Followers

COPYRIGHT & USE OF IMAGES
All images on this blog are copyright of CUPCAKEKASIH and may not be published without the permission. If you would like to use some of our images feel free to email me at cupcakekasih@yahoo.com

Saturday, September 26, 2009

satu hari di hari raya (Part 3 -- rugi kalau tak baca)

Tak salah kan kalau mukkadimah blog saya ini masih pekat bersira suasana rayakan? Maklumlah....orang yang tak kerja macam saya ni...everyday is a holiday. Seronoknya sentiasa pada tahap maksimum. Sebenarnya saya ni tak kisah sama sangat sama ada nak beraya kat kampung saya di Kuala Kangsar ke atau di rumah sendiri di USJ atau pun ke Melaka bersama-sama saudara-mara cik Suami;



.... kerana pada usia sangat matang begini, tak sesuai langsung kalau kita nak bercerita pasal seronok atau tak seronoknya hari raya itu.



Topik itu cuma sesuai dibahaskan oleh budak-budak kecil saja. Bagi saya keseronokan berhari raya itu letaknya di hati kita. Dan, pelengkapnya ialah apabila kita dapat mencium tangan emak ayah kita. Jadi, walau pergi ke mana sekali pun saya tetap gembira -- selagi anak yang empat orang tu ada di sisi saya dan cik suami ku yang kacak itu ada depan mata dan dapat bersalaman dengan bonda (kalau dapat ziarah pusara ayah, itu dah kira bonus), maka saya anggap raya saya sekeluarga sudah pun meriah...seadanya.




captions: sesi salam raya dengan Mak Teh dan mendapat duit raya yang dinanti-nanti kan itu.


Jadi, sementara masih belum sibuk sangat ni, saya upload lagi gambar-gambar raya yang masih berbaki itu. Sebenarnya gambar yang lain banyak di hantar ke FB peribadi sahaja, tapi kali ini saya saja saya publish lebih sikit kat blog ni -- khusus buat tatapan saudara-mara yang tak sempat nak beraya dengan kami -- tapi masih teringin juga nak merisik kabar...nak tenguk juga kemeriahan sambutan raya kami sekeluarga :-))



....jadi, pandang-pandang dan jeling-jelinglah gambar raya di sini ya. Semoga terubat rindu di hati.





(p/s: sorry ya sebab saya tak dapat nak masukkan gambar cik Suami dengan bapanya. Gambar itu sangat peribadi dan saya tumpang gembira sebab cik Suami saya dapat berhariraya juga dengan bapa kandungnya itu, walaupun mereka tidak pernah berpeluang hidup sebumbung. Kata cik Suami...ibu bapanya tetap raja dalam hidupnya -- yang perlu dijulang dan diagungkan. Walaupun kita ada emak angkat atau bapa angkat ...apa-apa saja ganti namanya (yang kita ikrarkan sebagai ibu bapa yang kita sayang macam nak gila) tapi emak dan ayah kandung itu cuma satu sahaja di dunia ini. Suka atau tidak, manis atau pahit...buruk atau baik...itulah emak dan ayah kandung kita yang sudah ditentukan Allah sebagai penyambung nyawa kita untuk hidup di dunia ini. Jadi bagi yang masih ada rasa kelat di hati terhadap ibu dan bapa sendiri itu, buang jauh-jauh perasaan itu...redha saja pada ketentuan takdir. Adakah kita ini dilahirkan untuk menyakiti dan memusuhi ibubapa kandung kita sendiri? Fikir-fikirkan lagi hal ini sedalam-dalamnya dan pergilah sembah dan minta ampun emak dan ayah kita itu.

Amin!






captions: Adam dengan sepupunya...Ajwad dan Nubli.



captions: Adam and the gang....sepupu lelaki yang lebih kurang sama sebaya dan `sekepala'.





Ini pula Alia dan sepupunya juga. Ini cuma sebahagian saja...yang kecik-kecik tu tak payah kira ler.






