Followers

COPYRIGHT & USE OF IMAGES
All images on this blog are copyright of CUPCAKEKASIH and may not be published without the permission. If you would like to use some of our images feel free to email me at cupcakekasih@yahoo.com

Monday, December 27, 2010

Carta Terhangat .... Red Velvet Nombor Satu

Seandainya kek juga ada carta tahunan, maka 'Kek Paling Ngetop!' dan menduduki tempat teratas bagi tahun 2010 ini pastilah Red Velvet...yang sangat-sangat digilai. Bak kata orang, tak perlu nak diulas panjang lebar tapi rasai dulu kenikmatan sepotong Red Velvet. Dijamin! Kamu akan tahu mengapa ramai yang terigau-igaukan Red Velvet kerana kegebuannya itu akan mencairkan segala lara dan walang di kalbu!


Dan mungkin dek kerana keenakkannya yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata itu menyebabkan inbox saya sentiasa dipenuhi email pencinta tegar Red Velvet. Minta dan minta lagi. Tapi kalau kilo bertambah, ukur lilit melebar, kenalah tanggung sendiri...LOL!


Apapun, dek kerana banyak juga gambar Red Velvet yang mengecurkan liur dalam folder senarai kek Dis 2010, maka saya paparlah di dada blog kesayangan ini ya. Dan sekiranya kalian masih tercari-cari menu untuk tea, pergi saja ke cafe terdekat, carilah kek yang penuh misteri ini.

Selamat menjamu selera, nanti saya ulas lagi!











Friday, December 24, 2010

Manisnya berkebaya Nyonya

Salam semua,

Disember semakin menghampiri hari bongsu. Tirai 2010 akan berlabuh kurang seminggu dari hari ini. Jadi, saya mahu habiskan semua gambar aktiviti sepanjang Disember yang masih berbaki.


Ini adalah Bahiah, Cek Mek Molek dari Kelate yang sangat kreatif. Kalau dahulu saya selalu ternanti-nanti peserta dari negeri Cik Siti Wan Kembang ni dan nampaknya Bahiah antara peserta yang paling aktif. Selain Bahiah, sepanjang enam bulan kedua 2010 ini juga mencatat bilangan peserta yangn sangat ramai dari sebelah Pantai Timur.


Sebelum ini Bahiah sudah pun mempelajari teknik merias cupcakes (assorted design), cake hantaran dan novelty. Dan kali ini, atas permintaan khas Bahiah, saya kongsi pula ilmu merias kek kebaya Nyonya pula.



Sebenarnya ini adalah hadiah harijadi untuk bondanya. Jadi, merasalah kek ini naik kapalterbang, menuju Kota Bharu.

:-))






Akhir kalam, kepada peminat kek dan cupcakes di Kota Bharu, jangan lupa google Halwa Delights. Bahiah sebenarnya tinggal di Kuala Lumpur, jadi boleh cater for both markets!






Ok, setakat ini saja catatan kali ini sebab nak melayan bondaku yang sedang 'bersyarah' pasal hal nikah kahwin tu. Alia tersengih-sengih jer dengar Opah bercakap pasal hantaran dan mas kahwin. Habis diselongkar cerita zaman dulu-dulu. Hem...kalau emak saya ni pandai berblog...tak tau ler, lagi panjang coretannya berbanding saya tau....! :-))


Apapun, kita jumpa lagi ya. Wasalam.


JUN
...dari Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar

http://www.flickr.com/photos/cupcakekasih

Corat-Coret Saja


SALAM semua,

INI cerita malam tadi. Kala saya hampir melelapkan mata, tiba-tiba BB berbunyi, 'ping ping ping'. Hem, saya tahu sangat siapa yang rajin hantar mesej kalau jam dah melepasi satu pagi. Siapa lagi, kalau bukan kawanku yang satu ini, yang sudah tiga tahun diceraikan suami.. Kesian dia, sentiasa ditemani sepi.

"Kenapa?"
"Aku tak boleh tidur. TV dah habis siaran!"
"Hellooooo!, ASTRO 24 jam."
"Aku mana ada ASTRO."
"Eh! Kau biar betul. 70-annya. Mana ada orang tak ada ASTRO zaman sekarang ni."
"Betul Babe! Aku tak tipu."
"Isy pompuan kaya macam kau. Glamour. Terkenal. Tapi tak ada ASTRO. Susah nak percayalah!"
"Jun...! Dulu aku apply ASTRO pakai nama laki aku. Bila bercerai, ASTRO itu pun diambiknya sekali."

Alamak...nak ketawa pun ada. Kesian pun ada. Sampai macam itu nasib pompuan ya. Bukan saja title isteri kena 'cabut' dek bekas suami. ASTRO pun dia nak berkira, dibawa ke rumah isteri muda. Jadi, cuba cik Puan semua fikir, mana saya tak selalu hangin. Benda-beda macam inilah yang buat tangan saya ni gatal jer... asyik nak komplen. Lelaki mengapa begitu? Sebenarnya bukan soal ASTRO tu yang menjadi isu, tapi sikap. Ini semua bab sikap. Kenapa Mr L menjadi buruk siku.


Macam kes kawan saya ni, apa salahnya tinggalkan saja ASTRO tu. Ini tidak, semua dia ambil. Memang tak sesuai betul dengan jiwa raga saya -- kedekut dan berkira. Isy! Memang saya tak reti nak berkawan dengan orang macam ni.


"Habis tu, kenapa kau tak masukkan saja yang baru?"
"Aku sibuk sangat Jun. Tak sempat nak fikir tu semua. Lepas bercerai dok menangis siang malam. Kerja nak buat juga. Kalau tidak, siapa nak bayar bil. Tak sempat dah nak fikir bab bab lain."


Hem betul juga, wanita tegar macam A ni ramai. Kebanyakan yang datang belajar dekorasi saya adalah kelompok wanita tegar, yang sudah melalui pelbagai cabaran, yang kadang-kadang tu tak tercapai dek akal. Tapi itulah ruang lingkup kehidupan mereka. Kesusahan yang perlu mereka lalui kadang-kadang tak pernah berkesudahan. Memang saya tabik tinggi, penuh hormat wanita seperti ini. Berdikari itu tidak lagi menjadi kudis kerana bersuami atau tidak, pompuan perlu ligat. Bergaul dengan mereka, selalu membuatkan saya berasa sangat kecil dan kerdil. Jangan nak dengar cerita pasal Gucci, Prada, Hermes..... kerana semua benda ini tak ada makna kepada mereka.


"Kak Jun! Saya ibu tunggal. Boleh tak saya bawa anak ke kelas?"
"Kak Jun, saya terpaksa tunda kelas. Ayah meninggal."
"Kak Jun, suami saya meninggal."

Hem.... itu semua dah menjadi intipati biasa dalam kotak sms saya. Kadang-kadang kek sudah siap masak, cuma tinggal peserta sampai sahaja. Tapi kalau tiba-tiba mereka minta tunda kerana alasan kecemasan begini, saya redha saja. Kesudahannya, saya sapu krim, hias serba sikit dan sedekah kek tu kat kawan-kawan yang sudi.


"....sebab tu aku tak kuasa nak berFB Jun. Banyak sangat yang nak bercerita pasal anak depa saja. Oh! anak aku pandai...anak aku baik...anak aku comel! Semua nak show off. Tak fikir perasaan aku ni. Dah menjanda berapa lama? Anak aku pun tak sepandai mana. Okay okay saja. Tapi, pompuan yang taksub dengan dunia sempurna depa tu selalu jadi tak sensitif dengan kawan sendiri. Jadi, sebab tu aku lebih suka duduk memerap kat rumah. Tak mahu sakit hati sendiri."


Hem, ini pun memang satu cerita yang patut kita fikir-fikirkan juga. Ya, memang ada wanita yang bertuah. Hidup bagai di syurga loka. Suami ok. Baik. Kaya pula. Anak semua pandai. Si isteri tak payah kerja. Nak apa...tinggal minta saja. Dan, mungkin kerana tidak pernah diduga dengan bala yang benar-benar merobek tangkai hati, mereka menjadi lupa diri. Kalau bercerita tentang anak dan suami, macam tak cukup hari. Status dalam Facebook tu penuh dengan keterujaan pada kehebatan ahli keluarganya saja.


"Sebab tu kita terminate jer Facebook kita kak. Banyak sangat orang nak skodeng hal dalam kain kita. Apa kita buat semua depa nak tau. Lepas tu boleh tag kita gambar family depa yang meriah tu. Macam filem Hindustan. Masak itu ini. Semua nak tag. Eh! Depa semua tau tak yang kita ni tak ada hubby? Pleaselah!"


