Followers

COPYRIGHT & USE OF IMAGES
All images on this blog are copyright of CUPCAKEKASIH and may not be published without the permission. If you would like to use some of our images feel free to email me at cupcakekasih@yahoo.com

Sunday, May 30, 2010

Sebiji Kek...1000 Acara




Malam semakin larut,


Tapi...


.... handphone saya masih saling sahut-menyahut.


Setiap jam, atau kadang-kadang selang beberapa minit... handphone saya akan berbunyi lagi.... Ping! Ping! Ping!


Kalau kebetulan saya tidak sibuk sangat, maka saya akan klik butang yang patut dan check email yang masuk. Saya baca -- saya cerna -- kemudian ibu jari ini akan membuat penilaian segera -- mahu picit butang yang mana. Sama ada 'mark unopened' atau picit 'reply' ataupun, kita 'delete' saja?


:-))


Kemudian saya akan sambung kerja semula. dan handphone pun akan berbunyi lagi... Ping! Ping! Ping!


Begitulah seterusnya, rutin seorang homemaker dengan handphonenya. Saya ibaratkan keadaan saya ini macam orang menunggu mangga luruh. Kalau waktu angin bertiup kuat, maka banyaklah mangga yang jatuh. Kalau tidak, kita ambil saja mana-mana mangga yang memang tergolek di depan mata.


Tapi, fitrah si buah mangga ni, kadang-kadang ada yang tak berapa elok, berulat dan tak kurang juga yang masih mengkal. Tahu tak apa makna mengkal?


Kalau orang Perak di sebelah Kuala Kangsar, mengkal itu kita sebut 'mangkor'. Maknanya ialah separuh masak. Ya, separuh masak macam telur. Nak kata keras tidak, cair pun tidak. Tapi yang pentingnya, telur separuh masak ni sedap. Apatah lagi kalau kita cicip dengan kicap dan lada sulah. Emhhh! Memang sedap.


Tapi kalau mangga separuh masak? Tentulah masam. Saya tak suka makan mangga, apa lagi yang masam (p/s: tapi kalau bagi kat Mak Buyung, memang depa suka mangga masam).


Jadi, kesimpulan yang saya nak cerita kat sini ialah, selepas hampir lebih kurang 30 bulan menjadi pembuat kek di Malaya ini (yang sebenarnya taklah lama mana sangat pun)., maka saya seperti sudah ada sedikit kemahiran untuk meneka jenis atau makna tersirat di sebalik setiap emails yang dikirimkan kepada saya itu. Tak kiralah, sama ada si pengirim ihendak menempah kek atau yang menyatakan hasrat menyertai kelas dekorasi yang saya anjurkan. Dan, dari pengamatan saya, maka saya rumuskan begini -- ada yang bersungguh-sungguh, atau sekadar nak recce harga ataupun ada yang sekadar nak tahu nilai hasil kerja tangan dan/atau kelas dekorasi saya sahaja.


Memang saya hargai setiap email yang saya terima. Oh! Memang terima kasih banyak-banyak ya. Tapi, dek kerana saya tak banyak masa untuk dihabiskan di depan computer jadi berdasarkan penilaian saya sendiri, maka sesetengah tu saya terpaksa peram saja atau saya picit butang-butang yang bersesuaian di telefon genggam saya itu.


Tapi, sebagai orang biasa, yang tak ada kuasa menilik atau magic...kadang-kadang tekaan saya itu tersasar juga sebab ada juga yang sudah menerima quotation saya itu langsung tak balas semula sedangkan saya mengambil masa untuk mencerap cerna hajat yang terkandung dalam emailnya. Hem...hangus sudah beberapa jam saya begitu saja. Tak apalah, kita semua sibuk. Jadi mesti jalan terus. Tapi, kadang-kadang saya sudah booked date, jadi tak berani hendak melepaskan tarikh itu, bimbang nanti ada dulang hantaran yang kosong. Maka hati saya cuma boleh bermonolog sendiri sahajalah nampaknya... macam pantun dua kerat ni:

'kalau padi, katakan padi...
tidak aku tertampi-tampi,
kalau sudi, katakan sudi,
tidaklah saya ternanti-nanti'.



Apapun kesudahannya, itu cerita takdir. Macam jodoh.... kalau dah memang jodoh Uda dengan Dara, maka bersatulah mereka walaupun hanya di pusara. Dan begitulah juga dengan saya, daripada banyak-banyak emel yang saya terima, 'minggu ini jodoh' saya termaktub dengan Norlela, Sharifah Qistina, Melissa dan beberapa nama lain lagi, dan inilah hasil daripada akad janji kami.


Hajat diusul, proposal diterima, harga dipersetuji dan akhirnya terciptalah semua kek ini... ada yang untuk pertunangan, penikahan, untuk hari istimewa ibunda tercinta dan harijadi. Saya suka, customers suka....
.... semua suka... jadi, jawapannya 'bahagia'. Apapun saya minta maaf kepada Inn sebab tak ada gambar cupcakes kat sini. Terlupa nak ambil gambar sebab terlalu mengejar masa. Begitu juga dengan beberapa pengirim lain, kalau tak menerima jawapan daripada saya. Mana boleh ambil semua, nanti takut 'yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.'








Jadi, sekali lagi, saya ingin rakamkan rasa kesukaan yang tak terhingga di laman ini terutama kepada Diana yang senyum sokmo. Hem... mestilah suka... sebab dapat kek berbentuk tas tangan ala-ala Chanel 2.55 Grande ni. Betul tak? Melissa, yang menempah kek ini. Eh! Senangnya saya dapat berurusan dengan Melissa. yang tak cerewet langsung. Dia propose, saya usul, dia terima maka inilah hasilnya.





Memang puas hati sangat dapat buat kek ni, walaupun sangat mencabar kerana susah kerana memang mencabar sekali untuk mendapatkan finishing yang sempurna. Saya perlu menunggu beberapa jam untuk memastikan setiap lapisan fondant dan warna itu kering, sebelum proceed ke peringkat seterusnya. Fondant perlu dilapik dua lapis untuk memastikan beg stabil apabila ditegakkan. Papan kek pun saya lapik dua lapis juga sebab nak bagi kek betul-betul melekat dengan kuat sebab saya cuma sapu air saja. Tak mahu ganggu proses seterusnya.


Berapa kilo pakai fondant? Hem, almost 2 kg. Mujur fondant ni saya buat sendiri, jadi saya buat awal...lebih kurang 24 jam sebekum digunakan. Barulah hasilnya licin gebu, macam baldu.



Kepada Diana, tahniah atas harijadimu yang ke-21. Bertuah benar dapat kakak sebaik Melissa yang sanggup membuat surprise untuk adindanya itu.


Mawar Merah untuk Lela



Kek ini ditempah oleh Norlela, yang pernah menyertai kelas dekorasi cupcakes yang saya anjurkan beberapa bulan lalu. Lela called agak last minutes, tapi sebab dah kenal dia dan terkesima dengan kesungguhannya, maka saya selit juga tempahan ini. Kata Lela, kek ini untuk dihadiahkan kepada teman sepejabatnya sebagai hadiah perkahwinan.


