Followers

COPYRIGHT & USE OF IMAGES
All images on this blog are copyright of CUPCAKEKASIH and may not be published without the permission. If you would like to use some of our images feel free to email me at cupcakekasih@yahoo.com

Thursday, July 29, 2010

Buat Dinda CT Arbaah






SALAM semua....semoga pagi ini semua sihat sejahtera dan gembira.

SAYA pula? Sihat seja seadanya. Tapi saya nak mulakan mukadimah pagi ini dengan berita dukacita sikit sebab ada pula kawan-kawan saya - Intan dan Huda - baru ditimpa musibah. Alah kesiannya.


Terkedu saya. Maklumlah, rutin saya, kalau tak sibuk, sebelah pagi saya akan sms kawan-kawanku sayang. Saya text aja...'salam xxxxxx, selamat pagi...sihat?'


Eh! Tau-tau...antara balasan yang saya terima begini bunyinya:

* Ina (Zarina Zainuddin) jawab; "Salam kakakku...miss u sangat sangat...nak kopi...hwaa :-((. Ina kat Temerloh pahang ni...shooting filem hantu..."


* Huda pulak jawab: "Tak sihat ada orang langgar side mirror kereta huda :-(( B**** B****** punya org"



* Dan Intan pulak jawab: "Salam kak...my maid lari...agen pun lari."


Oh! Apakah ini? Hari Khamis yang mendung? Walaupun matahari sangat cerah? Tak mungkin hari yang indah ini kubiarkan pergi bersama rawan di hati. Jadi saya mahu bake cupcakes dan akan ku kirim bersama doa dan pesanan untuk kawan-kawanku sayang...


...yang bukan bary setahun dua ku kenal. Tapi...dah berbelas-belas tahun. Cubit paha kiri, paha kananku ini terasa peritnya juga.


Hem begitulah saya...


...mudahnya melayan melankoli di hati. Dan kerana itu juga saya mahu sibukkan diri dengan urusan kek saya ini. Sekejap lagi saya nak bake chocolate cake untuk kak Marliya. Dia mahu kek tema kemeja. Katanya mahu dihadiahkan kepada anak saudara yang nak bernikah. Dan saya juga nak buat pizza. Dohnya dah siap. Hajat hati juga nak cuba buat tart. Tak lama lagi nak puasa. Jadi nak test dua, tiga resepi yang sedap.


Itu saja ubatnya. Biar penat badan...fikiran tepu dengan segala urusan harian, agar kedukaan tidak sempat singgah di hati.


....memakan diri...


....itulah makna sunyi...bagi saya yang dahulu pernah melalui jadual harian yang sangat busy.


Tapi kini....sejak Alia ke UiTM dan dalam masa yang sama Ina pun dah buka cafe (di SS 15, Subang Jaya), saya sering bergelandangan setiap pagi... mencari tempat lepak sambil bersarapan.


Biasanya saya ke Empire Subang. Lepak di The Loaf atau Whisk. Bukan nak makan sangat sebenarnya. Sekadar 'membunuh' sepi. Dapat juga saya menyudahkan novel saya...dengan tajuk sementara -- Melati Cinta Sari. Itu bukan tajuk mutakhir tau, tapi hanya itu saja yang terlintas di kepala saya saat ini. Nanti apabila berjaya disempurnakan tanpa cacat cela (...kalau siaplah ya), baru saya cari tajuk lain.


Kalau ada di antara kawan kawan yang nak beri cadangan, silakan. Kalau diterima penerbit, saya jamin akan beri hadiah sebiji cheesecake dari syurga dan novel baru itu. Tapi sesungguhnya...saya pun tak tahu bila dapat menyudahkannya. Semangat ini macam guruh di rembang tengah hari. Entah datang entahkan tidak hujannya. Biasanya, setiap pagi, dari 10 - 12.30 saya mengadap kopi di The Loaf, dan dapatlah saya siapkan satu bab. jadi sekarang ni baru enam hari...maknanya cuma ada enam bab saja? ha ha ....mana nak cari lagi 300 bab tu Jun?


Aiyooo...
Bila mau siap??

:-))



Apapun, kita tatap dulu gambar ini ya...!





Inilah jambangan bunga hasil kerjatangan Siti Arbaah. Saya sangat gembira kerana kami dapat menyudahkan sesi kali ini dengan sesempurnanya. Siti Arbaah sampai tepat jam 9 pagi dan kami selesaikan semua langkah dekorasi mengikut jadual yang sudah pun saya email lebih awal.


Sebenarnya bukanlah saya cerewet sangat...cuma jadual itu juga sebagai gentle reminder kepada diri saya sendiri kerana membuat bunga gum paste ini bukan macam dekorasi lain. Saya compress sesi dua hari kepada sehari saja dengan lima bunga dan lima lagi fillers.


Antara paling kritikal ialah bab pengeringannya. Semua helaian kelopak dan daun itu perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum dicantum dan digubah seadanya. Jadi, saya belajar untuk adjust time berdasarkan kelas terdahulu.





Dan saya juga berpesan kepada Siti supaya pesan kat hubby dia, ''....hari ini hari kita berdua saja. Saya mahu dia bawa pulang jambangan yang manis dipandang. Kalau tidak nanti abang ralat pulakkan?"


Eh! Bayar yuran sampai segini segini...tapi ini jer awak belajar?


