Followers

COPYRIGHT & USE OF IMAGES
All images on this blog are copyright of CUPCAKEKASIH and may not be published without the permission. If you would like to use some of our images feel free to email me at cupcakekasih@yahoo.com

Wednesday, November 17, 2010

Kisah Korban Yang Manis





SALAM semua,

Selamat menyambut hari raya korban dan pastinya masih ada bercuti santai di kampung halaman. Kami sekeluarga tak balik Kuala sebab emak ada di sini dan adik dari Kuantan pun turun sama untuk beraya di KL. Lagipun, memang secara tradisinya kat KL ni hari raya korban ni tak semeriah Aidilfitri tapi di kawasan rumah saya ni sangat terasa suasana hari raya sebab masjid depan rumah dan selepas solat sunat Iduladha, majlis korban berlangsung dengan meriah. Tahun ini ada 15 ekor lembu. Jadi, bayangkan betapa sibuknya kawasan padang di depan rumah saya itu. Orang ramai bersesak-sesak, sampai susah nak dapat parking


Dan bercerita pasal korban ni, saya teringat kenangan manis 2008 apabila niat saya untuk mengorbankan seekor lembu untuk kami sekeluarga tercapai juga. Dan yang lebih manisnya kerana lembu korban itu dilunasi hasil berbisnis kek/cupcakes (yang ketika itu baru enam bulan saya usahakan secara serius). Saya sendiri pun tak sangka, begitu murah rezeki dan Allah memudahkan segala-galanya untuk kami. Kata orang masa tu kalau nak tumbangkan dua, tiga ekor sekali gus pun boleh, syukran Ya Allah. Memang betul kata orang itu kalau nak senang (senang cari rezeki, senang hati, senang jiwa raga.....maka buat bisnis). Kalau nawaitu polos, hasil tuaiannya....sangat 'manis' sekali. Seingat saya, kerja makan gaji 10-15 tahun pun, tak boleh dibandingkan dengan keseronokkan mengusahakan bisnis sendiri. Dan, alhamdulillan, selepas hampir tiga tahun mengusahakan Cupcakekasih ni, saya cuma ada kenangan manis saja. Dan saya harap, reseki kami murah untuk 2011.


Jadi, bagi menjawab soalan cepu emas yang banyak diajukan oleh adik-adik dan anak-anak yang baru menceburi bidang baking ini, adakah berbaloi mengusahakan bisnis online sepenuh masa? Jawapan muktamad saya ialah 'Ya'. Sama ada sepenuh masa atau secara sambilan. hasilnya lumayan. Kalau bukan dari segi wang ringgit, tapi dari segi lain. Misalnya ketenangan jiwa, sentiasa lapang dada, masa senggang yang lumayan dan tak perlu telan panadol (sekerap masa kerja dahulu).


Itulah yang saya rasai sepanjang tiga tahun ini. Dan kerana itu juga, walaupun ada juga yang 'melamar' saya untuk kembali menjadi Editor majalah, minta buat skrip drama dan program TV serta menerbitkan buku, tapi, setakat ni hati saya masih belum terbuka untuk berada di lane laju macam dahulu. Sejujurnya, saya tak sanggup dah nak mencatu masa antara keluarga dan segala macam kerja pejabat yang tak pernah habis tu. Jadi, setakat ni saya masih OK dengan menulis secara sambilan sahaja. Tapi, saya tak mahu cakap habis, sebab cerita takdir kita ni hanya Allah Taala saja yang tahu. Nanti saya kata 'tak mau', tiba-tiba esok dah kena gantung apron.


Maklumlah, hati ni selalu juga bergoyah apabila berdepan dengan tawaran yang sangat lumayan itu. Kadang-kadang datang rindu untuk kembali merasai suasana sewaktu deadline...apabila semua teman wartawan bermuka ketat akibat 'pisau' dah di tengkuk. Nak tenguk muka Editor pun tak berani sebab story belum siap lagi. Masing-masing macam kena gam kat kerusi dan mata hanya memandang layar komputer. Masa tu jangan sesiapa berani buat lawak bodoh, mesti kena tikam dengan jelingan paling tajam. Setiap detik yang berlalu bagai emas yang tiris dari genggaman. Hati bagai dipanggang...especially kalau orang/story yang kita nak interview tu tergamak membatalkan temujanji last minute.


Oh! Tidak......! Bukan senang nak cari story lain. Masa tu nak telan liur pun rasa pedih. Aduh! Kena pula masa tu anak demam, atau diri sendiri yang sakit, mahu tak mahu kena juga buat sebab kalau ruangan kita kosong siapa nak isi? Kawan-kawan lain pun dah cukup stressed dengan lambakan story yang perlu dicuci, disukat, disunting dan ditatarias secantik-cantiknya sebelum dipersembahkan kepada Editor sebagai final gate keeper.


Akan tetapi, apabila semua kerja dah siap aduh nikmatnya. Masa tu rasa serik pun hilang dan sanggup jadi wartawan sampai mati. Kata orang tu, serik sambal belacan, apabila hilang pedas, mulalah lupa daratan. Maka, kami kirai 'sayap' sehari dua, sebelum buka buku baru untuk bulan baru. Itulah kitaran hidup sang wartawan.


Jadi, kalau ada adik-adik yang nak berhenti kerja semata-mata nak buat kek sepenuh masa, saya rasa lebih baik kerja dulu. Rasai pahit jerih dunia pekerjaan, susah payah kerja dengan orang, nikmati hidup sebagai karyawan kantor yang boleh bergaya lela sepuas-puasnya. Laram semua fesyen yang ada. Nak pakai kanta lekap merah ke, biru ke, semuanya tak apa. Maklumlah masa muda, semuanya nampak cantik manis belaka. Kita mesti bina networking atau rangkaian kenalan dahulu. Jangan harap nak tag di Fecebook saja kerana manis mulut tak sama dengan sapaan di alam maya. Selepas melalui semua pahit manis itu, baru kita dapat menghargai apa yang kita buat sekarang, dan sentiasa positif walaupun muka comot dengan tepung, berpeluh-peluh mengadap bahang oven. Kira-kiranya, inilah penorbanan saya yang sangat manis sekali.


Jadi akhir kalam, saya kongsi gambar dua peserta dekorasi yang sangat gigih....bermual dengan zero, tapi kini sudah boleh menghias pelbagai jenis kek.




Bahiah bercita-cita tinggi, nak buka kedai kek. Modal dah ada, jadi sekarang ni kumpul kemahiran dan pengalaman. Kata bahiah, keluarganya suruh buka kedai tayar (sebagai kesinambungan bisnis keluarga) tapi dia mahu buka kedai kek juga. Tak apa Baie, nanti buat kek bentuk tayar, bagi kat Abah! ;-))


Cantikkan hasil gubahan Bahiah. Sekarang Cek Mek Molek ni dah tahu cara buat bungan gum ros size XL, teknik patchwork dan cara menindan kek.



Hazie pernah belajar dekorasi cupcakes (fondant) dan sekarang ni gigih mengambil tempahan di kalangan kawan-kawan> hei banyak sungguh tenaga pramugari ni...belajar lagi, kerja, kek, kucing, family....akak salute you!

Inilah karya manis Hazie yang kemas dan penuh citarasa.

0 comments: