Followers

COPYRIGHT & USE OF IMAGES
All images on this blog are copyright of CUPCAKEKASIH and may not be published without the permission. If you would like to use some of our images feel free to email me at cupcakekasih@yahoo.com

Thursday, March 31, 2011

My Lovely Swan


Assalam semua

Pagi ini redup saja. Dah dua hari redup. Hajat nak bermacaroon kena dipendamkan sahaja. Jadi saya tukar selera, buat cream puff. Tapi kali ini saya mencuba resepi Chef Kevin Chai. Comel pula cream puff chef ini apabila dibentuk seperti angsa, sehingga menggoda-goda rasa. Lalu saya pun berhasrat mencuba sekali lagi kerana resepi sebelum ini hasilnya tidak begitu gebu. Mungkin kerana saya menukar tepung gandum kepada tepung roti (high protein flour), menyebabkan semua 'swan' ini jinak saja apabila dibentuk manja.


Dan satu lagi tips, ketika memutar telur, masukkan satu persatu dalam adunan dan perhatikan kelikatannya. Jangan terlalu cair. Maknanya jika selepas memasukkan telur ke-3, adunan sudah likat dan kental, jika diangkat dengan sudip, tidak menitis, maknanya cantiklah pastri tu nanti.


Jadi, sebagai halwa mata dan menjamu selera petang ini, cubalah ya anak-anak dan adinda semua.




Bahan2

200 ml air

25 ml susu segar (optional. Tak perlu ditokok jumlah air jika tidak menggunakan susu)

80 g butter

1/4 tsp garam

1 tbs gula castor

170 high protein flour (tepung roti)

3 - 4 telur (masuk satu persatu)

Filling

1. Cream cheese

150 g cream cheese

70 g butter

100 g icing sugar

(putar sampai gebu semua bahan dan masukkan dalam piping bag)

Hiasan

Buah-buahan seperti kiwi, strawberry, pic dll

Cara Membuatnya

1. Campurkan air + butter + susu segar + garam + gula castor dalam periuk dan masak atas api (sederhana) sampai semua cair dan sebati.

2. Kemudian masukkan tepung dan kacau dengan sudip kayu sampai adunan tidak melekat di sekeliling periuk.

3. Tutup api dan biarkan adunan sejuk.

4. Kemudian pukul telur dengan mixer kelajuan sederhana. Masukkan satu persatu dan jaga kelikatannya. Agak-agak likat tapi masih kental. Cukup. Maknanya kalau hanya 3 biji telur sudah kental dan likat, ok. Jangan sampai adunan jatuh laju apabila di kaup dan angkat dengan sudip kayu.

4. Pasang nozel size besar bentuk bintang (close star tip) pada piping bag.

5. Masukkan adunan ke dalam piping bag.

6. Sapu butter sedikit pada dulang pembakar. Paip adunan.

7. Bakar lebih kurang 20 min. Suhu 170 c.

Tuesday, March 29, 2011

Hello Darling, I'm Not an Ugly Duckling

Assalamualaikum,
...dan selamat malam semua. Sebenarnya saya hampir mahu melayang ke alam impian apabila deringan handphone tiba-tiba menjadi sangat ramah. Melihat nama di layar, saya langsung tak jadi beradu. Maklumlah, dah lama juga kawan yang satu ini tidak menelefon. Sangka saya dia sudah tidak mahu 'turun ke bumi' lagi selepas enak menikmati indahnya 'syurga'. Rupa-rupanya kaki sudah jejak tanah semula (akhirnya), maka suara yang sangat familiar itu kembali memukul gegendang telinga saya.


"Sakit hati aku...."

"Kenapa? Dah melancung ke tujuh benua pun, masih belum hilang stress?"

"Aku sakit hati betul dengan arwah ni!"


Saya diam saja. Dah agak dah. Ini mesti pasal kes si arwah a.k.a bekas suaminya itu. Kalau tidak, kawan saya ini tidak melenting sampai begitu sekali. Memang selepas bercerai lebih kurang dua, tiga tahun lepas, dia geli hendak menyebut nama Mr X. Jadi dibahasakan sebagai arwah saja.


"Aku baru tahu, bini muda arwah tu sebenarnya lebih tua dari aku. Kau tak sakit hati?"

"Sakit..."