Betul. Saya sangat setuju dengan si B. Kadang-kadang Facebook ni sangat menduga hati. Kita nak berFB untuk merapatkan silaturahim. Kalau kita rasa fungsinya dah lari.... baik kita tarik diri. Kalau tanya saya, jawapannya subjektif. Suka dan tak suka FB. Dan kerana itu, akaun FB ada dua -- satu peribadi dan satu untuk sosial networking. Kalau yang peribadi tu, saya tapis teliti.


Tapi sejak akhir-akhir ni, saya rasa keterujaan terhadap FB pun dah berkurangan. Jadi, mungkin saya pun akan mengikut jejak langkah B, mahu kembali hidup seperti dulu....penuh misteri. Tanpa FB, kita kembali bebas tanpa ada yang 'memerhati'? Ya mungkin juga begitu.


Tapi, apapun, hari ini saya mahu menikmati Jumaat yang indah ini. Mahu bertemu Puan A. Kasihan dia, ASTRO pun tak ada. Jadi, terlanjur saya tak begitu sibuk, bolehlah jenguk dia sekejap. Dan kepada pembaca semua, selamat menikmati hujung minggu yang panjang.

Dan ini khas untuk Linda di PAB



"Lindaku sayang...terima kasih kerana sabar dengan kerenah kak Jun. Janji nak buat Red Velvet hari Ahad. Tapi dek kerana penat, saya abaikan saja. Sampai mengingau-ngigau si Linda. Siap tag dekat Wall FB. Dan, Isnin yang sibuk, ku bakar sebiji, ku hias dengan krim cheese ini dan....nah! dalam tempuh sejam, Linda sudah muncul depan pintu. Sampai ofis....semua dah menunggu. Katanya, habis licin......Kak JUN."

Buat Amlizan....sabar ya dek. Nanti kita jumpa dan ku hadiahkan beg LV RV itu....

Love you all! Muahhhh!





Sunday, December 19, 2010

Selamat pengantin Baru, Bahagiakah hingga ke Anak Cucu?

Salam semua,

Disember bulan bahagia....bulan penyatuan cinta. Disember juga bulan airmata. Tapi bukannya airmata duka...tapi airmata gembira. Maklumlah bunga di taman bonda sudah disunting orang. Hati emak ayah mana yang tak girang. Betul tak?


Sebenarnya, kalau bercakap mengenai anak dara dipinang orang ni, rasa-rasanya zaman sekarang tak seteruk 20 atau 25 tahun lalu, di mana emak ayah (terutama si emak) sangat khuatir kalau anak dara mereka yang sudah cecah 25, tapi masih menunjukkan tanda-tanda sudah berpunya. Tambahan pula kalau anak dara jiran tetangga yang lebih kurang sebaya semuanya sudah berdua...atau bertiga. Lagilah si emak rasa libang-libu saja.


Maklum sajalah, siapa sanggup simpan anak dara tua. Kalau dahulu dipanggil andartu, tapi sekarang ni digelar andalusia. Maknanya -- anak dara lanjut usia. Tak tau apa yang dijerankan sangat dengan gelaran tu. Kalau ya pun andalusia, tapi jika hidup anak kita tu lebih aman damai, bahagia saja, biarkanlah saja. Tapi itulah hakikatnya masyarakat masa itu yang takut sangat kalau ada anak dara tua dalam rumah depa dan sebenarnya ketakutan itu pun berpunca dari tekanan masyarakat juga.


Sikap 'prihatin' yang sangat melampau menyebabkan jiran tetangga ni menjadi tidak segan silu hendak tahu semua hal yang berlaku dalam rumah kita....sampai hal dalam kain pun nak diselidiki juga. Susahnya hidup di zaman itu, hanya orang yang pernah melaluinya saja yang tahu. Jadi, memang lumrah sangat kalau anak dara kahwin sebaik sahaja selepas tingkatan lima. Semasa saya bersekolah di Dong (Raub), ada juga kawan sekelas yang bertunang seawal usia 14, dan ketika kami sibuk nak exam SRP, depa senyum-senyum saja sebab dah nak naik pelamin. Masih saya ingat lagi betapa comelnya kawan saya itu, sejelita Lisa Surihani. Kalau masuk U, memang cerah masa depan....boleh dinobatkan sebagai ratu kampus tu. Tapi ditakdirkan dia (dan beberapa lagi yang lain itu) tidak berpeluang menikmati kehidupan remaja dan betapa indah dan seronoknya dunia berkerjaya.


Tapi, bahang tempias ocehan orang ini juga pernah terkena kat saya juga. Selepas tamat belajar di UiTM, emak bising sangat suruh saya kahwin cepat. Eh! Malas saya nak ingat episod ni. Tapi memang saya tak akan biarkan kejadian ini berulang kat anak-anak saya. Dan bercakap pasal ocehan orang ni, memang kawan-kawan saya yang belum pun berumahtangga selalu mengeluh mengenai soalan cepumas jiran tetangga dan saudara mara.


"Kau bila lagi Liah? Si anu tu dah tiga anaknya...."


Memang letih nak menepis soalan-soalan ini, sampaikan ada di antara kawan-kawan saya ni yang terbang ke London, Hong Kong dan Bali setiap kali menjelang Aidilfitri. Malas nak berkumpul dengan semua saudara mara sebab confirm mereka menjadi bahan usikan dan juga perlian.


Dah memang begitu fitrah dan suasana kelompok orang kita, sama ada kita kena telan saja atau bawa diri ikut kata hati. Pertanyaan mengenai hal dalam kain kita memang tak pernah berkesudahan. Kalau dah kahwin, tapi selepas setahun masih lagi belum mengandung, mulalah ada mulut yang muncung. Kalau bunting pelamin pun, dikatakan tak pandai nak 'agak-agak'. Kalau beranak kerap - setahun seorang - pun menjadi bahan sembang. Hish, serba tak kena tau.



Tapi, berbalik cerita pasal bertunang ni....kalau zaman 80-an dan 90-an, soal pangkat dan darjat sering menjadi pertanyaan dan perbandingan. Siapa nak mengaku kalau setakat bertunang dengan peon, kerani atau operator kilang saja. Tapi, kalau dapat lawyer, doctor atau engineer... pasti emak emak senyum sampai ke telinga. Hem, memang serba salah dibuatnya. Nak kahwin susah, tak kahwin pun susah.


Dan, mungkin kerana hal ini juga, ada yang sanggup berkahwin senyap-senyap sahaja semasa sambung belajar di luar negara. Katanya itu saja penyelesaian yang senang. Maklumlah masa tu tengah belajar, emak ayah sibuk suruh balik kampung buat kenduri besar-besaran. Kesudahannya, daripada buat dosa, baik nikah saja. Bukan main bising lagi saudara mara yang mendengar cerita 'kahwin koboi' kawan saya itu. "Hah! Eloklah tu, kawin buat cincai cincai, esok lusa kalau bergaduh, senang senang saja laki cerai sebab depa tak rasa susahnya nak dapatkan bini." (maaf ya, bahasa kasar sikit..., saya sekadar mengajuk cakap orang saja).

Tapi hakikatnya, ada juga couple yang buat kenduri kahwin bagai nak rak! Habis duit mak ayah berpuluh ribu, tapi kesudahannya bercerai juga. Jadi, 'tepuk dada tanya selera'. Nak buat kenduri besarkah, kecilkah, konsep Baratkah, Timurkah, Arabian Night...Bollywood...suka hati kita. Kalau tak mau buat kenduri langsung pun tak apa sebab kalau difikir-fikirkan, belanja kahwin sekarang ni sangat mahal. Kalau yang simple pun boleh mencecah hampir RM50 ribu. Kalau duit itu diberikan kepada pengantin untuk deposit beli rumah pun bagus juga. Tapi cadangan ini cuma relevan untuk pasangan yang tidak mampu. Kalau yang mampu, tak kisahlah. Buatlah sebesar mana sekalipun, asalkan senang hati. Tapi, saya sering bahas soal hantaran yang biasanya sampai 10 - 15 dulang. Kenapa sampai sebanyak itu kerana belanja untuk menghias dulang itu pun menelan belanja beribu-ribu juga tau.


Bak kata seorang hamba Allah ni, "...nak buat apa bagi hantaran sampai 20 dulang, tapi isinya cuma tuala, sapu tangan, kain ela, songkok! Itu saja? Amatlah membazirl" Barang-barang tu semua kita boleh beli anytime. "Lebih baik cuma bawa tiga, empat dulang saja, tapi berbaloi. Satu dulang untuk kunci rumah, satu dulang lagi untuk kunci kereta dan satu dulang lagi set barang kemas. Dan make sure rantai dan gelang tu bukannya yang halus macam janggut udang!"