Mujur Lela tak cerewet sangat dan setuju dengan dekorasi kek merah putih seperti yang saya buat untuk Linda Hanum tempuh hari.


Terima kasih ya Lela dan kirim salam kat pengantin tu ya.



Putih Gebu Pilihan Qistina



Tatkala Sharifah Qistina (Qistina) mengambil kek ini, saya sudah pun terlena kepenatan. Dia sampai depan pagar rumah saya pun ah hampir midnite. Maklumlah, perjalanannya sangat jauh -- dari Johor, menuju ke Ipoh. Minggu lepas pun, kek Dibo yang saya rias untuk birthday boy, Sidqy -- pun dibawa ke Ipoh juga. Eh! Jauhnya perjalanan.


Sebenarnya, Qistina belajar di selatan dan terpaksa berkejar-kejar balik ke kampung untuk menerima cincin pertunangan. Apapun, terima kasih dan tahniah.



caption: Oleh kerana kek ini siap lewat malam, maka saya menghadapai masalah dengan lighting. Susah nak ambil gambar sebab saya tak suka menggunakan camera's built-in flash. Jadi, terpaksa saya reset contras lighting dan hasilnya, gambar ni dapat exposure manual yang berbeza. Tak apa kot sebab yang penting ada gambar sebagai kenangan.



Ok, design kek ini sebenarnya bukan hak milik saya, tapi atas permintaan Qistina, saya terap ideanya itu untuk kek ini. Qistina mahu yang putih bersih, gebu macam kapas. Maka, saya pun terap saja tatarias idamannya itu, asalkan si penerima rasa sukacita....dan bahagia.


Jadi, akhir kalam, saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada yang sudi menempah. Minta halal semuanya... agar saya tak perlu menjawab yang 'terlebih dan terkurang' pula nanti di Sana.

AMIN

Saturday, May 29, 2010

Sedapnya...enaknya

Seandainya malam minggu ini terasa kosong...tak tau nak buat apa, dan perut pun berkeroncong...cuba ke Desa Sri Hartamas. Di situ ada tempat menjamu selera yang saaaaangat sedap. Namanya restoran Aji Don.

Ada macam-macam gerai -- kuetiaw, satay, popiah dan tauhu bakar, nasi ayam, mee rebus...western food. Kata orang, kalau nak puas hati...pergi kat situ. saja. Tak perlu tertanya-tanya...tak perlu tercari-cari. Service cepat... tak payah nak menunggu dengan kening berkerut-kerut.


Saya rasa orang KL mesti tahu tempat ini. Bagi orang luar yang bercadang nak bercuti ke Kuala Lumpur, please mark dalam GPS tu hala tuju ke restoran Aji Don ya. Tak percaya? Tenguk gambaryang saya rakam ni. Kami baru saja selesai menjamu selera di situ.

Ok, sampai jumpa lagi.

Wasalam
Sent via BlackBerry from Maxis

Friday, May 28, 2010

Ku Terima Seadanya

Salam semua,
Saya mulai dengan ucapan terima kasih juga kepada Sharifah di Ipoh untuk tempahan ke Dibo yang comel ini.





Sebenarnya gambar ini sepatutnya saya masukkan dua, tiga hari lepas. Tapi itulah...


Kadang-kadang saya ini terlalu bercita-cita tinggi. Macam-macam yang saya nak buat, tapi kesudahannya saya akan terlentuk di depan layar lappy. Agaknya wing chair yang menjadi tempat lepak kegemaran sekeluarga ini sangat-sangat comfy sehingga membuatkan saya sentiasa mengantuk apabila bersandar di kusyennya yang empuk. Ataupun, saya memang sangat kepenatan?


Apa-apa pun saya tak kisah kerana yang pasti, sudah lama saya tidak dapat menikmati waktu senggang yang sangat tenang, seperti sekarang. Sedapnya! Rumah sepi. Semua masih dibuai-buai mimpi dan saya curi curi peluang menjenguk blog dan FB sementara menunggu fondant kat bawah tu kering. Banyak benda yang hendak edit dan update.


Sebenarnya, sudah banyak kali saya menaip cerita baru, tapi cuma separuh jalan sahaja sebab saya buntu, tak tahu nak tulis apa! Dah dekat dua minggu saya terkena sindrom ni. Memang saya paling tak suka kejadian macam ni berlaku.


Teringat zaman kerja dulu, saya paling takut kalau dilanda fikiran buntu. Tulis apa pun serba tak kena. Deadline dah dekat, tapi satu story pun belum siap. Memang betul-betul 'mati' dibuatnya. Selalunya hal macam ni berlaku bila kita rasa apa yang kita nak garap tu macam merapu.


"Eh! Nanti apa orang kata?"

"Malulah kalau tulis macam ni."
"Nanti orang ingat aku merepek."



Kesudahannya? Kerja tak siap. Editor dah mula jeling-jeling manja, sebab satu pun story belum masuk lagi. Eh! Kalau majalah bapak sendiri pun kita kena kerja keras -- hormati deadline (bukan dateline)! Jadi, mahiu tak mahu, kena paksa diri, perah otak cari ilham. Tapi itu dulu...kita ada Editor sebagai final gatekeeper.


Tapi, sekarang ni untuk blog sendiri? Semuanya mesti atas usaha dan kemahiran sendiri. Kitalah penulis, kitalah pelapor, kita juga yang menjadi photo Editor, juga sebagai penyunting.... juga sebagai...



.... graphic artist,
.... media planner....
.... promotion


Di samping jawatan-jawatan tetap lain kat rumah ni iaitu baker, cake artist, home maker, cleaner...chef, PR, penyambut tetamu...just name it...hatta penghibur juga! Kalau nak kata Diva pun OK.... tai-tai pun tak apa. Script writer? Ok juga. Itulah hakikat. sekarang, saya adalah segala-galanya. Jadi, kesudahannya, mana kita tak tersengguk di depan computer?


:-))



Tapi, ini tidaklah bermakna saya merungut. Tidak sama sekali sebab saya anggap, tidak ada anugerah yang lebih indah yang saya terima daripada Allah, selain diberikan peluang 'pecen' awal dan kemudian diberikan pula kemahiran merias kek. Alhamdulillah. Inilah pelengkap hidup untuk wanita yang sudah bosan terbang tinggi ke serata dunia. Tak larat dah nak kejar deadline, interview orang sana-sini... nak hadiri launching dan press conference yang tak tentu masa.... bosan apabila terpaksa menghadiri cocktail yang selalunya bermula tatkala azan Maghrib berkumandang dan masih menganga menyunting halaman majalah ketika anak-anak sudah pun masuk tidur dan sekejap lagi nak masuk sahur. Ya! Itulah realiti hidup saya satu waktu dahulu. Penatnya bukan main.....!


Jadi tidak sesuai langsung kalau sekarang ni saya nak merungut dek keletihan walaupun jadual harian lebih banyak berkisar hal anak-anak, buat kek dan rias kek, kerana saya masih dalam rumah sendiri. Masa itu hak mutlak saya, dan tidak perlu lagi disukat-sukat. Dan selalu juga dapat minum kopi dengan kawan-kawan Subang Parade, dan sekarang ini di The Empire. Oh! Itu satu nikmat yang tidak terhingga.