"Ha....tau pun. Aku sakit hati sangat ni Jun. Entah apa hebat perempuan tu. Sampai dia sanggup tinggalkan aku, tinggalkan anak yang tiga orang ni... sebab nak kawin dengan j**** tu. Bekas orang. Sia-sia aku buat segala-galanya untuk dia. Sakit aku beranak dulu pun belum hilang lagi tau. Eh! Dia senang-senang jer nak bina hidup baru (konon) dengan perempuan tu. Sanggup bela lagi anak tiri yang lima orang tu. Anak sendiri hidup tak berbapak."


Hem... memang bab ini saya tak faham. Maksud saya, kenapa ya... lelaki tergamak meninggalkan anak sendiri, darah daging sendiri, semata-mata hendak melampias kehendak nafsu mereka yang cuma ada 'satu' itu. Hanya kerana ranjang di sini dituduhmya sudah dingin, maka mereka mencari kelambu baru di kamar lain? Konon mahu buka buku baru -- keluarga baru, kehidupan baru. Isteri yang dikahwini 10-15 tahun dahulu + anak-anak yang sedang meremut-remut itu, depa tergamak tinggalkan saja begitu, macam buang barang buruk saja. Even barang-barang lama pun ada harga. Tapi tidak anak manusia.


Itu yang buat saya menjadi emosi. Bukan sengaja nak menjaga tepi kain lelaki. Dan saya tidak kata semua lelaki begitu. Arwah bapa saya sangat baik. Tapi catatan berbau panasaran ini saya garap bagi pihak kawan-kawan yang tidak begitu bertuah, ditakdirkan berjodoh dengan lelaki serakah.

Macam si polan kawan ku ini. Apa yang dia tak buat? Dari hujung rambut sampai hujung kaki, dah tak ada yang asli. Dada tu dah berapa kali ditukar silikon. Dari sebesar nasi lemak 50 sen, sampai sekarang ni dah jadi 'nasi lemak tiga ringgit berlauk sotong kering' -- sampai membuak-buak. Memang confirm semua kutang lama tu dah tak muat. Dahi tu, selang dua, tiga bulan mesti dibotox. Segala jeragat kat pipi dah habis dikikis dengan laser. Belanja beribu-ribu. Bak kata orang, walau umur dah melepasi takah 40, tapi tetap nampak genit gebu. Sayangnya, semua tu tak laku. Kesudahannya kawan ku ini tetap mengigit kuku.


Bukan sebab si isteri tu tak cantik, tak pandai berhias, tak boleh beranak, tak pandai masak....! Alasan ini semua sudah basi.

Bak kata H, cik ki kita tu kak Jun memang macam tu. Pantang ada duit lebih sikit, dia mesti melabur ke seberang. Bukan mau buat bisnis tempe atau nasi Uduk, tapi kerana mencari pacar Medan. Siap tulis dalam FB lagi, 'suka sangat cewek Medan'.



"Dah kena tipu lima, enam kali dengan pompuan sana tu, dia tak serik juga."


Ha, adik-adik semua jangan salah faham tau. Medan yang dimaksudkan itu, bukan Taman Medan kat sebelah Sunway ya. Eh! bukan. Orang situ baik-baik belaka. Ini Medan kat Sumatera tu.



"Ha, kalau ada 'bapak bapak yang sukaaaaa sangat ke Medan, atau ke Jakarta atau di mana-mana saja kat Tanah Jawa... awas lho. Cuba sesekali kita pasang jala. Serkap bila bapak mula alpa. Benarkah dia ke sana karna mau main golf?"


Hah! Ini bukan bercakap ikut sedap mulut saja ya dek, tapi garapan kisah benar. Episod selingkuhan penuh drama, sangat menjeruk jiwa.


Dan, bukan sekali dua saya dengar cerita yang sama -- Encik Suami yang kononnya mau main golf di tanah seberang sebenarnya banyak yang menyimpang.


Maka, hati pun tertanya-tanya. Apakah rumput di Malaya ini kurang hijau? Atau lubang di padang sini kurang dalam? Maka di cari sampai jauh ke seberang lautan? Atau sememangnya padang golf di sana ada magisnya?