"...itu adalah dialog yang saya reka sendirilah ya. Bukan cik suami sesiapa mengataknnya. Ibaratnya macam itulah. Jadi saya mesti 'berhati-hati di jalanraya."





Jom tenguk Siti

Maklumlah, bukan senang cari duit dan kita semua ada keperluan yang sangat banyak dan semua perlu diutamakan. Jadi, kalau ada yang sanggup membayar untuk ke kelas-kelas begini, maknanya kita sudah mengorbankan sesuatu. Saya paling takut kalau apa yang saya berikan itu dirasai tidak memadai. Saya pun pernah belajar...jadi saya faham perasaan itu.



captions: antaranya...Peonies, Rose, carnation, Cymbidium orchid, Morph Orchid, Freesia, Doris Pink, Daisy...

Apapun, saya bersyukur sebab Siti happy. Dan yang datang ke kelas terdahulu...pun happy. Alhamdulillah. Kalau terlebih, saya halalkan, kalau terkurang...saya minta maaf. Kalau ada kesempatan kita berjumpa lagi. Kalau tidak...kita saling singgah menyinggah dan bertanya khabar di alam maya ini. Apapun ceritanya, pada penghujung hidup ini, kita semua mahu happy.







Akhir kalam (kata), kak Jun ucapkan selamat berbuka kepada yang berpuasa sunat. Dan kepada yang lain...kita jumpa lagi, tak esok...lusa. Insyallah.

Wasalam

"...kalau ikut makrifat iman, minyak dan air...tak mungkin bercampur."

Monday, July 26, 2010

Cerita Semalam dan Segala Kenangan






ISNIN yang indah sudah berlalu. Awal pagi lagi sudah memandu sejauh Lendu, menghantar Alia ke UiTM. Eh! Tak sangka saya masih boleh memandu beratus-ratus kilometer! Maklumlah, sejak menjadi 'mem besar' , saya dah lama `gantung' stering.


Agaknya sebab dulu-dulu, selama berbelas-belas tahun sebagai journalist, saya dah jenuh round satu KL. Segala ceruk dan lorong saya sudah redahi Itu belum lagi dikira bab assingment di luar KL yang memerlukan saya keluar subuh dan balik hampir tengah malam. Walaupun terpaksa memandu seorang diri nun sampai ke hujung tanjung., tetap saya lakukan atas nama kerja.


Maknanya, kalau orang yang saya nak temuramah tu tinggal kat Ipoh, maka saya perlu lah drive ke Ipoh. Kalau diminta datang jam lapan pagi, maknanya jam lima pagi sudah keluar rumah sebab dahulu lebuhraya belum wujud. Kalau ada pun, tak secanggih mana ya. Dan yang best tu, kadang-kadang sesi temuramah itu tak lama mana pun.....adalah dalam sejam dua sahaja, tapi tetap kena pergi juga. Nak kata apa?


Masih saya ingat lagi kala mengandung Adam dan Arina. Walaupun, air ketuban dah nak pecah pun, saya mesti pandu sendiri juga ke pejabat (+tempat assignment). Masa tu perut punya besar, sampai bergesel dengan stering. Tapi saya gagahi juga. Nak selesa sikit, saya sendal dengan cushion. Talipinggang keledar pun dah tak boleh nak dipakai Kalau Datuk polis tahan...saya tunjuk jer perut tu + tag wartawan.

"...nak pergi assignment Tuan...!"


Dan selalunya, encik polis pun tak sampai hati nak saman. Agaknya dia tahu inilah nasib wanita berkerjaya di kotaraya besar ni.



Maklumlah, saya bukanlah jenis isteri yang mewah dengan tatangan suami macam sesetengah orang tu yang pergi dan balik kerja atau ke mana saja, semua dihantar hingga ke muka tangga. Jadi, isteri lasak macam saya ni kena pandai mengacu untung nasib sendiri untuk seimbangi harmoni.


Cik Suami tak boleh nak buat apa sangat sebab dia pun terikat dengan kerja dia. Maklumlah kerja dengan company Jepun, jadi kita semua pasti maklum budaya kerja orang Jepun. Selagi matahari tak terbenam, belum tentu cik abang akan pulang.


Maka atas sebab musabab itulah saya kini sangat jeran hendak memandu. Selain jalan yang asyik sesak jer tu, bab parking pun membuatkan saya lemas juga. Rasa-rasanya, semua yang ada kat KL tu saya dah redah. Kata orang tu kalau nak ikutkan takut, tak bergerak kita dibuatnya, especially kalau parking kat basement. Antara zon parking yang saya tak suka ialah di The Weld, Shangri-La, Hotel Maya, hotel Crown Princess dan KL Plaza.


Itu belum lagi bab meredah segala ceruk setinggan dan kawasan kongsi. Kat tepi lombong, tepi hutan, tepi tempat pembuangan sampah? Semua ada. Tapi pengalaman yang paling saya tak boleh lupa, ialah memandu di jirat Cina Sungai Besi. Maklumlah, saya berhajat sangat nak buat cerita pasal tukang solek mayat, jadi sesi interview pastilah berlangsung di pusat operasinya di kawasan jirat Cina terbesar itu!