Jadi, apa yang saya nak risau sangat ni? Hanya kerana sejak akhir-akhir ini saya semakin kekeringan ilham hendak menulis? Saya sering berasa ralat sebab tulis apa pun semua rasa tak kena. Intro salah, topik rasa tak best. Lalu hati pun menggerutu dan berprasangka....


"Nanti apa orang kata?"


Kenapa tiba-tiba saya melatah? Sibuk dengan apa yang orang lain nak kata sedangkan penulis sejati biasanya menggerakkan pena berdasarkan naluri...rasa hati dan bukan apa orang kata. Kita tulis apa yang kita suka, selagi apa yang kita tulis itu tidak mengaibkan seseorang atau diri sendiri.


Dan itu jugalah yang saya selalu pesan kat Alia, 'kita jangan jadi follower, tapi mesti sebagai trendsetter'. Buat benda yang akhirnya menjadi ikutan orang lain. Atau setidak-tidaknya, yang menbuatkan kita look good dan feel good. Walaupun apa yang kita buat itu mungkin akan mengundang cemuhan...buat saja . Jangan pedulikan mereka sebab itu memang firtah manusia. Asalkan tidak melanggar hukum ugama, adat dan budaya -- belasah sajalah Labu.


Dan mungkin kerana itulah dahulu, saya selamba sahaja untuk bergaya lela mengikut selera saya. Hatta kalau saya teringat nak bergincu hitam ke pejabat pun, saya selamba saja. Ya! saya tahu apabila saya melintas saja dengan fesyen sebegitu, maka ada yang mencuri -- pandang-pandang dan jeling-jeling, sambil hati itu pun mula berkata-kata. Tapi saya buat tak tahu saja sebab ketika itu saya adalah penulis untuk ruangan Kecantikan majalah Jelita. Jadi saya mesti pandai bergaya... demi menjaga kredibiliti saya. Dah sah sah saya diundang untuk menghadiri perlancaran lipstick terbaru Chanel -- dominasi hitam. Jadi, saya mesti bergaya mengikut tema hitam yang sudah ditentukan oleh host. Barulah saya rasa complete. Tapi itu semua sudah pun menjadi sejarah.


Dan banyak prinsip atau tatacara yang berubah!


Contohnya macam sekarang ni...entah mengapa pulak, saya sering menimbang tara hal yang tidak-tidak. Suka nak fikir satu-satu perkara tu macam mengupas kulit bawang. Diselak satu, satu, satu...dan satu lagi. Begitu cermat....begitu berhati-hati.


Mungkin kerana sejak dua, tiga bulan ini saya asyik terima berita yang kurang enak. Kawan sakitlah, ada yang kena tumorlah, ada teman terpaksa operate untuk buang itu ini, hatta ada juga kenalan yang meninggal dunia. Hal ini semua memberi kesan kepada saya.


Malahan, kini saya sering tidak dapat lena... asyik diganggu panasaran sejak Alia beritahu saya mengenai seseorang yang dia kenal, rupa-rupanya mendadak diserang barah. Tidakkah sangat sadis berita begitu? Dalam dok sihat, dok bahagia, dah ceria lela, tiba-tiba jatuh sakit dan doktor mengesahkan hayatnya hanya bersisa beberapa bulan sahaja lagi.


Saya benar-benar terlopong. Oh! Begitu kesudahan hidup manusia?!??


Lalu saya memandang wajah Kasih dan Arina. Dua anak yang masih kecil ini.... yang masih mahu dimanja, dipimpin dan dipujuk puji setiap masa.


Bayangkan jika berita sesedih itu terkena batang hidung sendiri? Bukannya saya tak sayang yang dua lagi... Tapi mereka sudah besar panjang, dah pandai menjaga diri sendiri. Tapi yang ini? Alahai.... makan pun masih minta disuap. Tidur pun masih berebut mahu sekatil. Macam mana ya kalau terpaksa menghadapi petaka seburuk itu ya?


Apabila mengingati semua ini, saya tidak kesal dengan segala keletihan atau kesepian yang melanda. Itu semua tidak lagi bermakna jika kita sudah pun diberitahu tarikh luput hayat kita ini.


Apapun...saya masih beranggapan, soal hidup dan mati itu tetap menjadi rahsia Tuhan...Allah yang Satu.




captions: Saya suka dengan hobi yang satu ini....leka...leka...leka dibuatnya. Sukanya saya.





Dan kerana mengenangkan hal inilah maka saya sentiasa berbisik kepada hati...'Jangan sesekali berprasangka kepada Allah.' Semua yang Dia cipta ini tidak sia-sia. Jika Allah ambil sesuatu daripada kita, maknanya Dia mahu memberi yang lain... yang lebih baik lagi.


Lalu, saya duduk dan saya fikir. Memang betul. Allah ambil seseorang yang saya kenal semasa di universiti dahulu kerana Dia mahu beri saya jodoh yang lebih baik.... alhamdulillah.


Dia putuskan reazeki saya di majalah Perempuan! Oh! Itu kerana Dia mahu beri saya jawatan yang lebih baik... sebagai wartawan (kemudian sebagai Penolong Pengarang Kecantikan) di majalah Jelita.


Enak-enak 10- 12 tahun di sana, tiba-tiba saya mula berasa bosan hendak lebih lama di situ. Maka Allah putuskan rezeki saya di majalah kesayangan itu. Terkesima juga sekejap. Tapi...oh! rupa-rupanya Dia mahu beri saya jawatan lebih tinggi, sebagai Editor di majalah Cosmopolitan. Memang sejak di universiti lagi saya sentiasa mengidam-idam mahu menjadi sebahagian majalah itu. Saya sering berangan-angan, kalau dapat melawat pejabat majalah Cosmpolitan ini di New York, seronoknya. Eh! tahu-tahu Allah beri saya jawatan sebagai Editor majalah idaman saya itu. Bukankah itu yang lebih baik? Gembiranya saya.


Tapi apabila hati mula tawar walaupun hidup macam diva, semua nikmati itu sudah tidak bermakna. Saya bosan dengan rutin kerja yang mengambil seluruh masa dan tumpuan saya hanya untuk sebuah majalah (yang penuh dengan cerita keduniaan saja.) Tak selari dah dengan jiwa saya masa itu. Prinsip hidup saya sudah berubah.


Lalu saya berdoa lagi, minta lagi daripada Allah. Apa nak jadi dengan saya ni? Walaupun kerja glamour, tapi anak-anak terabai? Maka Allah pun ambil yang itu dan diberinya saya satu kemahiran. lain pula, yang sangat berharga... yang seumur hidup pun, tidak pernah saya impikannya.


Saya... Jun... sebagai Cake artist? Atau apa saja namanya.... tapi yang pentingnya, Dia beri nikmat ini selepas saya berdoa... "Ya Allah Ya Tuhanku, kalau dah tak ada kekuatan aku di luar sana, kau berilah rezeki apa-apa saja...asal halal... hatta, kalau dari ceruk dapur sendiri pun tak apa. Aku rela."