:-))


Betul atau tidak pendapat yang satu ni? Kalau tanya saya, memang saya sokong. Kalau memang kita tahu bakal suami kita tu mampu, lebih baik kita minta semasa cinta si dia masih lagi menyala-nyala. Maklumlah, sebelum berkahwin, pompuan memang sangat berharga di mata bakal suami kita tu. Tapi, kalau dah lunyai, anak pun dah ramai, faham faham sajalah ya. Jangankan nak minta dibelikan barang kemas. Silap-silap haribulan, rantai yang kita beli sendiri itu pun cik Suami dengan tak malu mahu sapu. Sedihkan? Tapi itulah hakikat kehidupan bagi sebilangan besar isteri, terutama bagi golongan pertengahan. Kita kena kerja kerana ini satu jaminan masa depan kerana bersuami bukan lagi penentu mutlak kebahagiaan. Sama ada suami berkerja, suami kaya, suami hensem atau jongos.... nasib kita belum tentu lagi berada di takah mana. Jadi maknanya, perkahwinan di zaman ini tidak lagi menjanjikan apa-apa untuk yang bergelar 'isteri'?


Itu saya tak berani jawab. Tapi kalau tanya saya, jawapannya mudah saja. Awal-awal lagi saya sudah beritahu encik Suami bahawa bab beli rumah, bayar kereta, sara keluarga, duit sekolah anak-anak.... itu semua tanggungjawab dia. Bil api air pun dia yang tanggung juga. Dan setiap kali mengandung, saya mesti ajak dia sekali untuk monthly check-up dan belanja bersalin semua encik Suami sudah asingkan awal-awal lagi. Saya belajar dari kejadian di sekeliling saya -- cerita kawan, rakan, handai dan taulan. Bukannya tak sayang suami, tapi sebab sayanglah saya mahu aturannya begitu. Pahala bukan untuk kita, untuk dia juga.


Kalau tak percaya, cuba buka kitab, dan cari bab tanggungjawab suami. Kalau diikutkan hukum, kita ni sebagai isteri hanya perlu duduk bersenang-lenang sahaja. Tugas kita hanya melayan dia sahaja tau. Bukan setakat makan pakai sahaja si suami kena buat, tapi bab mengemas dan memasak pun...ikut hukumnya...memang suami yang kena bereskan. Hatta kalau kita menyusukan anak, encik Suami perlu bayar kita tau. Itu bukan kata saya, tapi kata hukum. Carilah jawapannya....dan baru kita berasa sebenarnya betapa beruntung menjadi wanita ini....yang tahu hak sebagai seorang isteri.


Dan, kerana itu juga, saya cuma akan contribute bab yang saya suka. Misalnya, beli perabot, hias rumah, renovate itu dan ini dan entertainment sekeluarga. Maknanya, encik Suami tetap bawa kami bercuti dan jalan-jalan, tapi kalau saya mahu lebih lagi....maka saya akan sponsor dengan senang hati. Walaupun, dia ada bagi sekeping kad, saya boleh tenyeh saja tapi belum pernah saya berhabis untuk sebuah Gucci atau LV. Masih amanah lagi. Masih ada rasa kasihan dan simpati.


Tapi, ada perempuan yang kalau dah marah sangat kerana si suami bermain 'kayu tiga', lmereka akan melepaskan geram dengan menenyeh kad complementary emas itu sepuas-puas hati Ha... bab ini saya tak berani nak komen, tapi mungkin agaknya akan bertindak lebih kurang begitu juga kalau ditimpa bala serupa.

Apapun, berbalik hal kad kredit tadi, semasa bekerja makan gaji dahulu, memang saya berani apply kad kredit sendiri. Tapi apabila saya mula berkira-kira hendak berhenti kerja, maka banyak aktiviti yang saya 'bekukan' dan antaranya yang paling susah tapi terpaksa juga saya pejam mata ialah bab shopping! Kalau dahulu beli baju dan kasut ikut sedap mata saja, tapi selepas bercadang melepaskan jawatan sebelum menjelang usia 40, maka saya mula mengatur strategi sebagai persediaan berhenti awal. Dan, saya rasa kalau ada di antara pembaca yang bercadang mahu bersara, jangan tergesa-gesa. Selesaikan dahulu semua hutang, kemudian barulah kita boleh tidur lena. Bekerja sendiri pada usia begini memang satu rahmat bagi saya. Tak perlu lagi meladeni kerenah orang...keluar pagi balik malam. Sebaliknya, kalau nak mengamuk pun, dalam hati sendiri. Berperang dengan perasaan sendiri. Itupun kalau nak datang bulan. Kalau tidak....ok saja.



Dan berbalik bab bertunang, kahwin dan kepentingan kita sebagai isteri ni, memang saya selalu bersikap terbuka dengan Alia. Saya selalu berpesan agar dia buka mata luas-luas, fikir dengan waras. Jangan sesekali memanjakan suami (keterlaluan) kerana memang fitrah lelaki ni (bagi kebanyakan suami), cepat lupa tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga. Tambahan pula kalau si isteri itu bekerja. Depa selalu buat-buat lupa, sampaikan bab makan minum anak si isteri yang tanggung semua. Ada yang pandai-pandai naik teksi sendiri sebab air ketuban sudah pecah. Suami mana? Hem...itulah hakikat sebenar sebuah rumahtangga. Memang sedih kalau kita hendak ambil kira semua.


Tolonglah wahai wanita, kasihani diri sendiri kerana tidak ada seorang isteri pun yang tidak sayang dan kasihan kat suami. Tapi, jangan sampai membebankan diri sendiri. Ada yang keterlaluan mencintai suami sehingga sanggup melakukan pengorbanan di luar batas kewarasan. Masakan tidak! Dah sah sah si suami tu memadukannya dan mengabaikannya. Duit gaji habis untuk isteri mudanya sahja. Tapi si sietri malang ini tetap sanggup meminjamkan suaminya duit apabila dia putus belanja.


"...nak berbini dua, tapi beli susu anak pun mintak duit aku juga Jun."
"Habis tu kau bagi ke tidak?"
"Bagilah...!"
"Habis tu, kalau dan menyampah...dah meluat...kenapa bagi?" saya tempelak.
"Kesian pulak!"
"Hem, kalau dah macam itu ceritanya, buat apa cerita kat aku? Hilang pahala kebajikan...dapat dosa mengumpat."



Sumpah! Dekat tiga bulan juga kawan ku ini tak mahu menyapa saya. Kalau tidak saya yang menjadi 'tong sampah' apabila dia nak meluahkan geram dan sakit hati kat si suami. Marahlah tu sebab saya sound direct kat dia. Tapi saya tak ambil hati pun. Kalau dah rela didera suami sendiri, diam sajalah. At least dapat pahala. Tapi memang saya tak suka cerita ulang tayang dan yang tak pernah berkesudahan. Kita beri pendapat, disepikan saja, tak larat nak dengar hal yang sama sahaja. Kalau sebulan dua tak apa. Ini makan tahun. Saya cuma sediakan tiga 'talian hayat' saja. Selepas itu, kayuhlah sampan sendiri. Tambahan pula, silap-silap hari bulan, tersalah cakap, kita pula yang akan dimusuhi. Jadi, lebih baik nasihat anak sendiri.


Dan, antara kata-kata hikmat saya untuk Alia mudah saja -- kalau nak kahwin tak apa. Sekarang pun boleh, nak tunggu tua renta pun tak apa. Kalau tak nak kahwin pun mama terima. juga. Tapi kalau nak kawin, jangan bawak balik kafir atau yang tak tau ugama. "Jangan ingat kalau dah lepas interview dengan pejabat ugama tu kira dah settle." Oh! Tidak. "Mama sendiri akan tanya bab sembahyang bab mengaji. Kalau tak tahu, minta maaf." Tapi, itu ketetapan saya sahaja, sebab cerita takdir kita tak tahu.


Tapi kalau tanya saya, memang bab ugama mesti kita utama sebab untung nasib anak dara kita tu sebenarnya terletak pada budi bicara kita ini -- si ibu! Emak perlu bersikap terbuka dengan anak perempuan dan emak juga perlu mengajar anak lelaki hakikat dan makna sebuah tanggungjawab sebagai bapa dan suami.


Kalau kita sering berangan-angan mahu anak dara kita ini mendapat suami yang baik, yang bertanggungjawab. Maka begitu jugalah impian emak emak lain juga. Mereka juga mengidamkan menantu yang baik untuk anak perempuan mereka. Janganlah kita menjadi emak mentua zaman dahulu yang suka pilih bulu. Kalau menantu lelaki mereka tatang macam raja sebab mereka sedar untung nasib anak perempuan mereka itu di tangan suami. Tapi kalau menantu perempuan? Ikut untung nasib sendirilah jawabnya.


