SALAM semua,
Ramadan sudah seminggu berlalu dan rasa-rasanya fitrah badan kita ni pun dah boleh adjust dengan suasana baru. Walaupun perut kosong...kerja tetap kerja. Dan mungkin sepanjang bulan yang mulia ini hasil kerja akan menjadi lebih meningkat kot sebab kita tak payah risau nak keluar lunch. Dan mesti kita juga tak tergamak nak curi tulang, kan?
Bagi saya, Ramadan kali ini nampaknya badan terasa lebih ringan sikit Tidak seperti tahun lepas, gastrik teruk juga. Seumur hidup tak pernah hidap gastrik...tapi tahun lepas menjadi-jadi pula. Walaupun boleh berpuasa macam biasa, tapi pada tiga, empat hari pertama tu memang teruk. Lembik, macam orang tak pernah puasa. Kalau budak-budak, atau mualaf yang baru belajar puasa boleh takpa juga. Ini dah tua renta. Rupa-rupanya saya menghidap sakit lain dan selepas dioperasi awal tahun ni, alhamdulilah, badan pun segar semula.
Selain itu, suasana dalam rumah ni pun kembali ceria macam dulu selepas saya mendapat pembantu baru yang memang faham apa makna sebenarnya tugas pembantu. rumah itu. Tak payah disuruh, tak payah diajar berlebih-lebihan. Dia tahu kerja dia dan saya pun tak mau kacau apa-apa pun. Ringan tulang sungguh dan tak reti duduk diam! Tapi, saya benarkan juga dia tidur selepas Zohor kerana Arina dan Kasih pun tiada di rumah kerana menghadiri kelas al-Quran pada sebelah petang. Kalau kerja dah siap, rest sekejap. Apa salahnya. Lagipun dia berjaga sejak sahur (5 am). Memang penat tu. Kita bukannya tak ada hati dan perasaan. Bukan nak suruh pembantu lap dinding sampai berkilat macam cermin muka. Betul tak?
Apapun, dek kerana pembantu ni cekap, macam Nartik dulu, maka hati saya pun berbunga-bunga saja dan mulalah rancang nak buat majlis berbuka puasa dan rumah terbuka. Dan satu lagi, hajat nak menganjurkan kelas dekorasi juga boleh saya lunasi. Maklumlah, yang bertanya pun ramai, jadi kalau betul-betul kelapangan, saya akan allocate sehari dua Ramadan ini untuk kawan-kawan maya saya itu.
:-))
Apapun, hari ini saya berasa sangat gembira kerana seorang kawan lama tiba-tiba sms saya..."Jun, kenapa lama tak update blog. Aku selalu baca blog kau....dan bla...bla...bla ...bla...!"
Saya teruja. Tak sangka kawan saya tu....wartawan ternama tu, sudi juga menjengah blog picisan saya ini. Oh! Rupa-rupanya ada juga manfaat saya merepek kat sini. Kata Sharidah, dia tak pandai menulis blog. Tulis berita tak apa. Tapi nak karang ayat, nak meluahkan perasaan, rasa tak ada kudrat. Malu ada, tak berani pun ada juga.
Hem, pada pendapat saya, sebenarnya intipati blog ni perlu ikut acuan citarasa kita. Tulis saja apa yang terbuku di dada, asalkan tidak sampai membuka pekung sendiri atau mengaibkan orang. Dan saya pun menulis sebab dah memang ini pekerjaan saya. Agaknya, hobi yang sudah terbina sejak dalam perut emak. Jiwa saya kacau kalau tak menulis. Dan saya bersyukur kerana kewujudan teknologi berblog dapat membantu mententeramkan keresahan dan ketagihan untuk orang macam saya ini, yang suka merakam rasa jiwa dalam bentuk barisan ayat yang jelas dan nyata. Sesungguhnya, blog mampu meneduhkan gejolak dalam dada saya.