PING!


Jadillah apa yang sepatutnya terjadi.


Orang putih kata...'Que Sera Sera..."


Tapi kita sebagai orang Islam pasti sangat memahami hakikat makna Kun Fayakun.

captions: Kalau tak kerana sanggup mengubah haluan, pasti saya tidak tahu banyak rahsia baking dan fondant. Dulu ingat royal icing dan fondant adalah benda yang sama... tapi rupa-rupanya ia adalah dua benda yang berbeza. Dulu, tanguk rupa pun tak pernah. Itu adalah home made fondant yang saya adun sendiri.




Jadi, setiap kali panasaran...saya akan ingat semula cerita lama...kenagan lama...tauladan dan segala garis sempadan. Kemudian saya bersemangat semula dan berasa sangat suka dengan segala-gala yang ada di depan mata.

'Ikut hati, mati
ikut rasa binasa,
tapi kalau ikut cakap orang,
kita juga yang terpanggang,
kaki terasa tempang,
berbaju pun terasa macam telanjang.

:-))

Fondant saya pun sudah kering, jadi saya akhiri kalam saya sampai di sini.




Captions: Dulu saya sangat peka dengan penghasilan sebuah majalah yang hebat.... sekarang ni saya tahu banyak tips untuk mencantikkan kek. Itu semua hak cipta daripada Allah Taalah juga kan? p/s: kalau nak sapu pengilat atau pewarna...tunggu fondant betul-betul kering ya.

Thursday, May 27, 2010

Diari hari ini...

Saya sedang menunggu giliran untuk mengambil kad laporan anakanda bongsuku, Kasih. Lama pulak emak tu bersembang dengan cikgu. Kalau nak tanya lebih-lebih, hari lainlah. Barisan ibubapa ni kan panjang. Semua ada urusan yang terpaksa 'ditinggalkan' sekejap demi anakanda tercinta.

Tadi saya ambil kad Arina. Dekat 20 minit juga menganga. Mujur dapat godak godak Facebook.

Risau hati ni Tuhan saja yang tahu sebab kat dalam oven tu ada sebijik kek coklat yang akan masak dalam tempuh 40 minit lagi. Harap-harap sempat balik. Kalau tidak, Alia saja harapanku. Mujur anak dara tu ada. Esok dia dah masuk Uni, pengsanlah saya.


Kejap lagi Lela nak ambil kek. Dia nak bagi hadiah kat kawan sepejabat. Malam ni pulak satu kek lagi akan 'balik' Ipoh. Esok pagi, satu kek Chanel menanti! Oh! Cikgu cepatlah sikit. Saya perlu segera pergi.

Kepada yang mengirimkan email, maaf ya kalau belum dibalas. Kelas masih ditunda, sebab tu saya tak jawab email. Tapi kalau yang pernah ambil kelas dengan saya, dan mahu belajar lagi, itu yang saya utamakan dahulu. Jadi jangan kecil hati ya.

Sebaik saja dayang dari syurga saya sampai dari tanah Jawa, Insyaallah kelas kita akan meriah semula.


Sampai jumpa lagi, wasalam


Sent via BlackBerry from Maxis

Sunday, May 23, 2010

Cerita Sebuah Rasa

MINAT dan semangat tu adalah dua perkara berbeza tapi sangat penting kepada kita. Tanpa minat hidup kita akan menjadi sangat bosan. Pandang tu tak suka, tenguk ni pun tak suka. Hatta, apabila kita tenguk orang gila sakan buat itu dan ini pun kita rasa benci. Kalau tak percaya, cuba baca sesetengah status di FB. Ada di antaranya, yang digarap dengan penuh perasaan ralat sebab tak suka tenguk orang lain galak buat itu dan ini.

Pendek kata depa sentiasa dibayangi prasangka atau badi negative. Hem! Susahlah kalau macam tu sebab silap haribulan depa boleh dilanda stress tau....meragan seorang diri. Betul tak?

Sepatutnya, kita jangan cuba menolak fitrah semulajadi ini, selagi ia tidak memudaratkan kita. Asalkan kita tahu mengawal rasa hati dan gejolak jiwa -- maka kita layan sajalah kesukaan atau minat kita itu seadanya. Allah swt dah mencipta kita selengkap-lengkapnya. Dia telah menganugerahkan kita dengan satu rasa, iaitu rasa suka terhadap sesuatu benda/perkara itu, agar ia boleh dijadikan sebagai terapi atau penawar dalam menghadapi segala tekanan dalam hidup kita seharian.

Macam saya ni, memang rasa tertekan sikit sejak tak ada maid. Jadi apabila ada kelapangan, saya selit-selitkan juga sesi dekorasi untuk menghiburkan hati. Kalau diikutkan rencah kerja rumah ni, memang tak pernah habis. Kita kemas macam mana sekalipun rumah tetap akan bersepah semula, terutamanya kalau kita ada anak kecil. Oh! Saya memang tak sanggup. Katalah apa saja -- pemalas ke, itu ke, ini ke. Tapi bagi saya, kerja mencuci dan menyental dinding, lantai dan jamban ini bukan untuk dilayan setiap hari.

Rugi masa dan cerdas minda kita ni kalau mengadap benda itu saja (kecuali kalau tu dah memang minat kita) berulang kali. Macam daki di badan, disental macam mana pun, tetap melekat juga.

Jadi lebih baik kita serahkan saja kat orang gaji dan kita cuma supervise saja. Senang! Habis cerita. Kita anggap saja RM550 sebulan yang diagihkan sebagai gaji pembantu itu adalah nilai atau harga untuk sebuah keselesaan.

Maklumlah, kalau badan penat...sakit sana sini, maka fikiran kita pun turut 'sakit' juga. Berserabut! Kusut. Dan ini tentu menjejaskan emosi kita. Tenguk anak menyepah rumah kita geram. Pandang muka suami pun rasa nak baran. Kesudahannya? Satu rumah tak tenteram. Memang trajis sekali jika begini kesudahannya.

Jadi, bagi suami yang susah sangat nak 'menganugerahkan' seorang dayang untuk si isteri, cuba revise semula pendirian kita itu. Kalau memang tak mampu, itu lain cerita. Tapi kalau memang mampu, tapi sengaja nak biar isteri buat semua kerja rumah macam babu -- itu tak ada hati perut namanya.

Jadi, berbalik hal minat tadi, kalau kita dah ada maid (atau memang selama ini memang sentiasa ada pembantu) maka cuba-cuba cari minat pula. Pilih yang sesuai dengan citarasa dan kudrat kita.

captions: Ini minat terbaru saya. Mengadun bunga royal icing. Seronok juga membuatnya....ralit sekali. Cubalah kalau nak tahu apa maknanya sebuah keseronokkan itu.


Dan bagi yang dah ada minat, tapi tak tahu macam mana nak menyemarakkannya, maka cubalah berguru dulu. Cari orang yang mahir, yang bijak dan yang tahu. Jangan lokek untuk sebuah ilmu. Kalau sepasang baju kurung sutera yang paling 'koman' pun, empat, lima ratus juga harganya; dan kita sanggup membayarnya. Inikan pula setakat yuran dua, tiga ratus itu.