Dan lebih menjelikkan, ada emak mentua yang lebih sadis lagi, yang menyokong penuh apabila anak lelaki mereka mahu berpoligami walaupun mereka tahu betapa perangai anak jantan mereka itu macam 'kacang hantu'. Sedikit pun mereka tak ambil kira perasaan si menantu perempuan. Hah! Cuba kalau anak perempuan sendiri yang nak kena cerai atau dimadukan, bukan main mengelupur si emak itu. Hem, begitulah ceritanya kisah rumah tangga dan nasib perempuan!


Akhir kalam, saya sekadar mengusik-usik manja sahaja. kalau ada yang terasa, minta maaf ya. Dan di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru' kepada:


AZRA & HAKIM


captions: Azra memilih design kek yang simple sahaja...serba putih dengan hiasan bunga Magnolia. Semua bunga ini saya buat menggunakan gumpaste. Thanks Azra! Dan semoga bahagia ke anak cucu.



Ini pula kek yang ditempah oleh Huda untuk sepupunya, Nur Shahida dan Khairul Syairazi. Selamat pengatin baru diucapkan buat pasangan ini.




Dan, cupcakekes ini pula ditempah oleh Zurien untuk anak saudaranya, Dijah dan Famy. Selamat Pengantin Baru....



Sunday, December 12, 2010

Seru Sudah Datang

Salam Semua,

Ya! Seru sudah datang dan tiba-tiba saja saya bersemangat nak update blog saya ini. Itu pun setelah saya terbaca satu tajuk di akhbar. Ok, sebenarnya saya memang jarang beli surat khabar yang satu ini. Tapi kalau hari Ahad, saya beli juga, kalau dah mati kutu tak tau nak buat apa. Tapi hal ini sebenarnya jarang berlaku, sebab akak tak suka beli surat khabar. Leceh nak mengemasnya. Tak larat nak hantar kat pusat kitar semula tu. Apapun, nak dijadikan cerita, kali ini saya belilah surat khabar dan kerana itu juga saya berpeluang membaca satu berita, yang agak menggelikan hati.

Nak tahu kenapa? Hem, kerana beritanya mengenai seorang lelaki Melayu yang begitu bangga menceritakan kejayaannya mengahwini seorang wanita asing, yang datangnya dari sebuah benua yang agak jauh dari negara kita.

Sebenarnya tak ada apa yang hendak dihairankan dengan berita perkahwinan merentasi sempadan ni, sebab ada juga orang mendakwa sudah berjaya mengahwini puteri bunian. betul tak? Tapi, yang membuatkan saya geli hati sangat (dan juga geram), kerana cik Abang ini sudah menyenaraikan beberapa alasan yang mendorong dia berkahwin dengan gadis dari benua itu.

Antara lain, cik Abang ni kata, belanja kahwin dengan wanita dari benua itu lebih murah berbanding dengan kita ni -- gadis-gadis Melayu. Alamak, bab belanja kahwin ni, akak memang sensitif sikit. Tak suka dibuat perbandingan. Wajarkah soal mahal atau murah itu dijadikan satu isu apabila kita hendak mencari pasangan hidup? Apa? Ingat nak beli baju bundle ke?



Tak baik kan? Kalau modified kereta beribu-ribu ringgit cik Abang sanggup, pasang ekzos kereta mengalahkan serombong kapal pun cik Abang tak kedekut. Takkan nak bawak hantaran serba satu atau serba berdiri untuk isteri tercinta, cik Abang dah merungut. Dan kerana soal ringgit dan sen ini, cik Abang sanggup cari kembang dari seberang. Emmm alahai....!


Dan tak cukup soal belanja kahwin, cik Abang ini juga beralasan, kononnya kalau kahwin dengan gadis dari benua itu, semua dijamin masih suci bersih, belum bersentuh. Hem, alasan ini pun membuatkan saya mengeluh. Nak tau kenapa?


"....sebab lelaki selalu ungkit soal `itu'. Kalau nak cari isteri mesti nak yang suci bersih, belum bersentuh. Tapi, depa sendiri tidak pandai menjaga 'kesucian' sebagai suami. Walaupun dah kahwin dengan isteri paling cun dan paling setia pun, mereka sering 'melatah dan sanggup berskandal. Asalkan ada ruang dan peluang, maka mereka tergamak balun sampai tak ingat anak isteri. Kenapa begitu? Hanya yang empunya diri sahaja dapat memberikan jawapan yang serasi dengan selera dan naluri mereka sendiri.


Tapi, apapun, dalam banyak-banyak alasan yang diberikan, ayat kat perenggan terakhir tu yang paling membuatkan saya rasa nak tergelak besar. Infact dah gelak pun, sampai menitik airmata... sebab cik Abang ni kata, beruntung kahwin dengan si gadis dari benua itu kerana mereka pandai menari. Bolehlah hibur suami.


:-O
Alamak, part ni mula buat akak rasa rendah diri sangat sebab akak ni tak pandai menari, jadi maknanya selama 20 tahun kami berkahwin, mesti cik Suami akak tu tak pernah rasa terhibur. Kan? Dan, pasai tu jugaklah agaknya, anak kami cuma empat orang saja. Kalaulah akak ni pandai menari... especially tarian gelek... wajib anak kami lebih ramai lagi. Kan? Atau silap-silap pulun, akak berpantang setiap setahun! Mua ha ha ha! Goli hati den.


Tapi, saya nak bantah sikit... soal pandai menari ni. Siapa kata isteri Melayu tak pandai menari? Cuba tenguk rancangan Mari Menari tu. Lihatlah betapa sensasi para isteri menari bersama-sama encik Suami mereka dengan pelbagai fesyen dan dan gaya. Para isteri ini juga tak kisah dipusang-pusing suami masing-masing. -- dijulang, dikangkang, di seret, dibelit..... demi membukti 'kami adalah isteri yang pandai menari'. Tak best lagikah itu? Tambahan pula juara akan dianugerahi kondominium mewah! Maknanya, besar sungguh jasa si isteri ini kepada encik Suami mereka itu.



Jadi, kata orang, 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar'. Apapun, pada penghujung berita itu, turut diselitkan juga mengenai keberuntungan mengahwini gadis dari benua yang sangat jauh itu. Nak tahu apa dia? Ok, katanya, 'biasanya si isteri akan menjadi sangat patuh dan tidak banyak kerenah sebab mereka sedar diri, keluarga mereka jauh. Jadi, sebagai 'anak dagang di rantau orang', kenalah tahu menjaga untung nasib sendiri.'


Statement ni memang terasa macam jadam kat tekak akak. Pahit! Apakah maknanya itu? Ngeri juga mengingatkan maksud yang tersirat sebab masih ramai isteri yang ada emak bapak dan keluarga di depan mata, tapi tetap menjadi mangsa penganiayaan pasangan sendiri. Semoga, nasib para isteri berstatus 'anak dagang' ini terbela. Dan semoga mereka juga tahu alamat ke mahkamah syariah, agar mudah mengadu nasib jika tiba-tiba hujan dan Tsunami melanda mahligai mereka.


Akhir kalam, akak (yang memang sah-sah keturunan Melayu tulen ni) nak share sebuah resepi hidangan enak yang sempat disediakan untuk encik suami akak. Alah, masak biasa-biasa aje >>> Briyani Pakistan. Memang biasanya, kalau tengah sibuk, akak masak yang simple-simple macam ni jer. Tapi kalau banyak masa senggang, mesti penuh meja. Maklumlah, kita ni tak pandai menari, jadi kenalah cari jalan lain untuk menambat hati suami.


Apapun, selamat malam dan selamat menikmati hidup yang indah kepada semua pengantin baru. Kepada para Suami, encik encik dan semua Lelaki - jangan ambil hati dengan garapan saya kali ini. Sekadar berkongsi rasa saja.

Nite-nite...dan wasalam.

Briyani Sedap Rempah Pakistan

Bahan-bahan:

3 cawan beras Basmathi (cuci bersih dan rendam 30 minit)

500 - 750 g daging lembu/kambing/ayam
5 ulas bawang
3 ulas bawang putih
4 biji tomato (belah empat)
4 biji kentang (dadu sederhana)
1 inci halia
1/2 cawan tairu/yogurt
1 cili hijau/merah (belah dua atau hiris)
Sedikit daun Ketumbar segar
Sedikit daun pudina
1 cawan minyak masak
1 paket rempah Briyani Pakistan (atau rempah Briyani biasa)


Cara Memasaknya

1. Panaskan minyak. Tumis bawang dan bawang putih sampai wangi.
2. Masukkan ayam/daging/lembu.
3. Apabila dah separuh masak masukkan kentang dan tomato.

