ya, keluarannya menjelang Ramadan nanti.






Biasalah, untuk penggambaran, segala macam props akan dikeluarkan. Nak pakai yang mana satu hanya boleh ditentukan oleh pakar penata gaya dan jurugambar. Bukanlah macam kita ambil gambar untuk blog tu. Main klik klik saja. Janji ada gambar. Iya dak?






Bantuan lighting penting untuk penataan cahaya supaya gambar subject yang kita ambil tu sedap mata memandang -- tak terlalu terang atau terlalu gelap. Kalau setakat built-in flash tu, memang hasilnya pun ala ala sajalah. Kalau nak cantik macam hasil karya profesional, kenalah belajar mengenai teknik fotografi serta melabur untuk kelengkapan macam ni.







captions: Props bersepah satu, dari dapur sampai ke hujung tanjung. Sekali-sekala, apa salahnya.





Dan untuk crew majalah hari ini, saya jamu seadanya sahaja -- freshly bake sweet bun, talam serimuka, karipap inti ayam keledek, mee kari dan coklat kek.






Dan saya juga sempat mencuba resepi kek coklat yang sangat mudah dan cepat disediakan ini untuk tetamu. Ini resepinya.


Coklat Kek Hitam Manis
Bahan A
2 cawan air
250 g mentega
35 g serbuk koko
1 sudu teh soda bikarbonat
3 cawan gula castor (kurangkan jumlahnya kalau tak mau manis)
Bahan B
4 biji telur
3 cawan tepung naik sendiri

Cara membuatnya
1. Campurkan semua bahan A dalam periuk dan hangatkan di atas api, sampai gula dan mentega cair.
2. Angkat dan biarkan sejuk.
3. Masukkan telur, pukul dengan pemukul elektrik.
4. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan pukul sampai sebati.
5. Sapu minyak dan alas loyang 9" dengan kertas minyak. Tuang adunan dalam loyang (kalau dalam bekas kek cawan (size B dapat ><36 biji).
6. Bakar 40 minit (kek), 25 minit (cupcakes), api atas bawah tanpa kipas dengan suhu 180 darjah selsius.
7. Boleh hias dengan coklat ganache atau cream cheese.


Ok, itu saja, sampai jumpa lagi.

Wasalam




Saya dan kawan sehobi, Asilah (blog 3E) yang sangat sporting. Dia sanggup ambil cuti dan bakar cookies yang sedap untuk sesi fotografi ini.

Wednesday, June 22, 2011

Happy Birthday Wan Qistina

SALAM Semua

Saya mengucapkan terima kasih kepada pembaca yang sudi memberi komen serta mengirim email Kisah Benar untuk dikongsi di ruangan ini. Cuma saya masih kehilangan kata-kata untuk menggarap cerita. Kalau tengah rajin menulis rasanya macam tak cukup kertas menulis bercerita. Tapi apabila datang musim kering, beginilah....! Nak dapatkan sebaris pun payah.


Jadi sementara menunggu ilham datang saya kongsi dulu gambar kek harijadi Wan Qistina yang baru saja meniup empat lilin harijadi. Dah menjadi trend anak-anak kita ni menyambut harijadi di tadika bersama kawan-kawan sekelas. Jadi, kek pun kenalah 'kelas' kerana itulah kebanggaan mereka.



Kepada anakanda Wan Qistina, Selamat Harijadi aunty Jun ucapkan. Sampai jumpa lagi....wassalam






Monday, June 20, 2011

Kelas Faizah dan Ziana


Salam Semua,


Isnin yang sangat sunyi, saya cuma ada sejam sahaja lagi sebelum kelas dekorasi kek bermula untuk Maslina dan Safiyah. Hajat hati mahu sambung kisah Cerita Hati tapi ilham belum datang. Saya tak boleh menulis kalau hati tidak ke situ. Jadi sebagai mukaddimah minggu ini saya masukkan dahulu gambar kelas dekorasi yang dianjurkan minggu lalu untuk Faizah dan Ziana.






Ini Faizah. Dahulu fasilitator bertauliah dan sekarang sudah menjadi lady of leisure. tempat persinggahan kesukaannya ialah Bandung dan Jakarta. Tapi sejak jatuh cinta dengan dunia baking, Faizah mula mencari peluang untuk mempelajari teknik betul untuk merias kek dan cupcakes pula. Sebelum ini Faizah pernah menghadiri kelas dekorasi cupcakes yang saya anjurkan.