Jadi kini saya bahagia. Walaupun satu waktu dahulu, saya pernah tidak dibenarkan menulis di majalah kesayangan saya (sebab ada seorang hamba Allah tu kata, kalau saya tulis juga di majalah 'Datuknya' itu, dia tak mau sign cheque saya). Aduh! Terkejutnya saya mendengar statement itu.... sehingga menyebabkan kening saya berkerut, sehingga hampir bertaut.
Tak sangka ya, si anu tergamak kata begitu, sebab apabila kami duduk semeja (minum kopi), dia sentiasa tersenyum manis, menyeringai sampai ke telinga. Infact, tatkala seorang lagi kawan saya, yang bekerja sebagai 'head hunter' dari sebuah agensi pekerjaan gadang mahu mencari boss besar bagi mengisi lekosongan di sebuah company penerbitan tersohor, saya dengan polos sekali telah mencadangkan nama si anu kepada kawan saya itu. Dan saya pun sanggup mencuri masa sejam dua yang sepatut dihabiskan bersama anak-anak dan suami, semata-mata kerana hendak mempertemukan si anu ini dengan kawan saya 'si pencari kepala' itu bertempat di Coffeebean.
Aleh-aleh, lain pula ceritanya di pihak dia. Tapi saya tak melatah pun apabila mendengar kenyataan berbau ugutan itu kerana bagi saya rezeki itu di tangan Allah. Setiap benda hidup dan yang tak hidup di muka bumi ini adalah di bawah kekuasaan Allah. Kalau satu pintu rezeki kita tertutup, ada 10 lagi pintu rezeki di tempat lain. Pokok pangkalnya ialah diri kita sendiri....perlu yakin...seyakin-yakinnya dengan kekuasaan Allah.
Redha.
Itu saja perkataan paling ajaib yang saya pegang dan dijadikan penawar lara saya. Kalau sudah bukan rezeki, tiada jodoh....hilang peluang....kita redha saja.
Apa yang penting, kita sudah berusaha...bukannya berpeluk tubuh sahaja. Kita bukan menganiaya orang. Kalau ada cacat cela dalam tindakan kita sehingga menyebabkan musibah berlaku, kita minta ampun sajalah daripada Allah Taala dan daripada orang yang kita sakiti itu. Tapi, kalau rasa malu hendak mengaku dosa khianat kita itu, bertaubat sajalah. Tak payah cerita kepada sesiapa mengenai aib dosa kita. Inilah pesanan yang dititip oleh uztaz sewaktu tazkirah selepas bertarawikh.
Ya, memang betul, Kita perlu redha. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini banyak juga hal yang berlaku....kepada orang di sekeliling saya, yang sangat dekat di hati saya, membuatkan saya semakin berasa takut memikirkan dugaan hidup di akhir zaman ini. Mungkin saya sudah pun melepasi tahap mengejar dunia kerana segala-galanya sudah kita rasai dan kini hanya mahu menjalani hidup seadanya sahaja. Akan tetapi, saya tetap risau juga dengan nasib anak-anak. Apa sebenarnya cerita takdir mereka?
Maklumlah, tajuk akhbar sekarang bukan main dahsyat. Laki tetak isteri....suami simbah asid. Kisah zina, buang anak, bunuh orang...tipu orang...berjalang. Oh! Hidup ini sudah terlalu dipermudahkan oleh golongan yang mahu semua serba ringkas -- macam sms juga. Segala yang melintas dalam hidup mereka itu dibuat macam makan kacang. Kalau suka ambil. Tak berkenan... campak saja. Ya Allah, ngerinya.
Dan saya pun terfikir juga, mungkin kerana masyarakat kita ni terlalu disogokkan dengan berita ganas dan cerita tahyul...mengerikan dan meloyakan, maka minda kita pun menjadi haru-biru. Dah tak tau membezakan antara yang halal ditatap dan yang haram. Semuanya kita tenguk, tanpa kekangan. Bayangkan kalau anak kecil tenguk cerita mistik dengan segala hantu dan puaka itu, serta kisah pembunuhan di televiysen (+ TV Siber). Mesti depa confuse dengan realiti kehidupan terbentang di depan mata. Budaya apa yang sedang dicanai dalam jiwa mereka?