4. Selepas lebih kurang 10 minit, masukkan rempah Briyani, yogurt dan cili. Kacau sebati dan tutup kuali/periuk.


5. Renehkan sampai kuah tinggal dalam dua cawan saja. Kalau tak cukup, tambah air. Mesti dapat dua cawan.
6. Kemudian tuang dalam peiuk nasi. Masak sekejap.
7. Sementara itu, tanak nasi di atas dapur biasa dan kacau berulang kali sampai nasi separuh masak. Apabila air hampair kering, angkat nasi ini dan tuang ke dalam periuk nasi berisi ayam Briyani tadi.
8. Jangan kacau lagi. Masak sampai benar-benar tanak. Apabila nasi sudah masak, baru kacau sebati nasi ini dengan gulai Briyani tadi. Tabur daun ketumbar dan daun pudina.
9. Kalau suka, boleh juga tabur gajus dan kismis.
10. Hidangkan untuk keluarga tercinta.

Friday, December 10, 2010

Rahmat Sebuah Hari Yang Diberkati

Salam semua, .

Hari ini saya berasa sangat lapang dada. Walaupun ada kek yang perlu dirias, tapi tidak pula saya rasa terkejar-kejar. Hem, motivasi untuk diri sendiri berkesan nampaknya -- 'bangun pagi mesti senyum. Smiling is contagious'.


True enough. Walaupun tadi susah nak dapat parking di Bake With Yen.... sampai kena tawaf tiga kali, tapi kami tiga beranak tetap sabar. Tetap senyum. Selepas tu, sekali lagi kami kena bersabar menunggu parking di Restoran Ubi Kayu. Akhirnya dapat juga. Misi sempurna. Barang dapat dibeli dan perut pun kenyang. Sesuai sungguh kalau mendendangkan gurindam ini...


"Gendang-gendut tali kecapi,
kenyang perut suka hati."


...dan bersama-sama hari yang penuh berkat ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Chef Asma atas kejayaannya mendapat keputusan cemerlang untuk pengajian yang diikutinya di UiTM. Baru dua hari lepas kami berbual di telefon dan Chef Asma tersangat sedih dengan sebuah onar, tapi hari ini dia sudah boleh tersenyum lebar. Rahmat daripada Allah Taala tidak pernah putus untuk orang yang sabar. Batul tak Chef...?


Bak kata bijak pandai, 'kita takkan kenyang kerana pujian orang dan tak akan mati kerana hinaan orang'. Dan semalam encik Suami menegur, kenapa panjang sangat blog post saya kali ini (semalam). Dia memang pembaca tegar blog saya. Hem, kalau semua nak tahu, sebahagian dari intipati cerita saya semalam itu saya dedikasi untuk Chef Asma, bagi mengurangkan bekam di jiwanya. Kalau nak tahu, pergilah ke blog Chef Asma.


Jadi, akhir kalam, saya sudahi dengan wasalam. Saya tak bercadang nak bercerita panjang hari ini, melainkan untuk berkongsi cerita mengenai beberapa lagi bakal usahawan cemerlang dalam dunia kek yang sangat ku cintai ini.



caption: Salam untuk Norry...pakar Optometris yang suka mengadun fondant dan coklat. Cute jer young mummy ni, tapi cekap baut kerja. Maklumlah, pakar mata ler katakan, memang teliti kerjanya. Norry menghadiri kelas reka rias figurine. Kalau nak kenal lebih lanjut sila ke laman blog, Norry



captions: Ini pula Haslinawati yang menghadiri kelas dekorasi kek stacked. Lama juga Haslinawati menempah tarikh, tapi kerana sibuk dengan pekerjaannya, hanya pada Rabu lalu saja kami dapat bertemu.




Ini Bahiah, yang sudah beberapa kali menghadiri kelas saya dan kali ini mencuba bakat merias kek Princess pula. Tak lama lagi, akan berkembanglah business cake & cookies ini ke Kota Bharu sebab Bahiah memang berasal dari keluarga yang suka berniaga.



Esok kami akan bertemu lagi untuk kelas gumpaste pula.


Wassalam

Thursday, December 9, 2010

Sekadar Ocehan (...bersama Sepolos Penghargaan)

Salam semua

Dah dekat 3 jam saya mengadap blog ni, tapi masih belum dapat menyudahkan satu cerita pun sebab banyak interval. Sekejap ada mesej, sekjap lagi ada email baru masuk. Dan baru duduk 10 minit, gatal tangan nak masuk Farmville pulak...terlupa nak harvest ler tu :-))



Apapun, pagi ni saya rasa fresh sebab semalam saya tidur cepat. Tak larat nak berjaga sampai jam 12 macam selalu kerana pada sebelah siangnya saya ada kelas dekorasi cake dengan Haslinawati. Dah lama kami berjanji-janjian dan semalam baru hajatnya tertunai. Dan pagi tadi Haslinawati sms saya, katanya sedap kek yang dilapisi dengan coconut pecan tu. Memanglah sedap... macam kek Red Velvet juga...mewah dengan segala perisa.



Bagi saya, kek yang cantik mesti sedap. Walaupun sekadar buttercake, tapi kalau kita pakai Golden Churn atau Tatura, atau paling tidak Anchor.... memang rasanya sedap. Dan inilah kek yang paling tahan lasak untuk dekorasi kek novelty. Tak perlu masuk peti sejuk pun boleh tahan tiga empat hari. Dan jika dibalut dengan fondant, lebih tahan lama sebab benda asing tak boleh mudah masuk dan merosakkan isi dalamnya. Jadi kita tak perlulah pakai bahan pengawet.

Apapun, bercakap pasal menggubah kek fondant ni, saya pun mulalah bernostalgia, kembali mengenang ke tahun silam, way back in 2008. Masa itu saya ni baru saja terpana dengan hobi baru ini. Macam orang gila talak saja layaknya. Why I said like this? "....kerana memang ropa orang gila talak begitu. Kan?" Ini semua dek kerana bahang asmara yang kita sangka sudah lama terpadam, rupa-rupanya masih membara... dan sebaik sahaja talak dijatuhkan, api cinta kembali menyala.... menggila, membakar seluruh jantung dan hati. Oh! rupa-rupanya lebih dahsyat jika dibandingkan dengan panahan cinta pertama (yang selalu kita gelar 'cinta monyet').


Maklumlah, namanya lagi cinta monyet, jadi biasanya cinta ini dikaitkan dengan budak-budak remaja yang baru kali pertama dipanah asmara. Hati rasa berbunga, penuh sayang kat si dia (yang mungkin dulu kawan sekelas semasa di sekolah tadika). Tapi apabila sudah dipanah asmara, lelaki itulah yang kita anggap paling handsome di dunia. Begitu juga si jejaka, yang mungkin baru setahun berkhatan...., tapi bara cinta di jiwa usah dicerita. Mercik saja setiap kali menatap wajah bunga cintanya. Walaupun apabila si dia tersengih, gigi berperisai besi (pendakap gigi), tapi kau tetap ayu di mata ku, wahai dinda! Kasih sayang yang mereka bayangkan kala itu sangat polos. Dapat pegang tangan pun sudah teralir renjatan elektrik, yang menjalar terus ke jantung dan hati, lalu tersimbah ke muka. Itu yang jadi merah padam dan tersipu-sipu malu tu.


Tapi kalau bahang api cinta gila talak ni lain, di mulut kata benci, tapi di hati berapi-api. Hanya perceraian saja yang boleh menyedarkan si bekas suami yag sebenarnya isteri yang sudah tembun dan perut berlapis tiga itu sebenarnya dia masih cintai. Kalau masih sebumbung seranjang dahulu, dia nampak isteri tu macam batang balak saja, tapi apabila sudah sah jatuh talak, gambaran terhadap si bekas isteri sudah berubah. Kadang-kadang dia kata Miss Universe tak secantik bekas isterinya itu.


Di kepala mula terbayang betapa gebu manjanya si isteri semasa mula dikahwini dahulu. Dan perasaan ini kembali menghantui jiwa raganya. Jadi, kesudahannya, bekas isteri itu kembali dicemburui. Mula-mula dipikat cara baik, tapi masih tak mau tunjuk sayang dan cinta. Apabila si bekas isteri tetap dingin beku, macam beruang kutub, maka si bekas suami pun mula panasaran. Lebih hebat lagi dia menggelupur kalau ada pulak lelaki lain yang mula menunjukkan rasa suka dan mahu manja-manja dengan bekas isterinya itu. Apa lagi, semakin menggilalah dia dipanah tusukan talaknya. Panasaran menjadi semakin tidak keruan, penuh emosi dan mungkin bertukar dendam.