Kami pergi bertiga, tapi ngerinya...masih terasa-rasa. Masih saya ingat pemandangan waktu itu. Kami berdiri di sebuah bangunan yang uzur, berada di tengah-tengah 'lautan' kubur besar Cina...saujana mata memandang. Maknanya, kalau ada zombi, memang kami bertiga tak cukup kaki nak lari kot. Pusing kiri kanan depan belakang...semua kubur saja.

Mujurlah tukang solek mayat itu, (yang juga pakar pengawet) seorang yang sangat berhemah, jadi, walaupun ketika itu saya terpaksa duduk di celah-celah keranda untuk menemuramahnya, saya tetap kuatkan semangat juga. Apapun, apabila diajak melihat cara mengawet mayat yang digilis keretapi, saya hanya tersenyum sumbing jer. Tak sanggup!


Jadi, dipendekkan cerita, atas alasan ini semua, maka sekarang saya berasa sangat sukacita dengan hanya 'menyolek kek' sahaja. Memang saya tak habis fikir, betapa beraninya si lelaki itu. Dan kalau you all nak tau, si tukang solek mayat itu, encik 'Entah-Apa-Ke-Namanya-Saya-Dah-Lupa' itu juga ada album rujukan pelanggan. Alah, macam kita jugalah, bila customers tanya; "kak Jun saya nak kek untuk majlis pertunangan," maka saya akan suruh cik pelanggan ke galeri kek saya di FLICKR tu.


Jadi sama jugalah ceritanya dengan si tukang solek ini. Semua gambar mayat hasil tatariasnya yang terdahulu disimpan elok elok dalam album. Kalau tak silap saya ada lebih 10 - 15 album semuanya, yang disusun cantik-cantik ala-ala konsep 'before and after' .


Dan alat solek yang digunakan pun bukan cekai cekai tau. Ada Krayolan, MAC, Bobby Brown...just name it. Especially untuk penyamar noda (concealer) dan liquid foundation.


"...mesti guna yang baik punya. Kasi effect cantik. Serupa muka asal," katanya, sambil menunjukkan gambar muka dead body yang sebelum itu sudah pecah dan penuh kesan jahitan, berubah licin dan bersih, macam wajah orang tidur saja. Hemmmmm!


Dan yang paling saya tak tahan...apabila encik 'Entah-Apa-K-Namanya-Saya-Dah-Lupa' kata yang dia suka mekap mayat ni sebab tak banyak complain. "Saya kasi mekap macam mana pun, ok saja. Dia orang suka....diam saja...tatak komplen."

...habis tu, kalau mayat complain, apakah maknanya itu?

:-))


Apapun....customers saya pun best juga, tatak complain (cayang you all). Siap hantar SMS and email yang manis syahdu lagi. Sejuk hatiku ini.


Jadi, berbalik kepada cerita saya memandu sejauh Lendu tadi, maka, saya anggap satu pencapaianlah tu. Tapi, saya tak mau tunjuk rajin sangat memandu jauh-jauh ni sebab nanti cik Suami terlemak pulak, nak suruh saya kembali ke profesison lama sebagai supir jarak jauh pulak. Kita kena tahu masa bila nak ampu suami...dan masa nak buli-buli manja suami. Betul tak?


Jadi, akhir kalam, saya papar gambar tiga kek yang sangat saya suka ini. Walaupun minggu lepas sangat sibuk, tapi saya decided untuk terima tempahan ini kerana setiap satu ada keistimewaan sendiri.

Assalamualaikum...maaf lahir dan batin.




SELAMAT PENGANTIN BARU





...kepada encik Salehuddin dan isteri.






Selamat Harijadi Alyssa






....dan selamat harijadi Harris dan Farris.


TEMPAHAN KEK RAYA

TEMPAHAN KEK UNTUK JUADAH AIDIL FITRI

SILA EMAIL TEMPAHAN KE:

cupcakekasih@yahoo.com

SMS: 017-2840900



MENU:






1. Red Velvet
Size: 8"
Bentuk: Bulat Berat: 1.8 kg
Frosting: cream cheese

Harga: RM80.00

2. Kek Carrot walnut
Size: 10" x 10"
Bentuk: empat segi sama Berat: 1.8 kg Frosting: cream cheese

Harga: RM65 + (fresh strawberry - harga pasaran)

3. Chocolate Moist Cake
Size: 8"
Bentuk: Bulat Berat: 1.8 kg
Frosting: chocolate ganache

Harga: RM60
4. Cheese Cake (blueberry, peach, strawberry, Boston Cheesecake)
Size:
8" Bentuk: Bulat
Berat: 1.8 kg Frosting: chocolate ganache, blueberry puree, white chocolate, cream cheese with marshmallow + fresh fruits (of your choice)

Harga: starting from RM60



4. Buttercake (vanilla atau strawberry)
Size:
8"
Bentuk: Bulat
Berat: 1.8 kg
Frosting: chocolate ganache

Harga: RM60



Sunday, July 25, 2010

Siaran Langsung Dari Stadium










Salam dan selamat pagi minggu diucapkan kepada semua pembaca.


Lama sungguh saya tidak update blog ini. Maklumlah diari sentiasa tepu dengan segala macam urusan duniawi. Sibuk benor pada sebelah siang sehingga menyebabkan saya pasti terlelap setiap kali menghadap laptop pada sebelah malam. Ish! Ada saja perkara berbangkit, menyebabkan saya rasa semua aktiviti ini tak ada garisan mati. Jadi, pagi ini saya curi-curi intai blog sebelum mula membakar sebiji lagi kek harijadi untuk anak teman yang akan meraikan ulang tahun petang ini.