Selain dapat belajar teknik betul untuk mengembangkan minat, berguru juga perlu untuk menyemarakkan semangat. Kalau main taram jer....buat hentam keromo saja...alamatnya macam 'monyet mendapat bunga' le jawabnya. Benda yang senang jadi susah. Kalau dah cantik, jadi teruk pula. Lama-kelamaan, semua halangan ini membuat kita mati rasa....hilang semangat dan hilang kudrat.

Dan kesudahannya, jadilah kita 'wal hasil, balik asal'. Hidup kembali macam dulu. Tenguk semua benda nampak sama saja. Tak ada warna, tak ada rasa, tak berjiwa. Apa yang tinggal untuk kita? Hanya sebuah kebosanan. Kita tenguk orang lain bosan. Depa tenguk kita, lagilah bosan. Jadi apa kesudahannya?

I tak tau...

:-))

...tapi cuma boleh ucap 'selamat berhari minggu'.

Wasalam

Sent via BlackBerry from Maxis

Wednesday, May 19, 2010

Merah dan Hijau Penawar Lara

Salam semua,

Percaya atau tidak...selepas seminggu, saya masih terkial-kial hendak menulis di laman ini. Saya bagai kehilangan kata-kata. Entah ke mana perginya segala segala rasa, segala cerita dan segala warna yang ceria itu....saya pun tak tahu. Masih menunggu clue?


Hati dan minda ni nampak sangat tak selari. Kat jiwa rasa lain, kat kepala mahunya lain. Saya masih memikirkan macam-macam hal. Semuanya bergentayangan di depan mata...membuatkan semuanya menjadi berbolak-balik. Hati masih mencari jalan hendak meneruskan rutin yang satu lagi ini. Kalau bukan kerana minat tak mungkin mampu saya buat. Jadi, dalam sibuk menyusun atur hal itu dan ini, sempat juga saya menyudahkan beberapa tempahan untuk hantaran pertunangan dan perkahwinan.

Hantaran bertema hijau putih ini diminta Najlah. Memang ini antara tema warna yang paling unik pernah saya terima. Apa kata kita buat bunga warna hijau? Ok juga kan? Cuma saya terdesak juga memikirkan gaya keseluruhannya kek itu. Macam mana nak serlahkan seri hijau supaya kek nampak sweet...sesuai untuk majlis yang suci murni ini.


Jadi selepas saya garap apa yang patut, inilah hasilnya. Saya suka sangat! Especially lace itu. Dia meneduhkan segala yang nampak pelik dan memberi jiwa lain untuk sebuah kek. Kawan-kawan di FB sudah bertanya cara-cara untuk meriasnya. Jadi, saya akan buka kelas untuk menghasilkan gaya dekorasi sebegini, akan tetapi untuk yang benar-benar berminat saja.


Emel saya untuk pengesahan tarikh. ya. Maaf sangat, jika saya tak sempat nak berulang balas email banyak kali sebab sekarang ni masa menghadap blog tak semewah dahulu. Jadi, kelas ini saya buka untuk yang berpengalaman membuat dekorasi kek sahaja ya.



Akhir kalam,

salam manis dan ceria selalu.

wasalam





Dan kek ini pula ditempah Linda Hanum. Oh! Saya sangat suka tema merah ni. Jarang sekali yang berani bermain merah menyala untuk hantaran. Agaknya Linda ni memang peminat merah sebab sebelum ini pun dia minta tema merah juga untuk kek harijadi anakandanya itu. Memang orang kata merah ni penguat semangat dan sepanjang merias kek ini, saya rasa sangat-sangat berjiwa besar. Kalau suruh rias kek lima tingkat pun saya larat. Hem...! Kalau tak minat buat benda ni semua...siapalah saya ya?


Terima kasih ya Najlah...Linda. Sampai jumpa lagi semua...

Wasalam

Monday, May 17, 2010

Dia...antara yang manis

Emel yang saya terima pada awal pagi Isnin tadi ....sangat sweet sekali.



"Slm,
terlebih dahulu sye nak ucapkan Hepy Teacher's Day buat auntie jun. terima ksh ats tunjuk ajar atsmu selama ini..dan pd hari ini jgk sye dah stat mula mengajar utk basic cupcake..semua ni xkan berhasil tapa tunjuk ajar auntie..

ha auntie, sye baru je 3minggu habis belajar skrg ni jd guru sandaran di sekolah agama ajar bhs arab. wahh kelass hehehe. lps je hbs mengajar, berniaga ice blended di depan sekolah menengah..weekend buat kek..

oklah auntie. slmt maju jaya
luv u so muchh!"

....sweet bukan? Rasa macam tak layak jer terima ucapan keramat ini? Apapun, kepada Shafawati, terima kasih daun keladi.


Sent via BlackBerry from Maxis

Sunday, May 16, 2010

Gendang-Gendut Tali Kecapi

Ahad berlalu begitu saja. Tak terasa pun pagi bertukar tengah hari dan petang berubah senja dan sekejap lagi malam pun bertandang. Dulu-dulu, sewaktu saya masih lagi bergelar 'working mom', kedatangan petang Ahad disambut dengan hati bungkam. Maklumlah Isnin dah nak masuk kerja semula. Rasa macam tak puas bersukaria dua hari suntuk dengan anak-anak. Tapi bila dah tak kerja, I welcome everyday with an open heart, termasuk Monday.


Hari ini kami sekeluarga buat spring cleaning. Kemas stor dan buang saknika benda yang dah lama tersimpan dalam ruang kecil itu. Konsep saya senang saja -- kalau dah simpan lebih dari setahun dan tak juga digunakan semula, maka jawabnya kita kena let go saja. Jangan disimpan-simpan lagi. KAlau masih elok saya derma kat Pusat Kitar Semula Mingguan yang dikendalikan oleh sebuah badan amal. Kalau mana yang dah tak elok tu, ditongsampahkan saja. Tidak guna menyimpan kenangan kalau ia hanya terperap dalam kotak di sudut stor itu sahaja. Dan sekarang pun saya sudah berhenti membeli perhiasan renek yang hanya cantik dipandang tapi tak tahu apa kegunaan benda tu sebenarnya.


Esok ada agenda lain. Nak siapkan bunga-bungaan untuk cupcakes cikgu Adam, Arina dan Kasih. Bukan setakat satu dua...tapi denkat 10 kotak. Jadi, sebelum haroi yang sibuk bermula, mari kita kongsi cerita dan resepi juadah kami sekeluarga untuk hari ini.


Ok, menu juadah kami simple saja -- Nasi Briyani Terjun, Ayam Panggang Kurma Pandan, acar timun lobak dan salad telur. Sebenarnya saya tak bercadang pun nak masak nasi minyak, ni tapi sewaktu mengemas peti ais, tenguk bahan yang ada gitu gitu aja, jadi kepala ni mula fikir, nak masak apa ya? Seafood semua dah takda. Cuma ayam dan daging saja.