Kek oh! Kek




Ya! Walaupun sibuk dengan raya dan rumah terbuka, sempat juga saya menyiapkan tempahan kek untuk hantaran perkahwinan dan pertunangan. Kebanyakannya adalah permintaan daripada regular customers, jadi sementelah saya cuma beraya di Subang Jaya saja, maka saya terimalah rezeki raya ini. Kek di atas itu adalah wedding kek yang sempat saya buat pada hari raya ketiga. Kalau nak tahu, kek itu ditempah oleh Ena, isterinya Kapten Mazly, untuk majlis perkahwinan kawan baiknya di Simpang Renggam.



Set ini untuk Nurul sebagai hantaran pertunangannya.
Ini pula adalah permintaan khas daripada Sharifah untuk pertunangan adiknya.


Tips dekorasi untuk raya




OK, bersempena raya, suka saya nak kongsi satu lagi cara merias cupcake menggunakan buttercream. Ini juga bersempena menjawab email yang dikirim Erna, pembaca blog yang kepingin menjamu tetamunya dengan cupcakes berias krim manis itu.



Saranan saya...kalau nak buat cupcakes, jangan buat size besar. Sebaliknya, size M atau S dah memadai sebab kebanyakan yang datang tu bukannya nak makan dessert sangat.... especially kalau kita banyak menyediakan juadah lain, terutama ketupat dan rendang. Cupcakes ni sekadar penyeri meja saja. Dan, bagi budak-budak pulak, depa memang suka makan cupcakes...tapi kalau perut tu dah penuh dengan macam-macam jajan, alamatnya depa jilat cream cupcakes itu sajalah dan cupcakes itu depa tinggal menyepah di sana-sini. Membazir kan? Jadi lebih baik buat yang kecil-kecil...sekali ngap jer dah lenyap :-))


Kalau nak rias cupcakes dengan kelopak carnation, gunakan nozel no 103 atau 101.

1. Sapu krimnya dahulu. Cara betul meratakan krim di atas cupcakes ialah dengan menyendengkan spatula 45 darjah.









2. Kemudian, sapu krim tu ke kiri dan ke kanan. Ratalah tu.




3. Pegang cupcakes di tangan kiri dan piping bag pada tangan kanan, Sendengkan 45 darjah dan picit dengan genggaman sederhana sahaja dan krim dibentuk seperti huruf 'n' kecil.






4. Hentikan picitan krim dan buat lagi satu huruf 'n' di sebelah kelopak yang pertama. Ulangi proses ini untuk lima atau enam kelopak.



5. Jika hendak membuat bunga carnations (teluki), buat kelopak di atas lapisan pertama itu. Latih dulu beberapa kali proses ini di atas bekas lain sehingga mahir, sebelum melakukan riasan langsung di atas cupcakes.





Inilah hasilnya. Selamat mencuba.



Resepi Buttercream



400 g gula aising (ayak at least tiga kali -- gula beli di baking shops sahaja).

200 g shortening (dipanggil krimwell atau creaming margerine)

beberapa titis esen & dan perisa yang anda sukai.


Cara membuatnya



* Campurkan gula aising yang sudah diayak itu dengan shortening. Pukul dengan kelajuan sederhana sehingga kedua-dua bahan ini benar-benar sebati. Tambah perisa yang anda sukai (termasuklah susu manis, pati lemak, coklat cair).

* Masukkan dalam piping bag yang sudah pun dipasang dengan nozel, dan mulalah meriasnya.



(adunan ini hanya sesuai untuk membuat bunga sahaja terutamanya yang berkelopak besar seperti bunga ros dan carnation).




Selamat mencuba dan selamat berhariraya.









This is my Hani, anak saudara saya yang akan berangkat ke Mesir Selasa ini untuk menyambung pengajian di bidang perubatan. Semoga Aidilfitri tahun depan kita masih panjang umur untuk bersalam-salaman. "Mak Lang ucapkan selamat maju jaya kepada Hani."


Salam juga buat Marina di Doha


Rasa macam mimpi...pejam celik, pejam celik...Marina sudah kembali lagi ke Doha. Gambar ini dirakamkan ketika Marina singgah sekejap ke rumah saya pada Jumaat lalu dan pada sebelah malamnya dia terbang pulang ke Doha. Kalau panjang umur, raya tahun depan kita berjumpa lagi ya Marina.

p/s: Jangan lupa jaga ladang Farmville tu tau...sian habis labunya mati.....! Kak Jun dah masuk level 20!!!