Kenapa saya kata begini? Contohnya banyak di depan mata saya. Kawan sendiri didendami bekas suaminya, yang sangat marah apabila lamaran rujukan tidak diterima. Maka dia menggunakan segala wadah yang ada untuk mencela bekas isterinya yang memang cantik manis anggun itu. Tambahan pula tak lama lagi bekas isteri dah nak naik pelamin dengan jejaka bujang yang lebih tampan. Bak kata orang sedap mata dan sedap hati. Maka semakin teruklah panasaran yang ditanggung dek bekas suami. Selepas tawaran Ferrari dan semi-D satu juta tidak berjaya mengebukan kembali cinta bekas isteri, dia sudah menggunakan 'peluru berpandu' dengan kuasa selaju roket pula, semata-mata mahu menghancurkan hubungan si bekas isterinya itu yang terjalin.


Itulah pasal.... abang-abang semua, lain kali talak itu mesti diletakkan di singgahsana yang paling tinggi. Dihormati dan dikunci dengan mangga emas dan kunci itu dibuang ke laut Hitam, agar kamu tidak boleh menceraikan isteri sesuka hati. Bukannya dengan menghukum isteri dengan lafaz keramat itu. Apabila sudah berpisah ranjang, barulah menggelabah macam orang demam tak kebah. Ubatnya cuma rujuk dengan bekas isterimu itu. Tapi apa lagi nak kata kalau tiga talian hayat sudah disalahgunakan? Mahu 'cina buta'? Hai, bolehkah kamu tahan hati? Baru dapat tahu bekas isteri sudah bertunangan, hatimu pun terpanggang. Bolehkah kamu bayangkan hal yang lebih menjeruk perasaan lagi apabila mereka sudah sah menjadi suami isteri?


Lagipun, encik Suami semua, kalian perlu tahu nilai janda sekarang sangat hebat. Kalau dulu mungkin janda tak ada anak saja yang laku, tapi sekarang ni, janda anak lima pun habis....belum sempat selesai edah, tepak sirih sudah bersusun depan pintu. Jadi, fikir sampai hangus (bukan setakat masak-masak saja) sebelum berhasrat memetirkan isterimu dengan talak, bimbang nanti diri sendiri yang rentung. Kesudahannya? Jadilah seperti yang saya katakan tadi, jatuh cinta macam orang lepas ditalak....pandang bucu bumbung pun, hati sudah membara. Kalau dengar suara, sudah cair jantung dan hati. Dan apabila ternampak sahaja kerlingan si janda mu itu, terus terjelepuk macam itik lembik kaki. Begitulah hebatnya panahan asmara bagi orang yang pernah berkongsi ranjang....wahai pembaca semua.


Jadi, dengan mukadimah yang panjang lebar ini, pasti pembaca semua sudah dapat bayangkan juga macam mana ropanya saya tatkala mula jatuh cinta dengan dunia dekorasi kek/cupcakes ini. Kenapa saya kata 'dekorasi' bukan 'baking'?


....kerana definisi untuk kedua-dua item ini adalah sama sekali berbeza. Kalau nak tahu makna yang tepat, cubalah google sendiri dalam Wikipedia, kamus Dewan atau Oxford Dictionary. Secara umumnya, semua tahu, baking tu adalah berkaitan dengan perkara masak-memasak kek, cookies, pastry, pie dan yang sewaktu dengannya, manakala decoration tu pula maknanya tatarias -- ataupun bahasa lebih mudah >>> dekorasi. Ertinya, ini berkaitan dengan kerja hias menghias. Jadi, term ini boleh diaplikasi untuk apa juga bentuk kerja merias sama ada merias rumah, mencantikkan taman, mengindahkan pejabat, merias katil, dekorasi bilik, dekorasi dapur, hatta even mencantikkan keranda dan juga kubur. Asalkan menggunakan term dekorasi, itulah maknanya. Jadi, kalau kita attend kelas decoration, maknanya kita akan diajar teknik dekorasi, bukan membina atau menyiapkan sesuatu benda itu.

Maknanya, kalau kita daftar untuk kelas hiasan dalaman, janganlah pula kecil hati kalau si penyelia itu tidak mengajar kita cara ketuk paku dan pasang tiang seri untuk bina rumah. Ha... itu dah lari topik tu. Jadi, sama juga halnya dengan kelas dekorasi kek atau cupcakes. Melainkan, jika pada penerangan kelas tertera ayat begini:



"...peserta akan diajar cara memecahkan telur, menyukat butter dan gula dan memukul bahan ini sampailah membakar kek..."

Itu maknanya, peserta akan diajar juga teknik baking dan decorating. Tapi kalau hanya 'cakes atau cupcakes decoration' sahaja, tanpa dimasukkan ayat hitam putih yang menyatakan selain dari itu, maknanya hanya teknik dekorasi sahaja yang akan kita pelajari. Jadi, tak usah melatah kalau tiba-tiba di kelas anjuran A, atau B atau C tidak menunjukan cara memasak kek. Dah terang, lagi bersuluhlah namanya itu.


Sama kesnya macam Alia (anak saya), yang terkeliru apabila dia perlu membakar dan menyapu buttercream sendiri untuk dibawa ke kelas dekorasi yang dihadirinya dahulu (di sebuah institusi culinary yang sangat tersohor di Petaling Jaya).


"Kenapa depa tak sediakan kek macam kelas yang mama buat."

Dah memang ketetapan penganjur begitu, peserta kena bawa kek sendiri dari rumah (atau dibeli di kedai), jadi kita ikut saja ketetapan si penganjur. Betul tak? Kalau nak suruh saya explain, memang tak cukup sehari ni. Maklumlah kita ni wartawan pencen. Memang suka bercakap.


Tambahan pula kita ni mana ada final gate keeper (maknaya Editor tau, bukan penjaga tiang gol), jadi suka hati bonda saja.

Apapun, walau pun blog ini kita yang punya, tapi kita kena jaga etika. Mana boleh memalukan orang lain dalam blog kita. Berkias boleh, tapi jangan sampai terang-terangan menyebut nama, si polan dan si polan -- sebab silap haribulan kita boleh disaman. Kalau dah dapat surat cinta dari peguam, perintah dari mahkamah, hah tak cukup makan nanti nak membayarnya tau.


Apapun, berbalik kepada tajuk asal mengenai sejarah bermulanya kecintaan saya dengan dunia dekorasi kek ini, antara orang yang sangat saya terhutang budi ialah Ayu Liana dan Chef Asma. Inilah dua sifu pertama saya, yang berjaya mengurangkan kebah demam saya selepas jatuh cinta kepada dunia decorating cakes/cupcakes.


Siapa sangka, dahulu saya pernah talak bidang ni... tak mau buat kecuali apabila diarahkan oleh Editor majalah. Iya...., betul. Semasa di Jelita dahulu, saya memang tak minat hendak kendali halaman Masakan. Kadang-kadang tu kena juga selaras page ini, especially kalau kita menyelaraskan sesi fotografi fesyen di hotel.


Antara bentuk kerjasama yang kita offer sebagai imbuhan kepada penajaan lokasi itu ialah pemberian halaman Masakan di majalah kita itu secara percuma. Maknanya hotel taja lokasi penggambaran, bilik persalinan dan makanan untuk model dan crew dan kita beri beberapa halaman majalah untuk memaparkan hidangan dan resepi dari hotel tersebut. Kadang-kadang kalau shooting di luar KL, hotel akan taja penginapan sekali gus. Biasanya, selepas selesai kendali shooting fesyen, barulah saya berkerjasama dengan Chef hotel itu pula untuk selaras sesi fotografi juadah enak yang mereka sediakan khas untuk majalah.


Tapi, dek kerana ketika saya tak minat masak, jadi saya hanya pandang sepi saja bahagian ini Sedikit pun saya tak tanya, Chef itu segala tips dan resepi. Rasa-rasanya senarai Chef yang saya kenal, punyalah ramai, tapi setakat 'hai hai & bye bye' saja. Saya lebih `mesra alam' dengan pereka fesyen, mekap artis, model kerana mereka antara nadi utama untuk melengkapkan kerja saya.


Dan apabila ditakdirkan saya jatuh cinta dengan dunia kek ini, maka saya tak kisah pun untuk pecah tabung dan cari Chef dan pakar yang sudi mengajar saya hukum-hakam merias kek. Biarlah keluar belanja sendiri asal berbaloi. Apapun, jenuh juga saya mengendeng Ayu Liana, menelefonnya, minta tarikh untuk menghadiri kelasnya. Rupa-rupanya ketika itu Ayu Liana bercuti di Jakarta. Dan, sebaik sahaja dia kembali ke Tanah Malaya ini, saya antara pelajar pertamanya untuk tahun 2008 (agaknya), dan selepas tarikh 9 Januari 2008, saya tak boleh menalakkan lagi kecintaan saya terhadap hobi baru ini. Dan, untuk kelas dekorasi kek fondant, saya sanggup tunggu dua bulan sebelum mendapat lampu hijau dari Chef Asma kerana kelasnya sentiasa fully booked.


Walaupun saya kenal baik dengan Chef Wan dan Chef Anuar + kak Norzailina, tapi memang dah jadi fitrah saya, tak suka menggunakan friendship untuk mendapatkan diskaun atau benda free. Infact semasa keluar minum petang dengan Chef Anuar pada suatu petang itu, kami banyak bercerita hal kerja dan kenangan di Jelita, tapi saya segan sungguh apabila dia mahu tenguk hasil kerja saya. Dia sifu besar.... dan siapalah saya. Tapi kata Chef Anuar, guna saja tanpa was-was segala resepinya. Malahan, dia turut menawarkan saya 'kerusi' percuma di setiap kelas masakan yang dikendalikannya. Tapi, saya segan dan kata, "tak apa". Lagipun jadual kami selalu tak selari.


Begitu juga dengan Chef Wan yang sms saya dan antara lain begini bunyinya "...habislah aku tak boleh cari makan." Masa tu memang merah padam muka saya. Alamak, Chef Wan dah tahu...malunya. Rupa-rupanya Chef Wan mendapat perkhabaran mengenai kegiatan bawah tanah saya ini daripada Ikram Ismail, bekas jurugambar Jelita, semasa mereka mengendalikan sesi fotografi untuk buku masakan (Chef Wan). Apapun, pada penghujung cerita, Chef Wan kata; "you ambil mana-mana resepi I yang you suka, gunakanlah....kalau itu dapat membantu kerja you". Oh! Saya benar-benar teruja dengan kebaikan kawan-kawanku ini.


Tapi saya tetap mahu cari guru sendiri dan kawan mencadangkan saya menyertai kelas Chef Asma. Walaupun 'terbang' RM180, saya puas hati. Kata orang tua-tua, sebaik-baiknya kita bayar pengeras, agar ilmu yang kita pelajari itu lebih diberkati. Walaupun itu sekadar kiasan, tapi saya dapat rasai kerahmatannya. Dan, saya memang cukup puas hati dengan kebaikan Chef Asma. Dia membuatkan budak baru macam saya ini rasa lebih bersemangat untuk mendalami bidang ini.


Chef Asma tak lokek ilmu, hatta tanyalah dia bab apa pun, walaupun selepas habis kelas, Chef Asma tetap menjawab panggilan saya. Kalau call tengah malam pun dia tetap angkat. handphone. Itulah Chef Asma yang saya kenali, seorang wanita yang sangat dinamik dan begiu berusaha memajukan diri serta membantu wanita (+ orang lain) untuk meningkatkan kemahiran mereka. Cuba bayangkan kalau orang macam Chef Asma, atau Ayu Liana, atau mana-mana pengedali kelas masakan/dekorasi ini tak mahu lagi menganjurkan kelas atau mahu pencen awal, kepada siapakah kita hendak mengadu...meluahkan impian terpendam, melampiaskan hasrat yang tak pernah padam. Betul tak?


Mungkin kerana sekarang kemahiran ini sudah menjadi satu lambakan di pasaran, maka kesediaan orang seperti Chef Asma, Ayu Liana dan banyak lagi nama yang ada di persada dunia kita ini, maka kehadiran mereka tidak kita endahkan...sehinggalah apabila kita kehilangan kemudahan ini, baru kita terasa rugi. Bukankah itu fitrah manusia, yang memang serba tak sempurna. Kalau dahulu (sekitar tahun 80-an), yuran belajar dekorasi kek fondant mencecah hampir RM3,000, dan tempat pun terhad tapi sekarang ni ada semurah RM100 dan ada yang percuma. Kat mana lagi kalau bukan Internet...especially di Youtube.

Chef Asma begitu bersungguh-sungguh mengajar peserta teknik asas merias kek fondant.


captions: Inilah kek fondant saya yang pertama, terhasil juga sebuah impian...dengan bimbingan Chef Asma.


captions: Tenguklah tu, bangga sungguh saya apabila dapat satu kemahiran baru. Sehabis saja kelas dengan Chef Asma, balik rumah saya bakar sebiji lagi kek, dan saya berlatih balut dengan fondant. Berhari-hari saya tatap kek ini dan terasa sangat kagum dengan diri sendiri. Oh! Jun....please!

caption: Ini pula kenangan semasa menghadiri kelas kuih talam dengan Chef Asma. Saya ajak Zarina sekali. Dan, even celebrity popular macam Ina pun sanggup bayar untuk menghadiri kelas Chef Asma. Katanya lebih berkat! Betul tak Chef? :-))

Jadi, kesimpulannya, tepuk dada tanya selera. Sama ada mahu berkat atau bersukat. Tapi, saya tetap meletakkan Chef Asma dan Ayu Liana sebagai dua orang yang sangat saya sanjungi kerana berkat tunjuk ajar mereka kini saya boleh tidur lena. Hajat saya tercapai dan selebihnya itu adalah ketentuan takdir Allah. Hari ini Dia beri kita satu kelebihan, esok lusa, kalau Dia mahu ambil semula, kita redha saja. Jangan gila talak. Jangan terlalak-lalak.

To Chef Asma....Ayu Liana...Chef Syahril...kak Nor....terima kasih kerana sudi menerima saya seadanya dan semoga hidup kita ini sentiasa diberkati dengan kasih sayang dan ingatan baik. Seandainya ada yang mengeji, itu hak mereka, jawablah sendiri di hadapan Allah Taala kelak.

Wasalam



Sunday, December 5, 2010

Gendang Kompang Melagukan Irama Hati



Kali pertama bertemu dengannya, dia masih single. Kulit putih polos. Senyuman pun manis menawan. Tapi, macam tak berseri saja. Kali kedua, kami bertemu kira-kira setahun selepas pertemuan pertama. Itu pun kerana menghadiri perlancaran produk krim pelembap di The Datai, Langkawi. Seronoknya masa tu kerana kami semua dilayan bak ratu. Almaklumlah, hotel bertaraf enam, tujuh bintang ni, dengan harga satu malam pun melebihi RM1000 jadi sesuai sangat kalau lupa diri sekejap. Terasa macam diulik bulan madu pun ya juga.

Memang saya terpana tatkala menatap pemandangan indah melalui tingkap kamar yang terbuka luas. Lautan biru terbentang dengan simbahan warna jingga mentari yang hampir terbenam di kaki langit -- membiaskan cahaya keemasan. Berbalam lembut, menyambut malam.


Dan kala habis acara rasmi, ketika hampir tengah malam, kami berani-berani saja berjalan di pantai. Dan lewat kesempatan bersantai di Datai ini, dia berani *curhat jiwa raganya. Katanya, "memang dah jelak dengar orang puji. Cantik. Manis. Sweet. Tapi semua tu tak ada makna, sebab sampai sekarang saya sunyi".


Katanya, lelaki banyak -- tapi semua sekadar nak hurung dia saja. Tak ada satu pun yang ikhlas. Kalau tak bagi main, mulalah mereka liat dan cari alasan untuk menjauhi. "Saya pun naik takut dengan lelaki sekarang. Laki orang dengan bujang, sama-sama ligat. Isteri pun sama naik....ada yang sepejabat, wife ada boyfriend, husband ada girlfriend. Sama-sama tau, tapi sama-sama buat tak tau."


Dan pantai Datai yang sunyi mendengar cerita kami.

"Saya hanya kawin, kalau jodoh sudah datang. Itulah kata-kata terakhirnya, sebelum kami berpisah di KLIA.


Dan, itu kisah 10 tahun lalu. Beberapa bulan lepas, saya terima friend request di FB. Mula-mula tak cam, siapakah gerangannya? Nama saya memang tak akan muncul dalam senarai pencarian sebab FB itu sangat peribadi. Kalau tidak mesej di inbox, pasti saya tak boleh accept. Terpaksa pangkah saja. Rupanya-rupanya, dia kawan lama, yang sukar dihubungi tapi sentiasa mewangi di hati. Oh! sekarang sudah gantung topi 'PR' ya, dan sudah pun berhijrah ke negara berpadang pasir. Cantiknya tetap seperti dahulu, tapi semakin ayu apabila berhijab. Itu yang membuat saya terkedu.


Josephine dah pakai tudung. Apakah maknanya apa itu? Saya berteka-teki.


"Saya masuk Islam, dapat offer ke Dubai. Tutup buku lama, buka buku baru."
"Ikut suami?"
"I told you, kalau jodoh datang baru kawin. Tapi jodoh belum datang....!"
"Habis order kek untuk siapa?"
"My close friend... Dr bla bla bla."