Kalau ditanya kepada H, A dan N yang pernah melalui satu episod gila dek onar suami mereka, jawapannya mudah saja -- tak ada magis atau mukjizat. Tapi si caddy yang sangat pandai mengayat. Ya, kalau dulu-dulu majoriti caddy lelaki, sekarang ni tugas berjemur di tengah panas itu sudah diambil aleh cewek-cewek.



Jadi, jangan berbangga dulu kalau suami tiba-tiba suka sangat bermain golf. Kalau 30 atau 40 tahun dahulu, ya. Sukan ini adalah lambang status. Kita sebagai isteri boleh kembang hati kalau suami usung kayu golf ke sana ke mari. Maknanya, besar kemungkinan encik Suami kita tu bermain golf dengan golongan ningrat, bangsawan dan Pak Menteri. Tapi tidak di zaman ini yang majoriti sudah celik IT.



Jadi, kesimpulannya, kalau agak-agak encik suami tu dah mula galak nak turun padang, cepat-cepat kita halang. Ajak suami beriadah cara lain. Maybe main dam. Ok juga. Janji bukan main golf! Boleh gitu :-)


Jangan jadi macam H. Memang dia suruh saya tulis hal ini dalam blog. "Cik Suami dah banyak kali main cinta dengan caddy kak. Mula-mulanya tak tahu." Tapi kalau benda salah, lama-lama naluri isteri tetap beritahu.


Oh! Patutlah si suami galak sangat nak main golf ke Medan. Rupa-rupanya di sana ada gula-gulanya. Ada jajannya. Ada penyedapnya. Caddy kutip bola di padang, dan caddy sama juga yang mengurut segala lenguh di pinggang dan... (penghujung ayat ini, pandai-pandailah kita serkap jarang).


Apa pun begitu. Ceritanya sama. Cuma lokasi dan wajahnya saja berbeda. Dan kalau bukan melihat sendiri gambar selingkuhan sang suami, mungkin H dan A serta N boleh dianggap menfitnah. Tapi kalau memang sudah terpampang video dan gambar-gambar lucah dalam handphone tu, masih mahu menegakkan benang basah?

Hem, tepuk dada tanya jiwa. Siapa yang lara, siapa yang hidup di atas bara?


Akhir kalam, kalau sudah ditatarias seluruh badan, namun gejolak hati encik suami tetap tidak boleh ditahan-tahan, kita nak buat apa? Kalau di tanya K yang dulu jongos tapi sekarang dah mapan satu badan, senang saja jawabnya.... "Hello Darling...i'm not an ugly duckling!"


(wah! pandai dia cakap orang putih ya....sekarang?)


captions: Ini bukan jelmaan ugly duckling si K. Tapi cream puff yang saya buat petang tadi. Sedap banget tu. Esok, baru saya bagi resepi. Nite nite dan sampai jumpa lagi. Wasalam

Monday, March 28, 2011

Sebuah Emel dan Petang yang Sempurna

Salam Semua....

Hari ini sangat panas sekali. Infact, sudah dua hari panas kering. Perfect untuk macaroon :-))


....dan bercakap pasal macaroon, saya ingin berkongsi salinan emel daripada pemenang Penantian 400,000, Rina Rubangi yang dikirim petang tadi. Ketika itu saya sedang enak-enak menikmati kopi di Ikea. Hem...! Saya memang suka kopi di situ, hitam, pekat dan manisnya, sekadar manis-manis buah saja. Kalau dikawankan dengan macaroon... memang sempurna sebuah petang. Gitu!


Jadi, berbalik hal emel Rina yang bertuah, tidak perlulah saya mengungkap mukadimah panjang lebar. Lebih baik pembaca semua layari sendiri sulur hati Rina dan saya cuma mahu mengucapkan Happy Birthday Rina.....!