Maklum sajalah, setiap hari anak-anak berminda polos ini menonton bermacam-macam cerita yang penuh dengan aksi yang hanya sesuai untuk usia lebih 21 tahun (bukan lagi 18 XX) di televisyen dengan si pelakonnya itu sudah sah sah Melayu dan lokasinya pun di bumi bertuah kita ini juga. Maka sudah tentu anak-anak atau golongan yang tak matang ni menyangka, oh! ini budaya masyarakat aku ya?!
Maka, sebab itulah kini kita semua menjadi haru-biru...buat apa saja ikut suka hati kita sahaja kerana saban hari itu yang disogokkan di televisyen. Apa gunanya kalau penerbit drama tu menyelitkan segala hadis, amaran dan bacaan ayat al-Quraan pada penghujung drama atau telefilem mereka sebab intipatinya yang kotor dan jijik itu sudahpun dipertontonkan kepada dunia -- sudah meresap ke dalam minda dan urat nadi penonton kita, orang-orang kita juga.
Kes ini sama macam kempen 'anti rokok'. Undang-undang menetapkan pengeluar meletakkan segala gambar mengerikan -- jantung pecah, kepala pecah, hati pecah, kaki pecah -- kat kotak rokok tu. Adakah ini membantu mengurangkan masalah ketagihan merokok? Mengekang perokok baru muncul setiap minit di kalangan budak-budak sekolah? Jawabnya, tidak! Rokok, walaupun harganya mahal -- semahal mas kahwin sekalipun, orang tetap akan beli juga. Betul tak?
Maka macam itu jugalah ceritanya dengan tajuk di akhbar nyamuk yang sering meremangkan bulu roma kita.
'Mamat Zina dengan Minah'
'Polan bin Polan Bunuh Emak Ayah'
'Tipah Buang Bayi Dalam Tong Sampah'.
Aduh! sedihnya apabila membaca tajuk akhbar begini. Malunya!!! Kenapa? Sebab itu akhbar Melayu? Si pelakunya Melayu dan si pembacanya? Eh! Bukan Melayu saja, tau tapi merangkuni semua bangsa. Jadi, apakah kesannya kepada kita -- sebagai Melayu dan Islam?
Mengapa kita tidak angkat martabat bangsa kita ini dengan berlumba-lumba menjadikan kejayaan anak Melayu dalam semua bidang sebagai tajuk utama akhbar. Kita glamourkan pelajar pintar. Kita canang-canang keunggulan peniagawati dan kita gembar-gembur cerita pelajar Melayu yang mendapat straight A, sampai mereka mencapai tahap diva dan lebih hebat lagi daripada juara rancangan ataupun pertandingan nyanyian/lakonan Realiti TV.
Begitu juga dengan cendikiawan Islam dan al-Hafiz, kita pukul gedang seteluk buana, sehingga mereka itu dilihat hebat giler sampai diberi status selebriti. Barulah masyarakat akan cerah mata dan minda sebab hari-hari otak dan jiwa mereka mendapat input positif. Betul tak?
Dan mungkin kerana hebat dan glamournya menjadi orang yang berjaya dan pintar ini, maka semua emak ayah mula mendesak/menggalakkan anak mereka supaya lebih gigih belajar supaya berjaya mencapai tahap `super bijak'. Jadi dapatlah mereka menumpang glamour anak yang sering diberi layanan red carpet itu. Isy, sapa tak mau ditemuramah surat khabar dan masuk TV. Betul tak? Si wartawan pun akan tanya kat mak budak pandai tu, lebih kurang begini bunyi soalannya;
"....agaknya masa akak mengandungkan anak akak, Siti Pintar atau Mohd Bijak tu dulu, akak ada dapat mimpi atau sebarang alamat tak?"