Nak buat rendang memang renyah. Kalau dulu ada pembantu, semua pepes akan disediakan, dan saya cuma tahu masak sahaja. Lagipun Nur Kasih tak suka rendang dan selera Arina pun lain juga. Nak masak kari ayam? Hem, semalam dan hari sebelum semalam dah makan kari ikan. Jadi, cara terbaik menarik perhatian satu keluarga ialah hidangan ayam panggang!


Nampak glamer pun ya juga. Maklumlah selalunya ayam panggang ni dianggap lauk yang mewah yang biasanya kita jumpa kat khemah pengantin jer -- makan beradap untuk raja sehar. Kalau tak ada ayam seekor tertenggek kat tengah meja tu, memang tak sah. Jadi, bila dah buat ayam panggang a.k.a ayam golek, mesti dikawankan dengan nasi briyani or apa-apa nasi yang special. Dek kerana saya terjumpa sebungkus serbuk briyani yang belum expired jadi saya pun decided buat nasi Briyani. Dan sebab itu jugalah saya namakan nasi saya ni Briyani Terjun, sebab buat benda yang tak dirancang, macam bidan terjun! Lobak tu pulak sebenarnya nak buat carrot cake tapi dok tertangguh-tangguh saja hasrat yang satu ini. Kesudahannya lobak tu tak merasa jadi kek. Dapat jadi acar pun kira ok...daripada kecut begitu saja jer :-))


Takpe ler Labu...apa-apa sajalah. Acar pun acarlah. Janji masuk perut. Nampaknya coretan ni terpaksa pause dulu sebab dah nak azan. Nanti saya bagi resepinya ya.

Saya tinggalkan dulu pembaca dengan pantun klasik ini:

"Gendang-gendut tali kecapi,
Kenyang perut, suka hati."

:-)
Wassalam
Sent via BlackBerry from Maxis

Saturday, May 15, 2010

Caca Merba

SABTU yang sangat panjang...sejak selepas Subuh, kami sudah keluar rumah kerana ada acara sukan tahunan SRK Sri Selangor. Walaupun Kasih cuma ambil bahagian acara sukaneka - mengaup kulit kerang; dan Arina pula dengan perbarisan Tunas Puteri, tapi emak dan ayah depa ni tetap bersiap sedia dengan sepenuh jiwa raga macam anak masuk Sukan SEA. Kamera DSLR dan Hp dengan bateri full bar dah ready awal-awal lagi. Maklumlah nak load gambar event terus ke Facebook...supaya semua orang boleh tahu, hari ni anak teman bersukan.

:-))


he he he




Apapun, sesekali marching kat padang luas tu best juga. Mujurlah pagi ni cuaca ok saja, tak bahang sangat. Kalau tidak garing ler kami semua kat padang MPSJ tu. Kasih dah sihat dari sakit perutnya yang berlarutan sejak dua, tiga hari lepas; jadi happy sangat ler nak 'mengutip kulit kerang' tu.


Arina pula excited bebenor dapat masuk perbarisan tu. Maklumlah nak masuk acara lain macam tak ada yang sesuai pun sebab kami ni bukannya keluarga olahraga. Jangankan nak lari...nak lompat pun tak ada stamina.


Tapi masa saya sekolah rendah dulu, memang rajin juga saya masuk balapan. Selalunya acara 100 meter atau berganti-ganti 100 meter. Tapi bila naik sekolah menengah, tak larat dah nak lari lari ni kecuali lari sekuat-kuat hati untuk mengejar bas dari KL menuju Klang. Maklumlah selalu bas ni datang tak tentu masa dan berhenti kat bus stop pun tak mau lama-lama. Jadi tak pontang panting kita dibuatnya?





Ok, kembali hal sukan Arina and Kasih, gambar yang diambil tu memang banyak...tapi saya masukkan yang perlu sajalah. Bukannya Olimpik. Shot2 yang lain tu masih dalam memory card. Kita masukkan lain kali sajalah. Tapi gambar yang satu ni, mesti juga saya nak tunjuk juga sebab paling cute. Tenguklah tu.

v
v
v
v







Sebenarnya ini adalah untuk acara perbarisan -- merangkap sesi pakaian beragam kot. Dalam banyak-banyak tu...yang ini paling kelakar. Tak tau ler apa bendanya...tapi yang penting memang cantik juraian berkilat-kilat tu. Agaknya bunga manggar siapa yang dah kena korban tu. Temanya kalau tak silap pasal hidupan laut.


Apapun, balik dari sukaneka tu....saya kembali ler ke dunia sebenar, acara mengemas rumah dan mengelap habuk yang cepat sangat menimbunnya tu. Bagus juga tak ada maid ni, sebab dapat kuruskan badan sikit. Dari hujung laman sampai ler ke pintu belakang...macam-macam benda yang nak dimop...nak digilap. Berpeluh satu badan. Walaupun letih, tapi puas hati.


Tapi walaupun dah penat banget, pada sebelah petangnya...akibat bosan yang teramat sangat, saya uli roti pulak. Memang kalau masuk dapur ni, tenguk oven tu sejuk je...mula rasa ketagih nak menguli itu ini. Nanti saya masukkan resepinya ya. Tapi kalau pembaca yang dah biasa singgah kat blog saya ni mesti tau resepi doh roti manis ni. Senang memang senang, tapi bab menguli tu yang letih sikit. Kalau tak ada mesin penguli heavy duty, memang berpeluh-peluh ler dibuatnya.





Kali ni saya pintal doh roti macam nak buat tocang. Sebenarnya saya dapat idea ni dari blog Yati yang duduk kat Lousiana tu. Cari link dia kat blog saya ni ya. Memang sedap sebab sausage tu saya balut dengan cheese.





Bila dah masak....keju cair dan mesra dengan bun tu...waduh...memang lemak gebu. Cubalah ya. Saya ni tergesa-gesa jer menaip ni sebab dah lama mengadap lappy ni. Dulu nak melekap kat depan komputer sehari suntuk pun takpa. Sekarang ni tak boleh ler...nanti anak-anak kelaparan pulak.


Sampai jumpa lagi. Wasallam



Friday, May 14, 2010

Menunggu Detik 3



Seronok juga duduk diam-diam dalam bilik ni sambil dengar radio + menyiapkan hiasan dua biji kek hantaran ni :-))


Memang kalut sikit tapi Insyaallah by 3 pm semua siap dan bolehlah saya balas emel yang tertunggak tu ya. Bagi menyiapkan kek ni -- each cake seberat lebih kurang 2.5 kg, saya sediakan tiga kilo fresh fondant. Cukuplah untuk semua remeh-temeh tu dan selebihnya akan saya guna untuk membuat bunga bagi riasan kek Hari Guru pula. Dah tak sabar ni nak buat kek kek tu.


Sampai jumpa lagi, selamat menikmati Jumaat yang indah dan wasalam


Sent via BlackBerry from Maxis

Wednesday, May 12, 2010

Dunia Belum Kiamat

YA...memang betul. Dunia belum kiamat. Tapi kalau tiba-tiba, maid nak berhenti dengan menghantar sms saja...memang kiamat kecil jawabnya dalam rumah ni. Eh! Kita punyalah timbang tara keadaan dia. Nak cuti bagi, nak pakai hp kita benarkan. Nak ke mana saja semua berhantar berjemput. Tau-tau nak blah macam tu saja. Langsung tak bagi waktu kecemasan. Memang depa ni jenis kering hati. Buat baik macam mana pun, kalau depa nak pergi...depa main pergi macam tu saja...tak sempat dah nak tunggu sampai esok hari.