nite nite


Salam kak jun,
Secara jujurnya saya bukan la pengikut setia blog kak jun..bukan sebab saya tak meminati hasil kerja kak jun tapi di sebabkan kekangan masa.saya tiada internet di rumah dan masa saya melayari internet hanya di tempat kerja tp bukan semasa waktu kerja k..hehe.waktu rehat tengahari biasanya saya tidak pergi rehat (diet..huhu) tapi melayari blog2 masakan termasuk cuci2 mata di blog akk.dan 1st time saya terbuka blog akak,seriously..saya betul2 kagum dengan hasil kerja akk,deco untuk setiap kek yg kak jun buat..cantikkk.jatuh cinta pada pandangan pertama..
sebelum ni pernah juga saya cuba untuk dapatkan hadiah kek bentuk beg tangan bagi contest yg ke 200,000 or 300,000 (lupa plak..huhu) tp maybe masa tu bukan rezeki saya..kali ni saya teruja bila tengok hadiahnye berupa sekotak macaroon..saya tak pernah rasa macaroon..macam mana agaknye rasa makanan comel yg berwarna-warni tu ye?
Hari khamis lepas (24/03/11) sebelum pulang saya sempat jalan2 tengok blog akk..saya tengok angka visitor dah cecah 399 700...saya pe lagi,refresh sampai hampir2 hang computer ni.dan saya keluar lambat dari ofis semata-mata nak cuba nasib jadi visitor ke 400 000..dapat or tak saya tak kisah,asalkan saya dah cuba.dan akhirnya,penantian saya berbaloi juga..saya jadi visitor yang ke 400 000!!!excitednya saya..betul-betul tak sangka.saya rasa bertuah sangat masa tu..saya tau ramai yg cuba tapi saya yg berjaya.lusa (30/03/11) birthday saya..dan saya rasa ini sebagai hadiah istimewa untuk saya dari seorang pengusaha kek yg terkenal macam akk.
Tahniah juga buat mereka yg dah berusaha gigih untuk jadi visitor ke 400 00..maybe ada rezeki lain untuk mereka di masa akan datang.hope mereka tak kecewa dan akan terus berkunjung ke blog kak jun..dan support bisnes kak jun.Terima kasih kak jun sebab adakan contest ni..dapat juga saya merasa macaroon kak jun yg comel & berwarna-warni tu.

Terima kasih sekali lagi..saya doakan kesejahteraan kak jun sekeluarga. semoga bisnes kak jun ni bertambah2 maju dan akk akan di limpahi dengan lebih banyak lagi idea2 kreatif yg menarik.

salam mesra,
Rina Rubangi

p/s : kak,macam mana ye saya nak ambil hadiah saya?saya duduk kat jb..macaroon tu memang tak boleh pos erk?kalo memang tak boleh pos,xpelah..mybe bukan rezeki saya nak merasa macaroon akak tu.saya ikhlas kalo akk cakap benda tu terpaksa di beri pada orang lain yg angkanya hampir dgn 400 00.tp still mengaharap ia akan jadi kepunyaan saya..







Sebarang Pertanyaan/Tempahan:
Emel: cupcakekasih@yahoo.com
sms: 017 2840900
www.flickr.com/photos/cupcakekasih

GALERI: Kek Harijadi (Girls & Boys)





GALERI kek harijadi khusus untuk anak lelaki dan perempaun, hasil karya Jun untuk Cupcakekasih sejak 2008. Sila email ke cupcakekasih@yahoo.com atau sms















ASSALAM semua,

Sunday, March 27, 2011

...dan Pemenangnya....

...ialah RINA!

Ya....Assalamualaikum semua!


Selepas tergendala beberapa kali untuk menaip citra ini. Akhirnya dapat juga saya menghadap laptop. Sepekan berlalu dan memang ia sebuah minggu yang sangat sibuk. Sejak selepas Aidilfitri hingga ke detik ini saya masih boleh bercuti lagi. Sekadar ada sehari dua kelepasan saja tapi saya sangat happy kerana kalau tak sibuk-sibuk macam ini saya nak buat apa? Orang kalau dah biasa bekerja sejak muda, tak mungkin boleh menjadi tai-tai sejati. Mesti rindu nak pegang jadual kerja yang sentiasa penuh dengan kiraan bukan lagi untuk hari demi hari tapi bulan demi bulan. Macam zaman di majalh juga.


Dan sebelum saya bercerita lebih lanjut mengenai Rina, marilah kita tatap gambar macaroon yang sangat cantik ini. Terima kasih kepada Encik Suami kerana sudi menolong saya mengabadikan kecomelan macaroon berwarna-warni ini.


Maklumlah, bukannya senang nak buat kudapan Perancis ini....sangat manja dan sangat cerewet. Tapi dek kerana kesedapan rasanya, saya tetap tidak putus asa untuk mengadun macaroon. Alhamdulillah, selepas mencuba beberapa cara, akhirnya saya sudah temui keserasiannya. Telahan saya mengenai pantang larang macaroon ini bukan sekadar metos. Bak kata Alia, sebab itulah macaroon ini dimakan ketika summer sahaja. Saya bersetuju penuh makna. Pemahaman saya pun begitu. Tak tahulah sama ada orang lain pun setuju.








Dan dengan lapang dadanya juga, dek keseronokan yang tidak terbendung ini, saya umumkan di sini, pemenang untuk penantian 400,000 ialah RINA.





Tahniah ya Rina.

Sebenarnya, saya sangka pemegang nombor 400 ribu tidak berminat menebus hadiah kemenangannya. Ini kerana selepas beberapa minit kaunter di blog saya menunjukan angka 400,000, maka kotak email saya pun sudah dipenuhi email pembaca. Semua nak tahu siapakah gerangan si pemenang. Selain itu, pemegang nombor bertuah lima angka sebelum takah 400,000 dan juga 10 angka selepas 400,000 sudah pun mengirim email dengan harapan yang tinggi menggunung.


Dan menjelang pagi Jumaat saya sebenarnya sudah pun mahu mengumumkan pemenangnya. Aleh-aleh Rina mengirim email, oh! saya lega. Rupa-rupanya Rina mengirim email pengesahan ke alamat lain dan sudah pun ditelan SPAM BOX.






Jadi, saya dengan sukacita mengumumkan Rina Rubangi akan menerima macaroon dari Cupcakekasih. Tarikh, masa dan tempatnya akan saya hubungi Rina ya. "Nanti kak Jun PM Rina."



Dan, sementelah semalam saya berjaya membuat berdulang-dulang macaroon, maka saya ingin kongsi gambar yang cantik molek ini bersama-sama pembaca.



Kalau nak tahu, macaroon ini bertambah enak kerana mendapat sentuhan rasa pecan coconut, blueberry, raspberry, chocolate dan chocolate strawberry. Emmmm....enaknya.







Nanti Rina akan mendapat macaroon comel ini dan jika sememangnya Rina ini FOLLOWER Cupcakekasih, saya dengan senang hati akan menganjurkan sesi memasak macaroon untuk Rina. Macam mana? Ok tak?



Apapun, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peserta yang lain....yang sudi memeriahkan sesi suka ria kali ini especially Nurulaini, Fakardellawarni dan Siti Khairiah. Semua nombor sipi sipi tu, tapi tak ada rezeki. Nanti kalau teringin nak tempah macaroon, beritahu kak Jun. Dapat diskaun yang sangat cun :-))











Jadi, akhir kalam, saya sudahi dahulu sembang petang minggu kali ini. Tataplah gambar macaroon yang comel dan berwarna-warni ini. Jika ada yang berminat hendak menempah macaroon please email ke cupcakekasih@yahoo.com ya kerana minggu ini kak Jun akan bermacaroon lagi.



Sampai jumpa lagi,

Salam macaroon (meminjam ejaan Martha Sterwart ya) dan nite nite

JUN,
USJ Subang Jaya

Wednesday, March 23, 2011

Tahniah in Advance....!



Salam Semua...

Sebelum malam berlabuh semakin dalam, biarlah saya sudahi dengan pesanan yang sangat penting ya. Sebentar lagi, nombor di kaunter sebelah kiri blog ini akan menunjukkan angka 400,000. Jadi, kepada pengunjung bertuah, silalah email screen shot laman ini kepada saya sebagai bukti penyertaan anda.


Peserta bertuah akan menerima sekotak macaroon. Tawaran ini hanya sah untuk pengunjung warga negara Malaysia dan tinggal di Malaysia sahaja dan boleh datang sendiri bertemu saya untuk menerima hadiah ini. Pemenang 100 ribu, 200 ribu dan 300 ribu dahulu macam mana ya? Hmmm, tak bolehlah nak menang lagi. Kita bagi peluang kat kawan-kawan lain pula ya. Hadiah tidak boleh ditukar ganti dengan wang tunai dan sekiranya pemenang tidak 'muncul' dalam tempuh 8 jam, pengunjung/peserta yang memegang nombor lima terdekat sebelum 400 ribu dan lima terdekat selepas 400 ribu layak membuat tuntutan. Misalnya, 399,999 atau 400,001 atau 400,002 - 400,005.