Ok, untuk kelas ini barulah Faizah berpeluang menebar dan merias kek sendiri serta mengambil kelas asas membuat bungan gum paste. Sebenarnya, kelas ini sangat berbaloi. Walaupun kita tidak minat berbisnis, tapi kalau untuk dihadiahkan kepada adik-beradik dan saudara-mara pun sangat menarik juga. Maklumlah, pengantin mana tak happy kalau mendapat tajaan kek hantaran. Betul tak? Jimat juga empat, lima ratus ringgit.






Inilah hasil kerjatangan Faizah, yang sebelum ni memang tak pernah pun tenguk macam mana rupa fondant dan gum paste tu. Tapi, dalam tempuh lebih kurang enam jam, kini dia sudah pun memiliki sebuah kemahiran yang sangat berharga. Pandai atau tidak. berseni atau tidak...itu cerita lain. Janji kita ada kemahuan. Dan barulah Faizah tahu rupa-rupa dia berbakat juga dalam kerja senihias ini.




Kebetulan pula semasa kelas berlangsung, Zarina Zainuddin datang menyinggah untuk mengambil kek Red Velvet ditempah (katanya untuk dihadiahkan kepada Nora Danish). Zarina ni memang rajin menjamu kawan-kawan. Kalau tak sempat buat sendiri (maklumlah sekarang dah sibuk berlakon) dia akan tempah saja kat saya. Jadi, dapatlah Faizah berkenalan dengan Zarina dan mengabadikan kenangan.





Dan ini pula adalah kelas dekorasi bag tangan bersama Ziana. Kalau nak tahu Ziana pun baru saja menceburi bidang ini dan masih lagi bekerja sepenuh masa di sebuah universiti. Katanya ini hobi baru dan dia ingin menjadikannya sebagai pendapatan sampingan keluarga.




captions: Selepas selesai menghias, sapu pula golden dust untuk menyerlah seri beg tangan.


Jadi, untuk kelas ini saya ajar Ziana teknik memasak fondant dan gum paste serta mencanainya. Dan kelas dekorasi beg tangan ini sebenarnya merangkumi teknik paling asas membuat beg tangan serta tangkai beg yang tidak memerlukan sebarang dawai.


Maknanya dengan mempelajari teknik ini, kita boleh membuat bentuk beg yang lain juga kerana semua tips menyudahkan kerja yang remeh temeh ini sudah saya rangkumkan semuanya. Jika kita sudah tahu segala seluk-beluk, hal yang susah pun menjadi mudah.


captions: Semua boleh dimakan....termasuk zip dan gold chain itu :-))






Akhir kalam, semoga Faizah dan Ziana akan berjaya dengan hobi mereka. Ok, bagi yang bertanya harga, kelas dekorasi kek fondant dan bunga gum paste bermula dari RM350 dan kelas beg tangan pula bermula dari RM250. Sesiapa berminat boleh pilih mana-mana tarikh untuk bulan Julai 2011 kerana selepas tu kita dah nak puasa dah, jadi saya akan mengurangkan aktiviti berkaitan kek dan cupcakes ni.

Emel: cupcakekasih@yahoo.com
sms: 017-2840900
Atau informasi lengkap di Kelas Dekorasi

Sampai jumpa lagi,

wassalam

Wednesday, June 15, 2011

Pesona Sebuah Indah

Salam semua,

Pagi indah ini, saya mahu hangatkan laman blog saya dengan kembang setaman yang merimbun manis ini. Saya rias gubah untuk majlis pertunangan Yasser dan juga pernikahan seorang lagi pelanggan, Huda.