Happy birthday Harris.

Dan, bersama pagi yang masih teduh dan sunyi ini, saya nak kongsi juga beberapa gambar yang saya rakam di Pasar Tani yang sangat besar dan hebat di mukim kami. Kalau rasa-rasa tak tau nak makan apa, kudap apa...pergilah ke sana. Lebih afdhal pergi awal pagi kerana parking memang masalah utama dan jangan lupa pakai baju kalis panas dan juga cermin mata hitam. Kenapa bersyarat pula? Pergi dulu...lepas tu baru tahu dan bagi tahu saya, wajar tak saranan saya itu.

Jadi, saya mahu minta diri kerana dapur sudah pun menggamit-gamit tu dan sebagai halwa mata, kita tatap dahulu gambar0gambar ini yang masih belum melepasi tarikh luput.
Sampai jumpa lagi. Wasalam



Tidakkah hati mu terpanggang melihat kambing panggang ini!








Inilah barisan ayam panggang yang enak...lemak manis madu.




Thursday, July 22, 2010

Salam

STATUS: BUSY

Terima kasih atas semua kiriman emails. Semua tempahan untuk minggu depan dan seterusnya akan saya update pada hari Ahad malam. Insyaallah.

Maaf ya dan sekali lagi, saya ucapkan terima kasih atas semua perkhabaran yang menyinggahi kotak MMS, SMS, BB, FB, emails dan panggilan telefon.

Semoga kita semua dirahmati.



Wasalam


p/s: kepada:

Idda, Suara Kalbu
Arina Ariffin
Yati
Kamisah Mustaffa

....terima kasih kerana sudi bertanya khabar.

Monday, July 19, 2010

Sejambak Kembang Gum Paste...

...buat Fadzillah yang diingati.
:-))

Lihatlah...betapa gigih kawan kita ini...melayan hobi barunya itu!

Salam semua,

DAN selamat menyambut sebuah Isnin yang indah. Sayang sekali kalau hari yang indah begini kita biarkan berlalu begitu sahajakan? Jadi saya ingin memulakan mukaddimah hari ini dengan mengucapkan selamat pagi kepada cik Puan Fadzillah dari Kuantan yang sudi bertandang ke kediaman saya Sabtu lalu untuk kelas bunga gum paste dan stacked cake.


Tapi yang mendukacitakan saya ialah kejadian yang menimpa Fadzillah (a.k.a Fadz) semasa dalam perjalanan ke Kuala Lumpur pada Jumaat lepas. Fadz sms saya sekitar jam 9.20 pm, mengatakan dia baru memulakan perjalanan selepas terbabit kemalangan kategori 'hit and run'


La...kesiannya, kata saya.


Menurut ceritanya, si pemandu itu, seorang akak (akak), telah menghentam bahagian belakang keretanya ketika dia (dan cik Suami) singgah sekejap untuk mengisi minyak. Eh! Tau-tau akak tu boleh terus melarikan diri macam lipas kudung sahaja gayanya walapun sudah berjanji dengan Fadz dan suami untuk settle di balai.


Siapapun pasti terkesima dengan kejutan yang tidak disangka-sangkakan. Wah! Tega betul cik Kakak itu ya? Maka berpeluh-peluh juga cik Suami Fadz kita ini to keep his pace kerana cik Kakak itu sudah pun berubah menjadi pemandu F1 dan adegan yang tak sepatutnya berlaku iaitu sesi kejar mengejar (macam police and thief) berlarutan sejauh 20 km.


(...dan cuba bayangkan rupa saya yang terlopong ketika mendengar cerita Fadz)


Sayang 1000 kali sayang, hasrat cik Kak itu hendak menyelinap hilang lenyap tak kesampaian apabila dia bertembung dengan lampu isyarat merah. Kata Fadz, kalau tak ada kereta di depan, mungkin cik Kakak ini mahu langgar lampu isyarat itu. Dan ketika ini baru Fadz dapat mencatit plat nombor kereta cik memujuknya agar memberi kerjasama untuk menyelesaikan kes ini di balai yang terletak hanya di hujung simpang itu saja.


Dan sekali lagi cik Kakak terpaksa bersetuju.


Akan tetapi...sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau, cik Kakak kita ni tadi terus memecut keretanya semula, berdesup-desup pergi dan akhirya lenyap ditelan kejauhan, meninggalkan cik Fadz dan suami -- terkelip-kelip. Bak kata orang tu 'putih mata' .... terkulat-kulat + tenganga-nganga.


Boleh gitu?



...saya terkedu!


Jadi, dipendekkan cerita yang panjang dan haru-biru itu, perjalanan Fadz dan keluarga pun hanya dapat disambung semula sekitar jam 9 lebih (malam) selepas tertunda lebih enam jam. Kesian Fadz. Besar sungguh dugaan dan banyak duit yang melayang!


Jadi kepada pelanggan Fadz (dan juga bakal-bakal pelanggan Fadz), lihatlah betapa payahnya perjalanan seorang bakers cum cake artist seperti kami ini -- yang memang perlu melalui pelbagai halangan dan dugaan.