Sila emel bersama butir-butir lengkap dan gambar terkini. Saya berhak menentukan tarikh penyerahan hadiah kepada peserta bertuah. Dan tunggukan pengumuman hadiah BONUS..! untuk FOLLOWER blog ni. Apa ya? Mungkin peluang belajar membuat dekorasi kek percuma? Atau membuat macaroon juga? Just grab your it. Ini sekadar suka-suka...sebagai tanda penghargaan saya kepada pengunjung dan pelanggan yang sangat sporting dan juga kawan-kawan ku sayang di luar sana.

Sebarang pertanyaan boleh emel kepada cupcakekasih@yahoo.com

Sampai jumpa lagi. Selamat mencuba!


Semanis Kenangan Itu



SALAM SEMUA

Saat ini saya berasa agak terganggu...kerja menjadi tidak lancar kerana GIGABYTE buat hal. Dah uzurlah tu. Jadi, kenalah saya seluk segala beg, poket dan tabung ayam tu. Mana tahu kalau terjumpa seberkas dua RM ribu ribu. Bolehlah beli komputer baru. Ipad saya tak mahu. Tak sesuai jiwa.
:-))


Apapun, bila gangguan teknikal macam ni berlaku -- di saat saat kita sangat memerlukan sepenuh ruang masa dan tenaga, maka jiwa pun menjadi kacau. Banyak gambar dalam lappy tu yang belum saya transfer ke hard disk dan ini mengakibat beberapa cerita yang saya sudah susun cantik cantik, terpaksa ditangguhkan penyiarannya kerana gambar dan caption tak ada.


Jadi kesudahannya, saya hanya dapat menyelongkar gambar lama dan terjumpa gambar-gambar ini. Daripada berlapuk dalam folder tu, lebih baik saya masukkan saja ke laman blog ni, sebagai tanda kenangan dan kalau apa-apa terjadi, saya masih ada simpanan di album maya ini.



Ok, kalau semua nak tahu, gambar-gambar ini adalah kenangan di sebalik tabir untuk sebuah sesi fotografi yang saya selaras beberapa tahun dahulu, untuk menyediakan penghias muka depan majalah Jelita. Memang setiap tahun, sejak Datuk Siti menjadi penyanyi, saya mesti minta dia datang ke studio untuk merias cover Jelita. Tapi kali ini saya ajak dia bersantai di sebuah hotel mewah di Puterajaya. Wah! dek kerana masa ini Datuk Siti adalah yang paling top, maka kami semua mendapat layana 7 bintang. Nak kata 10 bintang pun ok. Seronoknya masa shooting ni sebab Siti sudah begitu biasa menghadap kamera, jadi mudah sekali hendak ambil pose pose yang eksklusif. Hatta, apabila saya minta Siti guling-guling di katil yang empuk itu, dia kata, ok no problem. Kalau masa mula-mula dahulu, dia sangatlah pemalu. Banyak yang kita suruh, dia tak mahu. Boleh dikatakan ini adalah antara assigment saya yang terakhir, sebelum mengucapkan sayonara kepada majalah yang pernah menjadi puspa di hati ku dahulu.





Jadi kalau ada di antara adinda dan kawan-kawan yang sedang boring bekerja di pejabat tu. Take a break. Tataplah gambar-gambar ini ya. Mesti boleh hilang mengantuk. Ataupun kalau ada yang berdiet, tak mau keluar lunch, jamu selera saja di blog saya. Anggap gambar ni sebagai dessert -- untuk halwa jiwa.



Nanti, kita bercerita lagi. Maaf ya. Saya tidak dapat berlama-lama di depan komputer kerana hari sudah meninggi. Saya mesti mula membakar dua, tiga biji kek untuk tempahan minggu ini. Akhir kalam, sesiapa yang berhajat menghadiri kelas dekorasi untuk bulan April, May dan Jun, silalah emel sekarang untuk tempahan tarikh.




Jumpa lagi di citra yang lain pula. Wasalam.




Friday, March 18, 2011

Pesona Hari Sabtu

COUNTDOWN UNTUK 400,000


Salam Semua

BERLALU sebuah Sabtu. Usai sebuah pesona.


