TEDUH sudah sebuah panasaran. Tidur pun nyenyak dan pagi ini pun indah. Hati saya pun sudah kembali berbunga suka, macam kembang Peonies dan Freesia yang mengindahi kek hantaran ini. Menyulam kelopak bunga adalah terapi yang sangat menenangkan. Setiap kelopak gum paste ini dicanai satu-persatu, kemudian diliuk-lentukkan, sebelum dicantum mesra, untuk dijadikan sekumtum bunga.
Dan bunga Peonies ini juga adalah kegilaan baru saya. Walaupun sudah beberapa kali saya buat, tapi masih belum puas hati lagi dan dok improvise setiap kelopak supaya nampak lebih lembut. Begitu juga dengan Freesia lilac ini. Mudah sahaja membuatnya, tapi tak boleh terlalu nipis sebab nanti mudah pecah.
Dan untuk mencantikkan lagi kek ini, saya hiasi di kelilingnya dengan renda fondant. Satu lagi acuan paling cun dan menjadi kesayangan terbaru saya. Zarina, yang menempah kek ini hanya meminta saya hiasi kek dengan bunga dan latar warna merah kesumba. Dan yang lain-lain tu, ikut kreativiti kak Jun sajalah, katanya. Dan biasanya, kalau yang menempah tu tak cerewet macam Zarina ni, saya akan bagi extra lagi. Tambah itu dan ini, sampai benar-benar puas hati.
Kek Princess merah jambu ini juga ditempah oleh Zarina untuk Puterinya, Azra. Dan, yang ini pun saya hiasi dengan warna merah jamu atau merah kesumba. juga seperti yang diminta Zarina. Thanks dear, untuk semua tempahan. Dan kepada pembaca semua, selamat memyambut satu lagi hari...dan jadikan ia penuh makna -- untuk diri sendiri dan orang lain yang berurusan dengan kita.


Sampai jumpa lagi, wasalam
JUN, Usj
Subang Jaya
2 comments:
cantik bunga..hehe.....good luck, kak jun!
Salam Jun..
Kreativiti Jun takde tandingan, terpegun Rozz tengok deco kek-kek yang Jun buat...cantik sungguh.
Post a Comment