Demi hendak menghadiri sebuah kelas bunga gum paste, Fadz terpaksa berangkut satu keluarga ke Kuala Lumpur. Cik Suami dah tentulah kena ambil cuti, anak-anak keletihan dek perjalanan yang jauh dan ditokok tambah pula dengan kejutan dari cik Kakak yang sungguh tidak berhemah itu.


Hakikatnya, we, the bakers...yang berstatus sendirian berhad ini, yang beroperasi dari dapur sendiri, perlu melakukan banyak research, study, upgrade skills, menumpah keringat, perhatian, pemusatan masa dan perbelanjaan yang saaaaaangat benyak, demi memastikan kek yang terhasil itu, cantik, sedap dan akan kekal di ingatan penerimanya sebagai yang teristimewa. Memang benar, ini adalah kehendak sendiri dan memang semua orang perlu bersusah-payah untuk berjaya. Jadi, pahit getir ini tidak perlu diperdebatkan secara terbuka. Semua orang sama saja. Kalau nak berjaya, perlu memecahkan ruyung. Jadi, buat apa perlu memalu gendang dan memukul canang! Begitu?!!


Ya, saya sangat setuju tu. Tapi, kalau mahu tawar menawar, biarlah berpada-pada. Kalau kita boleh bayar sepasang beg tangan berjenama (dan sesetengah tu bukan ori), sampai menelan beratus-ratus ringgit (malah ada yang cecah bu bu juga) jadi apalah sangat sebiji kek dengan tanda harga RM300 atau RM400 itu. Dah tentu-tentu kek kita itu dibuat oleh orang Islam -- yang pasti memulakan semua kerja dengan mambaca Bismillah! Betul tak?


Jadi, dipendekkan mukadimmah saya yang panjang lebar ini, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada kawan-kawan yang rajin mengirim email untuk bertanya khabar dan juga yang sudi menyertai kelas saya ini. Dan terlanjur bercerita pasal Fadz, marilah kita lawati blog cik kak kita ini yang saya kategorikan sebagai 'kemas dan cantik dengan hasil karya yang sangat menarik.




Lihat betapa gigih kawan kita ni yang sudah ketagih membuat bunga gum paste pula. Walaupun dihempas badai dan ribut di Bukit Pelindung (Kuantan) tu, Fadzitetap tak mau 'mengaku kalah'. Betul tak Fadz? Janji, hajat tertunai, cita-cita tercapai.


Dan, kepada cik Kakak pemandu F1 tak bertauliah itu, nak tanya sikit boleh? Tak rasa guilty ke dengan perbuatan tempuh hari? Macam mana rasanya kalau kita pula yang dihentam orang yang bertanggungjawab? Lari begitu saja! Geram tak akak? Macam tu juga rasa si mangsa. Dan saya sendiri yang pernah mengadapi situasi seperti dilalui Fadzillah itu, dapat memahami rasa bengkak di jiwanya.


captions: English Rose


Apapun, Kak Jun harap Fadzilah kini selamat sejahtera di Kuantan bersama-sama sejambak bunga gum paste tempuh hari berserta sebuah kek dua tingkat itu.





Buat pengetahuan semua, Fadzillah berpeluang mencuba bakat mengadun dan menggubah peony, carnation, bunga Rose, orchid Morph + Cymbidum, dan bunga fillers seperti Doris Pink, Daisy, Winter Jasmine dan Freesia.




Sebenarnya saya sendiri sangat teruja dengan kelas bunga gum paste ni kerana ia lebih melekakan berbanding membuat bunga fondant. Cuma masa saja yang selalu mengekang kreativiti dan bukan mudah hendak melentuk liuk-lentuk tangan kawan kawan kita yang sesetengahnya baru kali pertama 'berkerja' dengan gum paste.


Dan, kalau sesiapa yang suka menggunakan bunga besar-besar untuk merias cakes, maka bunga gum paste adalah jawapan paling sesuai. Memang boleh dapat kembang sebesar mangkuk...tahan lasak dan lebih luwes (flexible) berbanding bunga fondant atau sugarpaste.


Jadi akhir kalam, saya tinggalkan dulu laman blog ini sebab ada keperluan mendesak . Pagi Isnin yang indah pun dan bertukar rembang yang riuh rendah. Anak-anak dah pulang sekolah,

jadi,

wasalam

Monday, July 12, 2010

Romba Happy ! World Cup Sudah Tamat



SALAM semua

Ahad sudah berlalu dengan 1001 cerita suka dan duka, khususnya bagi peminat tegar sukan bola sepak. Sekalung tahniah diucapkan kepada penyokong Sepanyol dan tak lupa juga kepada pasukan naib juara.


Kepada peminat si naib juara, janganlah bersedih cita ya dan anggaplah menduduki tempat kedua itu sudah lebih dari cukup dan sangat bermakna jika hendak dibandingkan dengan pasukan yang langsung tidak mendapat sebarang tempat.


Apapun, walaupun saya bukan peminat bola sepak, tapi saya tetap juga meraikan detik kemenangan ini dengan menghidangkan juadah Sotong Goreng Kunyit untuk lunch semalam dan mungkin hari ini masak sotong goreng tepung pulak. Memang sedap sungguh icon bola sepak paling bijak ni!