Dan si emak pun tersipu-sipu suka dengan gincu merah menyala.
Hem! Klise sungguh soalan wartawan muda itu. Tapi tak apalah. Jika ini dapat mempengaruhi minda masyarakat kita untuk berlumba-lumba membuat yang terbaik melalui pendekatan agama, moral dan akademik...apa salahnya. Apa yang penting ialah, media lebih banyak bermain dengan cerita positif untuk mengubah paradigma masyarakat.
Kalau tak percaya, cuba tanya kepada bakers atau cake artists. Adakah di kalangan mereka yang menceburi dunia ini (baking/culinary arts) dek kerana tergoda dengan kecantikan tatarias segala kek dan cupcakes yang banyak terpampang di blog dan laman web yang jumlahnya pun sudah meningkat beratus-ratus ribu itu. Pasti jawapannya 'ya' (termasuklah saya). Memang ramai yang dahulunya tak reti nak bakar kek sebiji pun, tapi akhirnya kini sangat gigih menukar haluan hobi kerana sudah terlalu teruja....jatuh cinta....asyiknya...dengan keindahan kek dan cupcakes hasil karya senior bakers/bloggers.
Jadi, kesimpulannya...kita ini manusia yang sentiasa 'bersifat baharu', sesuai dengan ketentuan Allah Taala. Setiap detik, umur kita akan memanjat takah waktu. Asalnya kecil, kemudian membesar, matang dan akhirnya tua renta dan kesudahannya? Kembali rebah ke tanah juga...ke tempat asal kejadian kita juga.
Dan sejajar perubahan yang sangat pantas dan rencam ini, menyebabkan kita akan sentiasa teruja dengan benda baru yang bergentayangan di depan mata. Kalau setiap hari kita disogok dengan cerita lucah...maka otak kita pun akan menjadi biru. Kalau dahulu kita adalah suami yang baik...tapi akibat ditujah bertubi-tubi dengan gambar tak senonoh, akhirnya si suami pun mula berubah, daripada baik menjadi pelucah.
Begitu juga dengan mata ini yang akan menjadi kabur dek kerana setiap hari menatap keindahan beg, kasut dan baju dengan cap yang beribu-ribu itu. Maka, muncullah si perempuan yang tak tahu malu, sanggup ambil gambar 'anu' sendiri, lalu di-MMS kepada mangsa terbarunya -- siapa lagi kalau bukan suami orang yang juga adalah bossnya sendiri (yang kaya raya itu). Ini bukan cerita rekaan, tapi kejadian benar dan tujuan saya bercerita pun bukan mahu menjaja aib sesiapa tetapi sebagai muhasabah dan peringatan kepada diri kita sendiri.....bahawa masyarakat sekarang sudah sangat bercelaru. Jadi, berhati-hatilah.
Dan ingatan ini juga saya tujukan kepada anakanda yang ku kasihi. Jangan lupa doa dan zikir. Hafal ayat Qursi itu kerana keajaibannya tiada tolok bandingan.
Akhir kalam, saya mohon maaf dengan ketelanjuran kata dan saya papar juga gambar kelas dekorasi yang sempat saya anjurkan sebelum berlabuhnya tirai Ramadan yang lalu. Kepada Hazie, Erin, Maslina...dan ada dua, tiga nama yang kak Jun dah tak berapa ingat tu, maaf ya sebab gambar ni lambat sikit disiarkan. Apapun, bulan puasa tak boleh marah-marah...merajuk takpa :-))
Kalau ada blog, tinggalkan jejaknya di sini. Boleh kak Jun link terus dengan blog dinda semua ya. Sampai jumpa lagi, selamat berbuka. Saya nak masak ketam dengan nangka masak lemak cili api dengan tetel...serta roti jala, kesukaan Kasih.
Wasalam