Saya ni, kalau bab merias kek/cupcakes untuk hantaran memang saya teruja sangat sebab saya suka menggubah bunga-bungaannya. Saya boleh duduk berjam-jam menyiapkan karya saya. Memang ralit. Setiap kali menyiapkan kek untuk majlis pertunangan atau pernikahan, pasti saya terkenang nasib pengantin zaman 15 - 20 tahun dulu. Anak-anak zaman sekarang memang bertuah sebab boleh buat macam-macam pilihan untuk menyerolahkan lagi hantaran serta menyatakan betapa besarnya cinta dan kasih sayang mereka buat bakal suami/isteri. Sebut saja nak kek apa dan tatarias macam mana? Semua ada. Tak kiralah sama ada jenis gulung ke, lapis ke, bertingkat ke, dalam cawan atau setakat kek dummy saja. Tinggal teringat dan tunjuk saja. Tepuk dada tanya selera.




Teringat masa saya kawin dulu, kek cuma dibeli kat bakery jer. Main tunjuk-tunjuk kat rak cermin tu je. Bab halal haram tu memang tak angkat tau langsung sebab kita ingat negara Islam, jadi semua boleh 'dibaham'. Oh! Silap tu sayang. Dek sekarang ni semua sempadan dah lupus, jadi kita kena lebih berhati-hati. Telur ayam pun perlu dibasuh. Apa lagi sebiji kek yang menggunakan saknika jenis bahan. Hem, baru kini ku tahu.....tak gitu?


Jadi berbalik bab kek ni, saya cuma nak kongsi simple tips kalau nak tempah kek hantaran. Hal paling wahid perlu diambil kira ialah, budget, tema warna dan hiasan, jenis kek dan teknik hiasan. Saiz bukan penentu harga dan jangan ingat semua kek yang dipaparkan dalam galeri itu sama saja harga. Kek bulan Januari mungkin tidak sama harganya dengan bulan Mei, Jun atau Julai. Maklumlah, semua barang naik, especially apabila harga petrol naik. Jadi, harga kek pun naik juga. Ada bakers yang meletakkan had harga berdasarkan per kilo. Maknanya, jika sekilo cake fondant RM250, jadi kalau dua kilo? Congak-congaklah ya.


Tapi saya cuma meletakkan harga tetap untuk kek sahaja. Misalnya kalau kek butter (vanilla) ialah RM55 sekilo dan harga workmanship pula bergantung keremehan dan kelainan yang diingini pelanggan. Secara umumnya, harga bermula dari RM250 untuk kek hantaran dan untuk cupcakes pula bermula RM90 untuk set 16. Maklumat lengkap diberikan kepada yang email kepada saya di cupcakekasih@yahoo.com


Tarikh juga penting diambil kira sebab pelanggan yang sudah biasa berurusan secara online akan mula booking date seawal tiga bulan sebelum majlis berlangsung. Senang kalau macam ni sebab kita boleh gubah bunga serimbun mana sekali pun. Saya lebih suka rias kek menggunakan bunga-bungaan diperbuat daripada gum paste yang saya gubah sendiri. Bunga kedai tak main ya, kecuali bagi yang betul-betul mahu budget ekonomi. Saya suka bunga gum paste kerana lebih luwes dan tahan lasak. Kalau menggunakan fondant, susah hendak dibentuk segala liuk kelopak dan kalau musim hujan -- habis!




Dan ini adalah sebahagian kek dan cupcakes yang saya gubah untuk hujung minggu lalu. Set ini ditempah oleh Farida untuk sepupunya Huda. Mudah sekali berurusan dengannya kerana dua kali email sahaja, semua settle. Dan sms yang saya terima diterima lebih kurang sejam selepas cupcakes sampai ke rumah pengantin membuatkan saya senyum saya lebar sungguh. Sampai ke telinga. "As salam kak Jun. Tq so much. My cousin & aunty happy sangat. Cantik!"

Dan ini pula untuk saudara Yasser. Sms daripadanya juga membuatkan saya tersenyum gembira. "Salam aunty Jun, thank you for the nice and artistic cake for my engagement just now. they love it so much."


Lengkap sebuah Sabtu saya. Berbaloi-baloi lenguh 10 jari, sengal belikat dan lenguh sendi. Adat bekerja, mesti ada bala dan laba dan semuanya kita terima seadanya sebab kalau dah buat benda yang kita suka. Sakit sikit jer. Just burn the hours dan selepas tu bolehlah bersuka ria.

OK, sampai jumpa lagi, saya ucapkan selamat berhari Rabu yang panas ini.