Dan saat saya menyudahkan catatan tertangguh ini, dengar khabar pesta paling gadang sedang berlangsung di Sepanyol dan mungkin juga segala macam bentuk juadah berasaskan sotong diharamkan sama sekali di negara itu. Maklumlah, Mr Paul, the Octopus, sudah pun mendapat mahkota Diva dengan title celebrity bertaraf dunia dan menduduki tangga teratas dalam senarai google, mengalahkan Paris Hilton, Lady Gaga, Hannah Montana dan Ally Iskandar (??)


:-))


Dan kerana taraf celebrity si sotong itu juga menyebabkan ibu pingitan macam saya ni, yang langsung tak minat bola, boleh kenal encik Paul, The Oracle Octopus. Ok, awalnya saya tidaklah tahu sangat pasal encik Paul ini, tapi dek kerana DJ radio Sinar, Abby Fana, begitu sibuk menguar-uarkan pelbagai resepi sotong lewat siaran Sembang Sinar kelolaannya pada Jumaat lepas, maka saya pun teruja juga nak google mengenai subjek paling popular ini.

Dan alangkah terkesimanya saya apabila mendapati hakikat sebenar kegilaan umum terhadap Paul The Octopus ini rupa-ruoanya bukan main-main. Kalau nak disenaraikan hal aneh yang dilakukan sekelompok manusia yang taksub kepada kuasa tilikan, memang tak cukup satu page blog ini. Oh! Sampai begitu sekali ya?

Lantas, dengan perkembangan ini maka termaktublah dalam sejarah permodenan manusia di zaman siber ini yang akhirnya kecundang kehebatan daya fikir mereka dek kerana begitu yakin dengan kuasa tilikan seekor sotong. Oh! Kita yang kononnya sedang mencipta lebih banyak pesawat dan mesin lebih canggih untuk menjelajah ke tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, akhirnya 'menggadai' kuasa genius sebagai manusia ini dek godaan seekor sotong yang lembek gedebek ;-(

Hemmmm! Ghairah sungguh kita ya? Sebagaimana terujanya kita terhadap alam khayalan Avatar dan Twilight, kejadian ini membuktikan memang fitrah manusia, suka kepada unsur mistik atau psikik.

Apapun, sebagai umat Islam, kita dilarang mempercayai hal kurafat begini. Hatta, membaca ramalan bintang (zodiak) pun saangat ditegah kerana bimbang ini akan mencelakan akidah, apa lagi hendak mempercayai kebolehan/kelebihan seekor binatang.


Jadi, seandainya ada di antara anakanda muslimku yang sudah taksub dengan si Paul, saya harap anakanda semua cepat-cepat beristighfar kerana dengar. khabar, memang sudah ada kecenderungan begitu.


Harap-harap tidak ada yang tergamak bersumpah dan bai-ah segala, kononnya tak mau lagi makan sotong sebab sudah jatuh setia taksub kepada encik Paul serta keturunannya. Alamak, apa ni? Jangan pulak nanti ada pihak yang menangguk di air keruh, mencipta pelbagai perhiasan gerek (costume jewellery) berlambangkan sotong dan mempromosinya secara besar-besaran. Tak sampai hati saya menenguk jika ada (anak) muslim kita yang ghairah menayangkan subang, kalung, gelang dan rantai berlambang sotong dan bagi yang lebih daring...teruja bersubang pusat dan hidung! Bagi yang lebih taksub sampai tergamak membuat cacah (tattoo) lambang sotong pula sebagai lambang pemujaan yang sangat tinggi dan tak berbelah bahagi.



Mungkin anak remaja kita ini masih belum tahu yang bercacah itu sangat ditegah agama. Dan mungkin mereka juga tak faham soal sah atau tak sah apabila mandi jubub dan mengambil hadas besar seandainya ada cacah berdakwat kekal di badan. Ini semua penangan rancangan tidak bertapis Miami Ink dan segala Ink di telesvisyen ler ni. Inilah kesan negatif yang melanda zaman dunia tanpa sempadan ini dengan konsep 'langit terbuka', maka segala macam pengaruh boleh sampai di depan anak-anak kita dengan sekelip mata saja.


Lucu, kata kawan saya Erin, jangan pula nanti ada anak yang takut nak makan sotong masakan bonda sebab takut nanti depa disumpah menjadi sotong juga! Oh! Tidak....! Ini dah kira kes berat ni. Memang tak mustahil hal yang dianggap lucu dan remeh ini menjadi kenyataan sebab rakyat Malaysia sangat kental dengan segala macam semangat yang ...boleh itu dan boleh ini!


:-/


Jadi, akhir kalam, sebelum saya melarat-larat ke hal lain pula....saya sertakan juga hasil karya kali ini. Terima kasih kepada Mona, Zati dan Layla atas tempahan ini ya dan kepada Lia, Shah dan Mimi...kak Jun minta maaf sebab gambar tak dapat dimasukkan lagi. Ada masalah teknikal pula kat memory card camera kak Jun ni.





Kira-kiranya sesuai jugalah saya buat kek bertema bola ni walaupun bukan pasukan untuk World Cup. Kalau nak tahu, figura player Chelsea yang handsome ini saya buat sendiri ya, menggunakan gum paste.