Oh! Saya tau Dr yang dia maksudkan itu. Memang doktor tu kacak, mengalahkan SRK (hensemkah Shah Rukh Khan??). Anak orang kaya lagi. Hem, lama juga doktor tu cuba pancing Josephine. Nak curi hatinya, cintanya. Tapi Josephine tak mau, sebab takut dipoligami. Kalau bukan bala dimadu, mungkin suami skandal. Lagi teruk kalau digantung tak bertali. Banyak sangat cerita pekung begini tersingkap di kalangan teman dan kawan. Dia jadi panasaran. Memang nak masuk Islam. Suka Islam. Tapi takut poligami. Bukan masalah terpaksa berebut kasih dan cinta suami, tapi lebih kepada perangai si lelaki. Itu belum lagi diambil kira kerenah mentua taya.

"Letih Jun. Kalau boleh hidup tanpa lelaki, lebih baik hadapi semuanya sendiri."

Betul juga cakap Josephine. Sekarang ini zaman dunia tanpa sempadan. Jadi, status kita sebagai manusia juga tidak lagi ada sempadan -- lelaki, perempuan, semua celaru. Lelaki tapi gay. Perempuan.... tapi tak suka jantan, sebaliknya minat sesama perempuan. Lesbian! Ada yang berkahwin tapi sepi, dan ada yang tak kahwin tapi ranjang sentiasa terisi. Apa tu? Bapa dah tak kenal anak perempuan sendiri, semua depa 'bantai' sesuka hati.

Lebih tragis lagi, si cantik manis yang seorang ni, yang memang sah dilahirkan dalam susur galur
**leluhurnya Islam, tapi dia ni tanpa silu membenarkan kekasih hatinya masuk bilik tidur tanpa memperdulikan anak perempuan yang sedang membesar. Mereka ada mata, ada hati. "Kenapa mama bawa lelaki masuk bilik tidur?"

"Kak, dia bawa pacarnya masuk kamar. Solat saya sah enggak?"

Terbeliak mata saya mendengar aduan pembantu rumahnya. Hem, ternyata dia memang pandai melindungi telur tembelangnya itu. Bimbang kalau saya terhidu. Jadi kalau bercakap dia suka bersumpah. Ucapan 'lillahitaala' tu tak lepas dari mulutnya, macam orang kunyah chewing gum saja.

Apapun, apabila maidnya itu lari dari rumah, saya sedikit pun tak hairan. Saya tempelak dia dan akibatnya, saya terus 'disumpah' menjadi peti sejuk di kutub utara. Dibekukan dari senarai 'kawan baik' hampir setahun. Sedikit pun saya tidak rasa terluak. Lebih baik dijauhi daripada mendapat saham subahat.


Alhamdulillah, apabila dia mengirimkan sms, mengundang saya ke majlis perkahwinannya saya rasa lega. Baguslah kawin. Tapi saya kembali terkejut tak habis apabila melihat gambarnya berpelukan di kota Paris. Sekali lagi saya keliru sebab nama bakal suami lain dan caption di gambar lain.

"Oh! Itu trip terakhir sebagai tanda kami sudah bercerai?"

Saya telan air liur saja. Oh! sekarang ni dah bercerai pun boleh buat farewell? Kenapa tak buat sebelum bercerai? Kala masih halal. Mungkin percikan api cinta asmara akan kembali menyala-nyala sampai tak sanggup berpisah lagi, melekap macam belangkas dan buat majlis sumpah setia untuk mati bersama-sama sebagai mengabadikan cinta.

Saya senyum sendiri.

"Kenapa kau senyum Jun?" Soal Abby Fana.
"Tadi kau tanya aku, apa lagi kek yang aku boleh?"
"Ha...betullah. Apa lagi kek yang orang selalu tempah kat kau?"
"Semua kek..... kecuali kek cerai!"

Abby Fana tergelak besar. "Kau ni ada ada jer."

"Eh! Betullah. Kalau bercinta ada kek. Anniversary ada kek. Merisik ada kek. Tunang ada kek. Nikah kahwin jangan cakaplah kan? Kek punyalah gadang. Kalau boleh nak meruncup dari lantai ke siling. Jadi kenapa bercerai tak nak bagi kek juga?"

"Habis tu nak buat bentuk apa?"

Hem... satu soalan yang genius. Mungkin buat kek bentuk hati pecah! Or kek bentuk hati kena tusuk pisau ke. "Jadi boleh le aku buat pisau tu guna gumpaste". Atau pun buat kek bentuk bom tangan.... dengan kepingan hati berderai kat keliling kek tu. Ok tak?

Bertamnbah besar gelak Abby, dan sampai sebut-sebut nama penuh saya di ruang udara Sinar. Siap suruh pendengar bagi idea, pasal kiriman kek cerai.

:-)))

Apapun, kepada Josephine >>> semoga ketakwaanmu bertambah selepas kembali dari Makkah dan semoga jodohmu nanti dengan muslim sejati yang boleh membimbingmu menuju jalan yang lurus -- ihdinas-siro-tol-mustakim.

Dan kepada pengantin yang baru saja selesai bersanding minggu lepas, dan minggu sebelum-sebelumnya, selamat melayari dunia rumahtangga yang penuh pancaroba. Jangan bayangkan yang indah saja, kerana sebaik sahaja bulan madu berakhir, maka dugaan sudah pun menunggu di depan muka pintu. Apapun, terima pasanganmu seadanya.

Akhir kalam, ingat satu saja... 'bulan madu itu cuma gula-gula hati, tapi hempedu kasih itu yang abadi.'



Terima kasih Zuri atas tempahan kek berbentuk masjid ini.

Kek ditempah oleh Kak Ya. Thanks kak Ya.






Kek ditempah Haniem bagi pihak Ellyana....thanks darling...very very much. Muahhhh!

Cupcakes untuk kak Marliya buat anak saudaranya.

Ini pula repeat order from Rose di Klang...thanks darling....muahhhh!


* curhat >> curahan hati
** leluhur >>> nenek moyang

Thursday, December 2, 2010

Selamat Datang Disember




Disember penuh kenangan. Dua, tiga hari lepas saya sambut anniversary perkahwinan ke-20. Sekejap sahaja....pejam celik, pejam celik...dah 20 tahun. Bergaduh, baik, merajuk...geram, suka...duka...gembira ria...semua dah rasa. Dari anak satu, sekarang dah empat. Alhamdulillah. Semoga masih ada umur berpuluh-puluh tahun lagi untuk dilalui bersama-sama dalam keadaan yang penuh dirahmati ini. Amin.

Dan kalau 20 tahun dulu saya sibuk menyiapkan majlis perkahwinan sendiri...sekarang saya masih sibuk dengan persiapan perkahwinan juga. Bukan untuk terima menantu. Itu lambat lagi kot. Tapi dengan deretan kek yang menunggu untuk di make over ini...sudah cukup untuk mencuri seluruh masa saya. Kalau pembaca ingat cerita Jumanji...dengan bunyi gendang dum dum dum itu....ha, macam itu jugalah di cuping telinga saya sekarang ini. Dok terdengar bunyi kompang, menandakan...


"...ada lembu nak tumbang,
ada khemah nak dipasang,
ada duit berpuluh ribu nak terbang
maklumlah, demi menyempurnakan majlis perkahwinan nan gemilang.

Dan saya pula, mula berpeluh-peluh kerana sibuk menyiapkan berpuluh-puluh kuntum bunga gum paste. Dek kerana musim hujan....maka saya tak buat bunga fondant pun kerana sekejap lagi akan terkulai layu. Hari ini saya akan ke kelas macaroon dan balik nanti nak sambung semula buat bunga untuk tempahan esuk. Ada banyak kek yang perlu disiapkan dan setakat ini saya cuma sempat edit dua gambar kek ini sahaja.


Walaupun penat hendak menyiapkan bunga-bungaan ini tapi saya puas hati sangat sebab saya memang saya nak eksperimen macam-macam jenis bunga baru. Inilah kerja saya setiap hari. Duduk di meja tu, sambil mengadun bunga, saya dapat juga berFB dan berjalan dari satu blog ke satu blog. Cuma nak update betul2 blog sendiri jer tak sempat dek kekangan waktu...aduh sangat terhad.
Kek ini ditempah oleh kawan saya, Abby Fana, untuk dihadiahkan kepada keluarga angkatnya yang mengadakan kenduri kawin, nun....di Kuala Pilah. Happy sangat saya apabila sms, bagi tahu yang keluarga pengantin suka sangat dekorasi kek ini. Thanks Abby.


Kek ini pula ditempah oleh seorang kawan saya untuk kerabat Pahang. Katanya mahu konsep light orange...jadi saya gabung warna-warna ini sahaja....tak serabut dan senang mata memandang.

Jadi setakat ini sahaja dulu....panjang umur kita bertemu lagi ya. Wasalam.

JUN

Subang Jaya