Wassalam

www.flickr,com/cupcakekasih/photos

Singgah Sini Juga


Tuesday, June 14, 2011

Cerita Hati 2

Salam semua,

PAGI ini hati saya berbunga-bunga sebab sebaik sahaja login blog, terpampang komen daripada kawan nun jauh di utara, Zue a.k.a Cek Mek Zue, orang Kelate yang dah jadi orang Aloq Staq. Memang seronok kalau kita ditegur sapa kawan. Terasalah sangat yang kita ini diingati. Dihargai.


Dan kalau nak tahu, Zue ni bukanlah kawan lama satu sekolah atau seuniversiti, tapi baru kenal dua, tiga tahun ni sebab kami sehobi. Maknanya saya kenal dengan Zue sebab kami sama-sama suka kek. Bermula dengan email dan 'hai hai' di blog akhirnya sampai sekarang berkekalan. Bila dah ada chemistry, mudahlah mesra. Kalau sembang pun macam dah kenal lama. Dahulu Zue berkerjaya hebat. Akauntan, kalau saya tak silap. Dia belajar di United Kingdom dan bertemu jodoh pun ketika di sana. Kini, kami sama-sama mengurus rumahtangga sebab dah puas menikmati zaman muda dan berkerjaya.


Dan, sebenarnya selain Zue, melalui dunia kek ini juga saya berpeluang mengenali ramai kawan sealiran. Sehati sebab kami sehobi. Seronok kalau sesekali berjumpa. Cerita pasal kek, biskut dan bisnis saja. Kalau pun ada menyimpang hal lain, tidak membabitkan kisah sesiapa kecuali curahan lara sendiri sahaja.


Dan jauh di sudut hati, saya kagumi wanita golongan ini. Maksud saya yang bekerja bermati-matian. Tak kiralah yang bersuami atau janda. Tegarnya sama saja. Bagi mereka malam dan siang itu sekadar satu tanda -- masa beredar, waktu berputar. Tapi bab kerja, tak ada beza. Hanya tahu kerja, kerja dan kerja. Dan saya berani kata, perempuan tegar begini, semangatnya mengalahkan lelaki (memang confirm kalah lelaki). Bawa kereta menderum-derum macam kat litar F1. Berkejar dari Utara sampai ke Selatan. Asal ada kelas memasak.... mereka ada di situ. Muka tetap tenang saja. Ketawa tetap lucu. Walaupun dalam kepala serabut dengan 1001 perkara. Hanya Allah yang tahu.


Agaknya kalau di CSI, pasti terjumpa DNA besi dan waja dalam jiwa mereka ini sebab tegar sangat -- macam besi. Walaupun pernah ditimpa 1000 musibah, terjatuh 1000 kali, mereka akan bangun semula 10,000 kali lagi. Bersemangat sungguh. Saya sendiri tak mungkin dapat melakukan hal begitu. Semangat tak berapa kuat. Badan pun tak berapa nak larat.


Apapun, moralnya. Kalau saat ini ada di antara kita berasa sangat sedih. Hidup dirasakan terlalu malang, jangan meratap merintih melulu. Merempan-rempan sampai ada yang sanggup menyalahkan Tuhan. Dengar dulu cerita orang lain.


Tapi, bukannya kisah kekayaan orang sebab semua itu akan menyebabkan kita berasa terlebih malang. "Eh! kenapalah malang sangat nasib aku ni!?' Tapi, cuba hayati betapa banyak orang yang berduka hati, keluh kesah dek dilukai. Pasti kita berasa diri kita ini sebenarnya masih dirahmati.


Dan kisah Puan Sabar ini adalah salah satu citra yang patut diteladani. Betapa tegarnya dia. Walaupun dikhianati suami sendiri. Jadi, saya namakan saja kawan kita ini Puan Sabar kerana mendengar cerita dukanya itu memang membuatkan kita berasa sangat hilang sabar. Tapi, dia tetap bercerita dengan penuh sabar. Suaranya lembut. Satu nada. Mendatar.


Dan semasa dia bercerita, acap kali saya potong cakap. Saya aju soalan cepumas. Bertubi-tubi saya tanya, ".... and you tak sergah dia? Tak jerit kat dia?"


Dan....Puan sabar boleh geleng saja. Oh! Sabarnya dia.


"Macam mana saya cakap dengan kak Jun sekarang ni, macam itulah juga saya cakap dengan pompuan tu."