Dan tak sangka pula sejak akhir-akhir ini saya sudah boleh melepaskan banyak agenda peribadi -- meninggalkan dapur saya dan laptop saya dan ruang santai saya dan meredahi hiruk-pikuk dunia luar demi memenuhi permintaan teman dan taulan. Memang inilah antara azam tahun baru saya kerana tahun lalu banyak juga undangan yang tidak dapat saya penuhi kerana jadual padat dengan hal kerja sendiri. Kalau tak ada kelas atau tempahan, saya tetap rela terkurung saja di rumah kerana merasakan terlalu banyak benda menarik yang boleh saya lakukan sepanjang hari.


Mungkin kerana itu juga saya berasa 24 jam itu tidak pernah kecukupan. Semua mengujakan saya. Kalau bukan mencuba resepi baru atau merias kek atau 'mendodoi' macaroon di dapur, saya ralit menyulam manik. Jika tidak pun, saya menjahit tudung atau pun sekadar menghabiskan garapan skrip dan novel bersiri saya itu (yang entah bila akan bertemu noktahnya).


Apapun, setelah terlalu lama 'mengurung diri', mahu low profile, akhirnya tahun ini saya mahu beri ruang sikit. Saya rancang masa baik-baik dan tidak mahu ada yang panasaran. Jadi, maknanya jika saya kata 'ya' pasti saya akan datang'. Bagi saya setiap kali saya keluar rumah, itu satu hal yang sangat besar. Masa saya sangat berharga. Jika setakat mahu minum kopi, kemudian bergossip saja. Maaf. Titik.


Jadi, pagi ini dengan lapang dada saya menuju Tapah. Demi menghadiri majlis persandingan teman lama. Mira dan suaminya Dr Faizal.





Mira saya kenali sejak awal 2000. Dia mengirimkan gambar untuk menyertai pertandingan gadis Jelita dan saya sebagai wartawan, juga berkesempatan membuat saringan. Akhirnya, dia terpilih sebagai salah seorang dari 10 finalist. Dan sejak itu juga takdir mengatakan kami akan kekal berkawan. Ada pasang surut, turun naik dan kini, Mira sudah pun berada dalam dunianya yang serba mewah dan glamour itu. Dahulu ibu tunggal, kini Mira kembali berdua. Semoga penyudah yang bahagia untuk ikatan jodohnya kali ini ya.


Amin





Menjelang tengah hari, dari Tapah saya menuju pula ke Doubletree by Hilton di Jalan Ampang pula. Ini juga demi memenuhi seorang teman lama juga, Editor Glam Dekor, Aida Osman. Terima kasih ya Aida untuk jemputan lima bintang ini. Rasa teruja sangat kerana kerana berkesempatan untuk beramah mesra dengan chef dari Makan Kitchen. Agendanya -- masak masak dan makan makan. Ada tiga menu -- Ayam 65, Kari Ikan Malabar dan Nasi Briyani Kambing. Sedap? Oh! Tidak terucap.




Dan lebih manis lagi kerana saya semeja dengan Siti Haidah Asri, rakan sejak di UiTM, kemudian sama-sama menungkah arus dan badai dunia kewartawanan dan akhirnya sama-sama pencen awal dan kini menikmati hidup berkeluarga seenaknya.


Jadi, berbalik soal undangan dan memenuhi janji ini. Setakat ini saya sudah dapat penuhi hajat hati sendiri. Tiada yang ralat dan kelat. Walaupun penat berkejar dari USJ ke Tapah kemudian bergegas ke Jalan Tun Razak, tapi puas hati. Saya pernah dihampakan teman, yang berjanji mahu datang ke majlis saya, tapi sejak awal rupa-rupanya si polan memang tidak pernah berniat melunasi janjinya sendiri.


Buatlah majlis apa saja, wajah mereka tidak pernah muncul, seolah-olah dalam dunia ini mereka saja yang sibuk. Jadi, biasanya kalau sudah kena sekali, saya akan delete saja nama si polan dari senarai tetamu kerana sudah jelas mereka tidak menghargai sebuah persahabatan atau ikatan persaudaraan.