Dan kek keju dari syurga ini juga adalah bingkisan dari Mona untuk Ayeen. Dan cupcakes berwarna lembut ini pula adalah tempahan daripada Layla Tumaisuri. Sedap nama anakanda Layla ini...bakal doktor tau. Sebenarnya Layla masih lagi belajar di Moscow dan sudah lama kami bertegur-sapa di alam maya. Layla order cupcakes ini semasa dia masih lagi di sana. Dia menempah cupcakes ini untuk hari bahagia kawan baiknya. Thanks dear Layla.



Salam dan terima kasih juga untuk Zatie Iwani


Kalau Layla itu bakal doktor, Zati ini pula bakal jururawat. Comel sangat cik Misi ini. Dia menempah cupcakes ini untuk cik BF kesayangannya. Saya jarang ambil tempahan yang perlu khidmat delivary, tapi kali ini saya sendiri hantar kepada Zati sebab saya malas nak duduk rumah sorang-sorang pada sebelah pagi. Sejak Alia ke UiTM, saya mesti buat rancangan keluar -- sarapan sana, sarapan sini sampai saat Arina dan Kasih balik sekolah. Kalau tidak...rasa sepi sangat....:-((


Akhir kalam, saya minta maaf sekali lagi seandainya catatan kali ini ada menyinggung hati mana-mana pihak ya.

Sampai jumpa lagi, selamat sejahtera semua.

+ salam sayang untuk Shafawati, Cahaya Kekasih, Nini dan Suara Kalbu Iddaku...!

p/s: Ada yang bertanya...kenapa saya suka pinjam sepatah dua kata bahasa Tamil? Oh! sebab masa di UiTM dulu, memang saya ambil subjek bahasa Tamil (dapat markah 3.7 lagi ok!) Jadi sesekali nak juga test diri sendiri...takut nanti luput pulak dari minda ini.

"Romba Kadal buat pembaca semua (makna romba itu ialah banyak)"

Tuesday, July 6, 2010

Tiada Kata Secantik Bahasa?

Salam semua,


SEJAK dari pagi saya menuggu seru datang...tapi tetap juga saya kehilangan kata-kata untuk meneruskan cerita yang sudah pun digarap dalam kepala. Intro yang sesuai tak muncul-muncul, jadi saya terus kepada pokok ceritanya saja ya.


Mari saya perkenalkan kepada peserta kelas dekorasi kek kali ini iaitu Rosnah dan Shafawati. Puan Rosnah ni baru kali pertama mampir ke teratak saya tapi bagi Shafawati, ini adalah kedatangannya yang kedua. Kronologi pengalaman Shafawati ini dalam dunia masakan sangatlah menarik kerana dalam tempuh setahun dua ini, bakat dan rezekinya sangat menjadi-jadi, berkat usahanya sendiri.


Setahu saya Shafawati ini sudah banyak mengahadiri kelas baking/cooking dan kelas dekorasi. Apa kelas paling popular yang tidak dihadirinya? Kelas cupcakes (itu sudah tentu), kelas coklat, kelas cookies, kelas kek lapis...kelas kuih talam dan juga kelas roti serta bengkel keusahawanan.


(p/s: ...tapi bonda Jun percaya cuma satu lagi kelas yang Shafawati tak hadiri lagi iaitu kelas nikah kahwin?! Betul tak? ehem ehem)

Dan bukan itu saja... kata Shafawati, dia pernah menjadi supplier kuih-muih dan berjualan biskut raya lewat Ramadan lalu. Gigih sungguh anak dara ku yang seorang ini. Dan yang paling penting juga, dia baru saja tamat belajar di UPM dan sebesar-besar tahniah diucapkan kepada Shafawati yang baru-baru ini mendapat Sijil Dekan dan (kini pasti sedang menghitung purnama dan hari yang bersilih ganti., hingga menjelang majlis kovokesyennya itu Oktober ini).


Tahniah Shafawati dan semoga nanti menjadi Pakar Bahasa Melayu yang terpuji, sesuai dengan jurusan Pengajian Melayu yang diikutinya di universiti.





Dan bercakap mengenai Pengajian Melayu ini, atau lebih tepat lagi, bahasa Melayu, saya memang teruja bertemu dengan anak muda yang menyukai bahasa Melayu kerana bahasa ini sering dianggap tak glamour. Tambahan pula saya merasakan kini bahasa warisan leluhur kita ini begitu terancam, dek himpitan pencemaran terutamanya budaya slanga Rempit yang sempit.


:-((


Dan bercakap mengenai bahasa ini, maka, kalau saya terbaca blog yang menggunakan bahasa Melayu yang tersusun manis puing-puing katanya, maka akan ralitlah saya menyingkap setiap baris ayat dan perenggan yang ada. Dan blog ini akan terus menjadi pilihan saya untukmengisi masa santai.


Tapi, kalau saya ketemu blog yang membudayakan bahasa cacamerba, aduh.... rasa berbulu mata dan telinga. Dan paling saya tak faham ialah aliran terkini apabila ramai cenderung `memelayukan ejaannya bahasa Inggeris.


Misalnya, actually diubah menjadi ekceli, caption dieja kapsyion. Apa tu? Begitu juga dengan penggunaan bahasa slanga yang keterluan sehingga melenyapkan nikmat menghayati isi ceritanya. Sayang sekali....apabila bahasa Melayu kita yang sangat indah itu menjadi compang-camping kerana ada yang alpa untuk menggali perbendeharaan kata ibunda kita yang sangat mewah dan penuh makna.