...dan hati saya pula yang menggerutu. Kau memang penyabar wahai Puan Sabar. Lembutnya suara dia, patutlah pompuan tu naik kepala. Dan saat saya menulis cerita ini, saya masih terbayang wajah teduh Puan Sabar.


Jadi, dipendekkan cerita, tak perlulah saya berbasa-basi lagi. Sementelah, Puan Sabar sendiri yang suruh saya kongsi pengalamannya itu di laman ini. Musibah yang pernah mencalarkan hatinya.



Kalau cik Puan semua nak tahu, Puan Sabar ini cantik. Masih muda. Manis senyuman. Redup saja renungannya. Badan pun masih lawa walaupun sudah beranak tiga dan kini semuanya meniti remaja. Kalau sekali pandang, memang tak ada sebab suami boleh main kayu tiga. Itulah telahan kita semua. Pandai masak dan pandai memanjakan suami. Itulah hakikatnya. Kenapa saya merumuskan begitu? Kerana di saat suaminya susah dek bertahun-tahun menganggur. Dia yang menyara keluarga. Mencukupkan mana yang kurang. Menampi mana yang sambang. tapi segala-galanya berubah apabila sang suami sudah kembali kerja. Hidup dia pun mula senang.


Saya terkedu apabila Puan sabar kata dia pernah berjualan di pasar Ramdhan. Tak sempat salin baju kerja, habis waktu pejabat terus selinsing lengan jaja ayam percik (kalau tak silap sayalah) demi membantu suami berjaja. Habis saja berniaga, Puan Sabar akan berlari ke masjid menyempurnakan solat Terawikh dan selepas itu sambung buat kuih dan biskut pula. Sampai santak dini hari.


"Suami?"


"Dia tidurlah!"


Saya yang terlunga.


Ok. Penat berniaga di bazaar Ramdhan. Kita faham. Tapi duitnya mana? Puan Sabar geleng saja. Tak tahu. Memang dia tak tahu ke mana pergi semua $ dan sen si suami sebab dia terlalu sibuk mencari duit, untuk mencukupkan hidup mereka sekeluarga. Anak tiga, kereta, rumah, credit card, belanja raya. Baju tetap sedondon. Kan? Penatnya, hanya Tuhan yang tahu. Cuma encik Suami Puan Sabar saja tak tahu (atau buat buat tak tahu) sebab dia sibuk dengan dunianya....kekasih gelapnya, foya-foyanya. Tak gitu?


Oh! Lelaki. Inilah lumrah cerita sang Lelaki. Beristeri. Beranak. Tak kerja. Ada buah hati. Hem.....! Sempurna sudah sebuah cerita hati yang sambang apabila dicemari cinta nan sumbang.


Dan kebiasaannya, sang suami menjadi-jadi sangat sebab mendapat isteri yang terlalu pasrah. Terima saja onar suami seadanya. Rumusan ini saya tujukan secara jamak ya. Bukan tertumpu kepada satu kes saja. Iya, biasalah isteri.... sebab sayang anak, sayang keluarga....cinta suami...maka segala derita pahit kita telan sendiri dengan harapan pasangan kita itu akan berubah satu hari nanti.


Begitukah hakikatnya? Saya tak tahu. Tapi saya cuma berandaian saja kerana jika kita beri tanggungjawab kepada suami tentu keadaan tidak serumit ini. Sejak awal berkahwin, kita sudah beri gambaran yang jelas. Bentuk apa? Warna Apa? Biar suami tahu yang mana hitam dan putih. Bagi tahu suami, kita bayar apa. Beli apa. Dia bayar apa. Tanggung apa. Tak gitu?


Jadi dipendekkan cerita. Puan Sabar hanya tahu suami bercinta dan duit hilang entah ke mana apabila terjumpa segala bukti. Itu pun bukan dia yang cari. Maklumlah, kalau memang benda tu salah, tutup macam mana pun tapi akhirnya yang 'busuk' itu pasti tidak dapat dibendung lagi.


"Saya tak suka berkomputer sangat. Jadi laptop saya encik suami yang pakai. Rupa-rupanya dia jadi rambang mata bila dok chatting sana chatting sini."