Mereka langsung tidak peduli penat lelah tuan rumah memasak. Pilih menu, beli barang, mengorbankan masa berjam-jam di dapur demi menyediakan juadah untuk tetamu. Tau-tau batang hidung mereka tidak muncul-muncul. Tak payahlah nak cakap soal hukum, dalil atau hadis mengenai mungkir janji ini kerana kalau kita fikir sebagai seorang manusia yang ada hati perut pun kita sudah boleh kira berapa kerugian yang terpaksa tuan rumah tanggung jika kebanyakan tetamu yang diundang tidak menunaikan janji. Cuba bayangkan jika kita masak untuk 50 orang tapi yang muncul cuma 20 orang. Siapa yang nak makan segala lambakan hidangan? Oh! Kasihan.


Itu bab tetamu yang tak amanah. Lain pula ceritanya dengan tetamu yang tak tahu menepati waktu. Kita kata pukul 10 pagi, dia datang 6.00 petang. Kita kata lepas maghrib, dia datang apabila semua undangan sudah pulang. Kalau tanya saya, sejujurnya saya tidak suka kerana saya sangat sibuk. Kalau saya sudah hadang satu hari suntuk untuk meraikan tetamu, maknanya cuma untuk sehari itu sahaja kerana hari seterusnya kita perlu bekerja. Wajib tunaikan tanggungjawab lain pula. Bukan mahu berpesta lela saja sampai bila-bila. Tak boleh macam itu. Cuba kita bayangkan kalau semua makanan terhidang sudah dikemas, pinggan dicuci dan segala maknika keperluan sudah disimpan. Tiba-tiba muncul si late comers ini -- dengan berbagai alasan -- dan mengharapkan semua hidangan tetap terlonggok di meja sampai tengah malam. Memang tak sesuai.


Semoga kita tidak menjadi sebahagian dari mereka kerana jika kita beri reaksi positif, pasti hasilnya kita akan mendapat yang positif juga. Jika kita suka menghampakan orang, jangan kecil hati jika akhirnya kita dipulaukan. Usah cepat melatah jika diusik-usik manja begini kerana hidup ini bukan berkisar tentang diri kita saja. Tapi juga orang-orang di sekeliling kita. Tepuk dada tanya selera.


Dan seiringan itu, jika mahu keluar rumah, pastikan sebabnya munasabah dan tidak mengundang musibah. Jika tidak, kita duduk diam diam saja kat rumah....asah bakat atau apa saja.


Kalau tanya saya....pastilah merias kek jawabnya. Hasilnya, saya paparkan di sini. Penat tapi puas. Kawan happy kita lagilah senang hati.





Kek hantaran untuk Elliani





Kek untuk Rafidah dan Elliani.


Ini pula diminta Mira

....dan tidak lupa juga kek dua tingkat ini...yang diminta oleh Linda. Ini Red Velvet tau. Nak dibawa nun sampai ke Kuching. Saya sempat ambil gambar tingkat atas saja kerana sebiji lagi, dengan berat hampir lima kilo itu sudah pun saya simpan dalam kotak. Penat sangat dan tak larat nak punggah semula. Memang kalau pangkal cuti sekolah, saya macam zombi. Buat kerja sampai tak tau petang atau pagi. Setiap jam sudah disusun atur, tak boleh 'terlari' sikit pun, atau saya yang meraung.



Dan sebuah lagi kek kamera. Tak ingat dah siapa yang menempahnya. Saya memang enjoy buat kek ni. Dan semestinya Nikon suka sebab dah banyak kali buat kek kamera, saya asyik promote jenama ini saja. Maklumlah, sama cap DSLR encik suami. Jadi setiap kali nak rias kek ni, memang kamera yang sebenar itulah menjadi modelnya.

:-))



Akhir kalam, sekali lagi.... saya ingin ucapkan terima kasih kepada yang sudi menempah dari Cupcakekasih dan sudi menghadiri kelas yang saya anjurkan.


JANGAN LUPA UNTUK MENUNGGU DETIK 400,000. Pastikan anda menyimpan screen shot 400,000 itu sebagai bukti penyertaan dan bakal menerima sekotak macaroon yang comel dan berwarna-warni itu. Emel kepada cupcakekasih@yahoo.com screen shot bertuah itu.


Wassalam dan selamat malam

JUN, Subang Jaya
www.flickr.com/photos/cupcakekasih