Dah ker buat kejutan masa Hari Ibu. Sampai hati kau Siti. Dia ingat hal macam ni boleh buat main? Tak lucu langsung tau. Bertuah sungguh awak ya Siti. Sebeban cupcakes kita bagi untuk dia makan dengan kwan-kawannya di rumah sewaan tu. Eh! Tau-tau kau tinggalkan juga Tokehmu begitu saja. Memang tak sensitif langsung dia. Kalau bukan kerana kau tu kakak Nartik...tak tau apa nak katalah. Kecewa sungguh.


Dan kerana hal berbangkit inilah maka saya dengan berat hati terpaksa menunda semua kelas. dekorasi. Saya mahu tenangkan hati dulu sambil kemas rumah ni semula. Bila dah tadbir sendiri baru kita tahu tembelang dia. Memang sah sejak mula lagi dia ni tak mau kerja. rumahtangga...jadi sebab tu semuanya dia buat sambil lewa saja. Bila dia pergi...semua benda kita jumpa bawah meja bawah kerusi. Cuma duit dengan berlian sebesar penumbuk saya tak jumpa lagi. Kalau ada bagus juga. Pasti saya akan gadai dan dengan segera saya terbang ke UK ke, US ke....untuk jengah pameran kek kat sana! Haish!

Jadi, akhir kalam, saya mohon maaf saja kepasa semua teman-teman yang mengirim email untuk menyertai kelas itu dan ini, seperti yang saya catatkan kat 'memo board' blog ni. Nampaknya setakat ini hal itu semua cuma tinggal angan-angan saja buat sementara waktu sebab sekarang saya perlu bahagi masa antara berkejar ke sekolah, ke CR4, ke BWY ke Uncle Lim...ke The Loaf :-)) dan ...dan...dan ke kedai kain Jakel yang baru di buka kat Sec 7 tu!

:-))

Jadi masa untuk kelas memang tak ada. Insyaallah, kalau saya rasa dah lega...dah ok...saya akan anjurkan semula kelas dan pastinya saya akan mengitamakan pengirim email yang terdahulu untuk diberikan tarikh yang sesuai ya. Tapi buat masa sekarang, saya cuma boleh ambil tempahan cake/cupcakes sajalah.

Sampai jumpa lagi...doakan saya akan segera mendapat dayang dari syurga...sementara nak menunggu Nartik ku itu kembali dari Tuban....yang tak dapat dimuktamadkan lagi tarikhnya.

Kepada Ieta dari Kota Damansara dan Zakiah...kawan lama di universiti dulu....terima kasih atas tempahan ini ya.





Sekali lagi....maaf dan jumpa lagi Dindaku semua

..yang tersiksa,
Jun, Subang Jaya

Tuesday, May 11, 2010

Ini Paling Comel....

HARI ini seperti semalam dan kelmarin...selepas saya menerima sms yang tidak terduga itu...(SAMPAI HATI KAU SITI).....tiba-tiba hati saya dipagut sedih dan pilu. Membaca catatan yang satu ini membuatkan saya rasa hidup ini sebenarnya lebih daripada sebuah kerisauan kepada orang yang tak pasti arah dan tujuan. Biarlah dia bergelandangan...saya mesti berdiri tegak di sini untuk keluarga sendiri.


Sebenarnya selepas jam 3.30 pm Ahad lalu, satu lagi rentak biasa dalam kehidupan keluarga kami berubah. Tak sangka akan berlaku pada hari Hari Ibu. Memang saya serta-merta berasa murung. Tapi kad yang satu ini menceriakan saya -- membuatkan saya rasa hal yang berlaku itu cuma sebuah igauan sahaja...macam bayang yang akan hilang sebaik sahaja menjelang siang.


Cuma yang saya ralat ialah kerana terlewat membaca post yang sangat cute ini. Tadi, selepas makan malam dan selesai mengemas dapur, baru saya klik blog Alia dan statement ini membuat saya tersenyum sendiri. "Mum, you know sometimes I find it hard to believe how stylish...witty and intelligent you are..., I mean, fancy us being so alike! Happy Mother's Day ♥ "
He he...hilang lenyap segala letih dan penat.


Thank you Alia. Kalau nak tau lebih lanjut apa yang Alia tulis, kliklah kat sini.


Dan ini pula kad comel daripada Alia untuk saya.

Thank you my dear

...rasa sangat teruja..sangat bangga.

MAMA



Sunday, May 9, 2010

Quiche Lorraine Untukmu



Salam dan Selamat Hari Ibu buat semua pembaca.


Hari ini saya nak kongsi resepi yang sangat sedap. Sebenarnya, saya sangat teruja dengan kesedapan roti dan pastry di The Loaf, Empayar Mall (near Subang Parade), maka saya pun sibuk membuka resepi lama. Nak bereksperimen dengan doh roti dan pastri pula amcam yang ada kat The Loaf.


Dan hasilnya, inilah dia Quiche Lorraine (disebut kish), berinti ayam dan daging. Resepi ini saya perolehi daripada Chef Asma semasa menghadiri kelasnya in 2008. Sebenarnya tak susah membuat quiche ni, cuma sos yang dipanggil Salt Royale itu mesti dituang menepu dalam pastri supaya dia terlebih lemak dan barulah terbit kesedapannya.

Sebenarnya ini bukan percubaan pertama kerana selepas menghadiri demo ini dahulu saya pernah mencubanya. Sekejap saja buat, dah selesai sepinggan. Tapi apabila dah lama tak menjamu selera dengan juadah ni, berkaratlah resepi tu kat dalam drawer. Jadi, apabila mencubanya semula, tak berapa menarik sangat. Pastri tak berapa rapuh dan inti pun macam kecut dan ciput. Jadi saya buat adunan kedua.


Kulit Quiche saya canai dan bakar separuh masak dan biarkan sejuk pada suhu bilik. Then, baru simpan dalam peti sejuk. Bila nak makan, just prepare sos dan inti, kemudian bakar. Selamat mencuba.

Bahan:
Base Quiche (short crust pastry)

250 g tepung gandum
125 g salted butter
1 tsp bijan (optional)
2 tbs susu tepung*
Air secukupnya.

* Saya tambah sendiri supaya lebih lemak.

Cara membuatnya:

STEP 1

1. Campur semua bahan di atas (kecuali air).
2. Gaul supaya menjadi crumble.
3.Baru tuang air sedikit demi sedikit sambil menguli sehingga doh sebati.
4. Canai nipis dan letak dalam acuan, masukkan filling.
5. Tuang sos salt royale ke dalam setiap Quiche.
6. Tabur dgn cheese mozarella dan parmesan (saya guna cheddar saja sebab kehabisan stok).
7.Hias dengan daun sup + daun bawang.
8. Bakar 25 minit + 150 darjah C.

caption: trim kelilingnya dan tekan dgn mata garfu supaya kemas.