Oh! Begitu duduk ceritanya. Memang kecurangan suami isteri dek kerana FB ni dah semakin menjadi-jadi. Toleh kanan kiri, mesti ada kesamaan cerita antara si A, si B dan si C. Moralnya, kita sebagai isteri kena pantau pantau aktiviti suami. Jangan ingat dia memerap depan mata kita 24 jam tu maknanya dia 100% setia. FB sekarang dan boleh akses kat tapak tangan saja. Handphone canggih....semua ada. Tinggal klik saja.... terpampanglah 1000 wajah... 1000 senyuman. Isteri depan mata, dok ralit tenguk Nora Elina, suami kat sebelah main kayu tiga. Klik klik dengan hujung jari saja. Bila baca status..."abang sepi. Isteri tak peduli."


Cis!
br>
Memang terbakar hati.


Jadi, terpaksalah saya stop dulu Cerita Hati ini sebab nak bagi sejuk balik kepala, hati, mata dan hujung jari. Anak pun dah nak balik sekejap lagi. Jadi, kena siap hidangan tengah hari. Sat lagi, bila depa dah pi mengaji, kak Bedah tulis lagi.


Apapun, kalau ada yang berpuasa sunat, tatap sajalah kek Red Velvet ini. Bentuk hati lagi. Maklumlah saya buat untuk sambutan ulang tahun perkahwinan sepasang suami isteri yang saling cinta mencintai. Begitulah hendaknya. Biar abadi.


Monday, June 13, 2011

Gelora Rasa


Salam semua,

PAGI saya kembali sepi. Begitu juga seluruh kejiranan. Anak-anak yang memeriahkan hidup kita, kini sudah kembali ke sekolah. Dan saya pun berazam untuk memenuhkan pagi ini dengan memasukkan semua gambar yang masih tertunggak. Begitu padatnya aktiviti saya setiap hari, sehingga apabila minggu berganti pun masih banyak cerita berbaki. Kalau masih di majalah dahulu, jika kerja terlalu banyak yang belum didokumenkan jiwa raga saya mula bergelora. Resah sahaja. Maklumlah, setiap detik jam yang berlalu itu ada berharga. Kepala, mata, tangan... semua kena bergerak laju. Tangan taip apa yang patut sambil kepala memikirkan intro untuk semua story yang masih belum 'dicanai'. Sekarang ni, maklumat semakin mudah diperolehi dengan adanya kemajuan teknologi dan kelajuan Internet. Tapi kelebihan ini juga menjadi sesuatu yang memudaratkan jika kita terlalu leka mengadap komputer sampai mengabaikan banyak perkara.


Bak kata kawan saya, Siti H, dia tidak suka mengadap Internet. Facebook pun dia buka sekali sekala saja sebab dia lebih teruja membaca. Novel menjadi pilihan utama. Saya setuju dengan Siti H. Kalau tidak kerana kerja, tak mungkin saya mahu menghabiskan masa berjam-jam depan komputer. Tapi sebab saya ini memang penulis profesional. Jadi, menulis itu darah daging saya. Bercerita itu kelebihan saya. Dan saya ditakdirkan mencari rezeki melalui penulisan.


Semasa di sekolah rendah (sekitar usia 10, 11 tahun), saya sudah menulis cerpen dan kawan-kawan sekelas akan membacanya walaupun mereka terpaksa membayar 5 sen. Saya juga buat komik, pantun dan seloka. Aruah ayah yang suka menulis dan menjadi pengamal diari tegar, telah mengajar anak-anaknya berdiari seawal usia tujuh tahun. Dan rasanya saya yang paling setia ikut jejak ayah, suka berdiari sewaktu di sekolah dahulu. Semua hal saya cerita dalam diari. Jadi mencatat aktiviti harian dalam Facebook ini bukan sengaja atau mengada-ngada. Ia cuma kesinambungan fitrah yang sudah dipupuk sejak kecil.