Pada pendapat saya, kalau kita hendak menulis... sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, hatta apa bahasa sekali pun, biarlah kita tidak memurtadkan bahasa itu. Tak semestinya kita perlu merakam perasaan dengan bahasa yang penuh berbunga-bunga, sehingga kita sendiri tak faham butir bicaranya.


Sebaliknya, biar sederhana, mengikut kemampuan kita. Dan lebih baik kita menulis dalam bahasa Melayu kalau catatan kita dalam bahasa Inggeris pun bunyinya macam dialog di pasar....yang sangat riuh rendah. Ibarat menggunakan selimut pendek, nak tutup badan, kaki sejuk. Tapi kalau diselimuti kaki, badan pula gedi.


Maka, kerana itu juga kita jangan melatah kalau lagu Indonesia lebih digilai. Lihat (dengar?) saja betapa indahnya lengguk bahasa dan perbendeharaan kata mereka. Setiap butir perkataan dikait indah dan disulam menjadi ayat yang sangat menyengat -- penuh dengan segala tertib dan adat. Dengar saja lirik Dealova, atau lagu Cahaya (letto), lagu-lagu dendangan Rossa, Eddi Silitogga, Anneke Gronloh, Kris Dayanti, hatta Wali Band dengan lagu Tobat Maksiat (Tomat).

Lagu popular kita pula; yang enak didengar rasa-rasanya boleh dibilang dengan 10 jari. Apakah maksud 'awan yang terpilu?', 'dendam yang terindah''? Itu belum lagi diulas mengenai lagu Hip Hop dengan lirik yang kadang-kadang menimbulkan rasa getik.

Dan tak lengkap kalau saya tak usik-usik manja penggunaan bahasa di kalangan sesetengah pengacara TV, yang sepatutnya menjadi `jambatan budaya bahasa' masyarakat sebaliknya masih ada perlu disunting. Antara yang paling menyengat gegendang saya ialah penggunaan perkataan mereka mereka."

:-O

"Ha? Mereka mereka? Apa tu? Bukankah 'mereka' itu sudah bermaksud jamak (plural), jadi kenapa perlu digandakan lagi kata nama pengganti ini?

:-))

Lainlah kalau kita tak faham makna, jadi kita pun sebut ikut sedap dan lumrah saja. Misalnya penggunaan perkataan 'malam Lailatul Qadar'. Itu boleh dimaafkan juga sebab mana kita tahu makna 'laila' ialah 'malam' yang dipinjam dari bahasa Arab. Begitu juga dengan sebutan 'hitam berkerapu'. Kira ok juga sebab mana kita tau makna 'kerapu' itu sebab ini adalah kata pinjaman dari bahasa Tamil. Makna 'karuppu' ialah 'hitam'. Cuba tenguk apa warna kulit ikan Kerapu? *wink*



:-))

Dan dengan catatan ini juga saya ingin menyampaikan rasa ralat di hati kerana anakanda saya sendiri pun tidak lancar dalam bab lengguk bahasa ini dan payah sungguh mereka nak gondol markah tinggi.

:-((

Apapun, sekali lagi saya minta maaf jika catatan kali ini macam ada rasa cili dan lada sulah. Saja jer nak usik-usik manja. Maaf ya.



Dan dalam ralit bercerita pasal Shafawati dan juga bab bahasa yang meleret-leret panjang ini, tak lupa juga saya kat Puan Rosnah.

"Hai! Rosnah, apa khabar?).



Kalau nak tahu, Rosnah bertugas di sebuah universiti tapi minat memasak; especially bab
kek dan biskut.



Sewaktu bertandang tempuh hari, Rosnah turut membawa buah tangan, biskut yang sangat sedap. Jadi kalau ada yang berminat nak menempah, bolehlah hubungi saya, nanti saya bagi email address Rosnah. Blog? Nanti saya usul pertanyaan sekali lagi kat kawan kita ini.






Rosnah dan Shafawati ni sebenarnya dah biasa menebar fondant. Dah banyak rias kek. Cuma mereka nak mencuba teknik saya saja. Jadi, saya tunjuk ajar mana yang saya tahu, especially penggunaan beberapa jenis cutter terkini yang banyak di pasaran.


Ada juga sesetengah cuttres itu pernah digunakan Martha Stewart, dalam buku dekorasi Wedding Cake (edisi 2009). Memang nampak mudah, tapi kena tahu juga rukun-rukunnya, barulah kerja kita menjadi lebih cepat dan menyeronokkan.





Selain itu saya tunjuk juga cara menggubah bunga gum paste Peonies dan roses dengan teknik yang lebih ringkas dan boleh disiapkan dalam tempuh beberapa jam saja. Jadi maknanya kalau mendapat tempahan ekspress, yang perlu disiapkan dalam tempuh kurang 10 jam pun, masih boleh dirias dengan bunga gum paste buatan sendiri.





Akhir kalam, saya sudahi dengan merafak sembah, ampun dan maaf, seandainya ocehan saya mengenai bahasa tadi mencalarkan perasaan ya. Tapi, pendirian saya (mengenai bahasa) sudah begitu, jadi ia tetap jitu. Semoga bahasa Melayu tetap menjadi yang terunggul dan tidak ada pula yang malu hendak menuturkannya.


Sampai jumpa lagi

wasalam