RESEPI Filling

1 biji bawang besar dicincang dadu.
150 g mix vegetable (optional).
1 tbs tomato puri
150 chicken meat
Salt n pepper secukupnya
1 helai daun salam (bay leaf)
100 g mozarella cheese
50 g parmesan cheese
150 g butter

Cara Membuatnya

1. Panaskan butter dan tumis bawang. Dah wangi, masukkan daun salam.
2. Kemudian masukkan chicken meat dan mix vege.
3. Masukkan salt dan pepper. Kacau lagi supaya wangi.


RESEPI SALT ROYALE

250 ml fresh milk
50 ml whipping cream
3 biji telur
Garam dan pepper secukupnya.

Cara Membuatnya
1. Campurkan semua bahan dan pukul dgn garfu supaya sebati.
2. Tuang dalam quiche tadi.


Akhir kalam Selamat Hari Ibu, wasalam.
Sent via BlackBerry from Maxis

Saturday, May 8, 2010

Tanda Ingatan Buat Sang Ratu


caption: Kek untuk seorang Ibu.....karya Jun & Alia from Cupcakekasih

Selamat Hari Ibu kepada semua wanita. Sama ada yang sudah ada anak atau masih menunggu kedatangan sebuah anugerah daripada Yang Khalid. Ucapan ini juga applicable untuk anak perempuan, dara sunti juga yang sudah muda belia kerana setiap wanita itu adalah Ibu, walaupun setakat ini mereka sebenarnya tidak pernah melalui proses semulajadi untuk melayakkan diri secara rasminya dipanggil begitu.




Ibu angkat atau ibu tumpang (yang menumpangkan kasih sayang) juga berhak mendapat anugerah ini kerana pada pendapat saya, wanita golongan ini (yang seikhlasnya menerima zuriat orang lain untuk mereka kelek dan mereka didik) sebenarnya lebih hebat lagi darjatnya kerana sanggup mengorbankan segala keselesaan demi membesarkan seorang (atau lebih) anak angkat.....dengan lain perkataann, anak orang lain. Hanya wanita berjiwa besar saja yang sanggup memikul tanggungjawab ini, sementara kita cukuplah rasa bersyukur kerana Allah masih memberikan kita naluri keibuan sejati, membuatkan kita ada rasa sayang dan belas terhadap anak kandung sendiri. Tapi belum tentu lagi kita ini mampu berperasaan seiklhas itu terhadap anak orang lain. Betul tak?


Jadi kerana itu juga jangan kita pandang hina kepada wanita yang ditakdirkan tidak mampu hamil kerana mungkin mereka tiada anak kandung, tapi itu tidak menjadikan taraf mereka lebih rendah daripada kita yang sudah melahirkan ramai anak;


....kerana mungkin dari segi didikan, mereka lebih berjaya lagi dalam mengasuh anak angkat mereka itu sehingga menjadi hamba Allah yang terbaik sedang kita sendiri....?


....mungkin 'rebung-rebung' di laman kita itu gagal kita lentur sehingga menyebabkan mereka membesar sebagai `buluh betung' dengan juraian daun dan batang yang tinggi melampai sehingga mengganggu ketenteraman masyarakat. Jika ini berlaku....sebaik-baiknya kita muhasabah diri ya.

Jadi, Akhir kalam, Selamat Hari Ibu -- ucapan yang manis buat ibu...Sang Ratu.


Ucapan SELAMAT HARI IBU juga ditujukan buat emak di Kuala Kangsar dan MIL di PJ


Wasalam
Sent via BlackBerry from Maxis

Tuesday, May 4, 2010

Hikayat Sang Pemimpi


MIMPI itu mainan tidur? Atau peneman tidur?

Dan mimpi yang macam mana paling kita suka?


* Kalau ditanya sang perindu,
....pastilah mimpi bertemu buah hati yang paling ditunggu-tunggu,


* Kalau ditanya kepada yang mengharap,
....bulan jatuh ke riba,
... itulah mimpu yang paling kita suka,


* Dan kalau ditanya kepada jiwa yang terpisah?
... pastilah mahu diulik mimpi,
... kononnya tidur berbantalkan lengan si buah hati.

:-))

:-))


caption: Hadiah drpd Amalina utk ayah dan ibu


Tapi, bagi si ibu yang gundah,
atau si isteri yang pasrah
ataupun satu jiwa yang berserabut....
.... tepu dengan segala keluh-kesah,





....tidur tanpa mimpi, itulah yang palling dinanti-nanti. Alangkah indahnya jika sebaik sahaja badan direbahkan, mata pun terus kuyu, langsung terpejam. Jiwa pun tenang, hati pun lapang dan dalam tempuh beberapa saat saja roh pun melayang, dan kita terlena dengan minda kosong tanpa sebarang cerita...sebarang acara.



...zzzzzzzzzz
....lena. Selena-lenanya.


Sampailah saat kita membuka mata semula, dengan hari baru, semangat baru...ceria dan penuh bertenaga. Agenda harian yang sibuk pun bermula. Bukan cerita baru...tapi cerita lama...yang sama juga tapi kita hadapi penuh cerita, seolah-olah baru mendapat sejuta nyawa.


Tapi, rasa-rasanya hal begini jarang berlaku. Selalunya kita masuk tidur dengan badan letih dan fikiran tepu...jiwa pun bercelaru dek kerana urusan harian yang tak pernah berkesudahan. Dan saat kita terlena, mimpi indah yang diharapkan tak pernah kunjung tiba,


...sebaliknya yang datang hanya igauan saja. Dan igauan itu pun banyak berkisar pada segala haru-biru yang kita lalui pada sebelah siang, atau pada episod masalah yang tak jemu-jemu bertandang. Kesudahannya, apabila kita bangun semula pada keesokan harinya....separuh dari tenaga dan semangat kita sudah pun ditebus guna. Dan yang tinggal cuma sisa kudrat, bersama bayangan igauan yang kita alami semalam membuatkan rasa malas nak bergerak....sangat tidak larat.

Mujurlah saya tidak berada dalam golongan ini.... walaupun tidur sering diganggu mimpi. Ada yang seronok, ada yang entah apa-apa, sampai kita pun tenggelam punca. Tapi saya layan juga sebab kadang-kadang melalui mimpi saya dapat ilham dekorasi. Dan ini antara karya sang pemimpi....yang ralit merias cupcakes untuk anniversary dan harijadi.


Bola buat kekasih


Amalina minta tiga tema berbeza -- Mr Taurus yang gila bola, kawan yang bakal menjadi lawyer dan ulangtahun perkahwinan ayah dan ibu yang ke-22.

Ini pula istimewa buat bakal lawyer


Ini pula cupcakes yang ditempah Benjamin untuk buah hati yang dipuja-puja.

Kek Princess untuk Nur Yusra yang menyambut harijadi ke-9 pada Sabtu lalu.






Kek Ben 10 untuk Izzat.



zzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz
zzzz....




izinkan saya turu dulu,
mahu mencari mimpi buat halwa kalbu