Kalau tidak menulis di Blog Cupcakekasih, saya akan mencatat luahan hati dan ilham saya di laman blog peribadi. Hanya saya saja yang baca. Rasa-rasanya kalau blog itu ditatap umum, memang 'panas' sangat kerana semua rasa ada di situ. Luahan hati teman-teman selebriti -- duka lara teman artis, keluh kesah rakan pengacara, gelak tawa kawan wartawan... semua ada di situ (p/s: dan cerita hati di kalangan wartawan lebih hangat tau, mengalahkan bintang popular). Ada di kalangan teman artis yang suruh saya publish saja rasa cuak dan bengkak jiwa mereka itu kerana mahu menempelak orang itu dan orang ini. Eh! Tak mahulah sebab saya suka dengan kehidupan sekarang. Tiada kamera, tiada interview yang bukan-bukan dan juga sorotan itu dan ini. Kita wartawan. Rasa pelik pula apabila di interview teman wartawan. Cukuplah pengalaman yang satu itu dahulu. Tak mahu. Dan kerana itu juga apabila kawan-kawan wartawan mahu saya muncul secara langsung di layar telivisyen mereka -- bercerita mengenai kek dan tatarias, saya hanya senyum saja. Terima kasih sajalah ya kerana ini cuma hobi.


Jadi, berbalik, mengenai cerita dan menulis ini, dulu dulu, semasa tiada pencatat digital seperti Blackberry dan Ipad, saya sentiasa ada buku kecil dalam beg tangan. Jika ada bait-bait puitis nan manis memercik dalam minda, saya akan terus mencatatnya dan simpan elok-elok. Tak kira di mana, jika ilham muncul, saya akan terus mencoretkannya, walaupun ketika itu saya memandu. Jadi saya tidak kisah sangat jika ada kesesesakan jalanraya kerana ada banyak benda yang boleh saya lakukan dalam meniti waktu yang terhenti itu. Kadang-kadang ilham datang ketika tidur, dan sebaik terjaga, saya terus menggarap segala idea.


Dan kini, sebagai penulis sepenuh masa, memang keinginan menulis di majalah atau surat khabar tu tetap membara. Tapi saya mahu menulis topik yang saya suka. Jadi, setakat ini, tawaran yang datang itu saya anggap rezeki, tapi masih belum terbuka pintu hati. Saya mahu menulis topik yang sesuai dengan usia dan kesukaan saya. Zaman bercerita pasal krim kecantikan dan fesyen sudah berlalu. Bagilah peluang kat orang muda -- yang lebih bertenaga dan penuh keterujaan yang membara.


Sekarang ni minat menulis saya itu diwarisi Alia. Infact, dia minat semua yang saya suka. Kami sekepala dan saya suka berkongsi rasa dengan Alia dan selalu saya pesan kat dia, jangan berangan mahu menulis (blogging) kerana glamour sebab nanti kita akan menjadi pencacai. Jaga etika kewartawanan. Jangan nak maki hamun atau kutuk orang lain sebab rasa diri sendiri yang bagus. Ada cara kalau mahu sentuh sesuatu topik supaya suara kita didengari. Kalau nak glamour sangat, jadi selebriti. Buat saja apa yang kita suka seikhlasnya....macam cikgu Shidah dari Parit tu. Walaupun ramai yang mengutuk menghinanya. Tapi saya tetap menganggap dia yang tersendiri. Si kaki kutuk masih tidak ke mana, sedangkan cikgu Shidah sudah pun menemui kepuasan menurut acuan hati. Jika lawak cikgu Shidah itu boleh menggembirakan satu jiwa saja pun sudah cukup. Dia sudah dapat pahala. Berbanding orang yang cuma tahu kutuk saaja, tapi habuk pun tak ada. Tak pasal-pasal dapat dosa.


Jadi, akhir kalam saya sudahi dengan wasalam dan resepi kek yang sangat sedap ini. Saya buat semalam sebab nak melenyapkan penat yang terkumpul sepanjang minggu. Teruja sungguh saya apabila Abby Fana kata kek saya itu sedap bebenor. Tersenyum saya sampai ke telinga. Thanks Abby dan mama Jun ucapkan Selamat Harijadi kepada baby A, buah hati Abby......!





German Black Forest

Bahan A
95 g minyak jagung

Bahan B
30 g serbuk koko
150 g dark chocolate (dadu)

Bahan C
90 ml air kosong (air paip)

Bahan D
60 g high ratio flour atau superfine flour atau tepung kek
1/2 tsp baking soda
1/2 tsp baking powder

Bahan E
6 kuning telur

Bahan F
225 g putih telur
95 g gula kastor
1/2 tsp cream of tartar

Chocolate Mouse
350 g whipping cream
1 1/2 tbs gula kastor
20 g serbuk koko
75 ml pitted cherry juice
1 1/2 tsp gelatin (dilarut dalam 2 tbs air)
3/4 tbs instant coffee powder
2 tin (kaleng) dark pitted cherry
Chocolate ganache

Loyang 9"


Kaedah Penyediaan

1. Panaskan oven 180 C. Alas loyang dengan kertas minyak.
2. Panaskan minyak. Masukkan bahan B, kacau sampai coklat cair. Tutup api. Kemudian masukkan C, D dan E.
4. Ketepikan.
5. Putar putih telur dengan kelajuan tinggi sampai stabil. Kemudian ambil semangkuk adunan ini, masukkan dalam bahan adunan 2. Kacau sebati. Ulangi proses sampai semua putih telur habis. Guna spatula atau sudip sahaja ya.
6. Bakar 45 minit atau sampai kek masak.
7. Pukul whipping cream sampai gebu bersama gula dan serbuk koko dan gelatin dan jus cherry.
8. Bahagi kek kepada 3 bahagian dan sapu setiap lapisan dengan chocolate mousse dan pitted cherry.
9. Litupi seluruh kek dengan baki frosting tadi dan hias.
10. Simpan dalam peti sejuk dan hanya dikeluarkan jika hendak dihidangkan saja.




Inilah juadah minum petang kami semalam!


Inilah kek German Black Forrest yang saya hadiahkan untuk buah hati Abby Fana.




Happy Birthday sayang.....

Sunday, June 12, 2011

Happy Birthday Maryam Madihah

Opah dan Ajwad

Salam semua. Hari ini sudah Ahad. Minggu kedua Jun. Maknanya lagi dua minggu kita akan menyempurnakan kalendar untuk enam bulan pertama 2011. Tak lama lagi Julai menjelma dan bermakna Ramadan juga akan segera bertamu. Saya sungguh berdebar-debar kerana biasanya Ramadan saya dapat rehat panjang tapi menejlang Syawal, saya tak menang tangan. Dah empat tahun, begitulah fitrahnya.


Setakat ini, kek yang ditempah untuk majlis perkahwinan pada bulan Syawal nanti sudah menunggu. Email yang bertanya harga untuk majlis bulan November dan Disember pun sudah bersusun paku tapi saya saja buat buat tak tahu. Saya jarang ambil tempahan terlalu awal (tiga bulan kehadapan) kerana tak mahu terhutang janji. Ambil deposit terlalu awal pun saya tak mahu kerana takut kalau umur tak panjang, jenuh waris nak cari si penempah buat melunaskan hutang. Apapun, kalau kenalan dan saudara mara yang minta tarikh, saya terus setuju.


Ok, apapun, dalam sibuk-sibuk menyiapkan tempahan, sempat juga kami sekeluarga berkumpul di rumah kakak saya (Kak Ida, 1001 Resepi) untuk meraikan harijadi tiga ahli keluarga yang berkongsi tarikh 8 Jun 2011 iaitu my mom (Opah), anak saudara Ajwad (anak Kak Ida) dan anak saudara paling bongsu, Maryam (anak adik saya, Dr Norsidah).

Bintang yang dirai..., Maryam Madihah, genap setahun pada 8 Jun 2011 lalu.


Inilah kek Maryam yang dibuat oleh kak Alia....dihias figurin Angry Bird.

Hari Jumaat malam, sebaik saja balik dari UiTM, kak Alia terus uli fondant ni, dan dirias bentuk menjadi Angry Birds yang comel. Semuanya untuk adik sepupu yang sangat digeram-geram...Maryam.




Maryam dikelilingi semua sepupu, abang dan kakak -- Munirah, Kak Ika, abang Muneer, abang Muaz, abang Ajwad, kakak Sarah, kak Alia, kakak Kasih, kakak Arina, abang Man, abang Adam, abang Atmam dan kakak Hani.


Maryam dengan Opah, Mama dan aunty -- Mak Lang dan Mak Ngah.

...sebahagian pengganan.

....me and my bonda.

semoga Ahad kalian juga menggembirakan.

...akhir kalam, wassalam