Thursday, September 24, 2009

Satu Hari di Hari Raya (Part 2)

SEJAK 1 Syawal kami sekeluarga terus beraya. Melawat semua saudara-mara selagi ada. Memang begitulah tradisi kita semua kan? Balik rumah tu cuma untuk mandi dan berehat sekejap saja...lepas tu....Jom Raya!


Dan, dalam keluar masuk tu, sempat juga saya masak-masak untuk keluarga dan adik-beradik kami (saya + cik suami) dahulu. Maklumlah rumah saya ni comel...jadi kalau nak jemput tu, mesti batch by batch. Barulah seronok....dapat makan puas-puas dan sembang puas-puas.


Malam raya ketiga, keluarga mentua datang beraya ke rumah kami. Menunya seperti rumah lain juga -- ada nasi impit dan rendang dan biskut raya. Seronoklah tenguk tetamu makan penuh selera kan?


MIL, biras, cik Suami dan adik ipar ketiga, Junaidah.
CERITA RAYA KEEMPAT PULA....

Ini pula cerita malam tadi. Emak dan adik-beradik saya pula datang beraya. Riuhnya jangan cakaplah sebab semuanya suka berlabon (bersembang). Jadi boleh dibayangkan macam mana suasana yang tersangat riuh rendah itu kan? Saya besar hati sangatlah meraikan mereka walaupun dalam hati ini risau juga, takut tak cukup itu ini. Mana lagi bimbang meja kerusi tak cukup....bimbang tetamu tak selesa pula. Maklumlah, rumah berbandung macam ni....nak extend kat mana lagi? Kalau boleh, nak juga korek basement....(mustahil ler pulak; walaupun memang ada juga berangan-angan ke arah itu LOL :-))

captions: Kak Anisah (kakak sepupu), saya sendiri, emak, Kak Da (kakak sulung) dan Nor (adik).

Gambar di atas ini akan menjadi kenangan seumur hidup sebab cerita takdir kita tak tahu. Apapun, kita nikmati sahaja limpah rahmat rezeki yang diberikan Allah ini. Saya suka tenguk anak-anak saya happy bertemu sepupu yang ramai itu. Kegembiraan saya lagilah berganda-ganda.



Lebih menarik lagi, tahun ini, mak saudara saya, Cik Nor (yang asyik makan biskut raya), pun sudi memeriahkan majlis raya di rumah saya. Terima kasih daun kaladi ya Nor, nanti sudi-sudilah datang lagi.



Adik saya, Dr Norsidah, datang all the way from Kuantan.



Sembang-sembang dan makan-makan.



Inilah part yang paling best....apa lagi kalau bukan sesi bergambar! Selagi ada -- SLR, compact, camera phone, video cam....semua sibuk merakam kenangan manis ini!






Opah dengan cucu perempuannya -- Munirah, Hani, Alia, opah, Ika dan Maisarah.


Mak Teh diapit Hani dan Ika.

Reyes pun nak bergambar juga


Ok, setakat ini dulu sebab saya nak pi rias kek dahul. Akhir kalam....selamat hari raya dan maaf lahir batin.

....tbc/ cerita raya Part 3

Monday, September 21, 2009

Satu Hari di Hari Raya

Selamat hari raya dan maaf lahir batin,


...saya ucapkan kepada semua bloggers tegar yang tetap setia berhari raya dari satu blog ke satu blog dengan perasaan penuh riang ria. Maklumlah siang tadi kita semua sudah pun boleh menikmati ketupat dan rendang, dari pagi hingga rembang ke petang, menyebabkan segala rasa kempunan dan mengidam sudahpun hilang. Betul tak? Dan, yang peliknya, rasa sedap rendang dan ketupat raya ni lain macam sikit berbanding daripada hari-hari biasa...betul tak? Kita makan 10 kali pun tetap tak jemu. Kalau pergi ke 10 rumah pun, kita terkam yang itu juga. Hem...mungkin inilah nikmatnya raya.



Baiklah, sesuai dengan mood raya yang sedang hangat diperkatakan sekarang jadi eloklah saya buka cerita bab raya juga kan? Oh! raya saya kali ini seronok bebeno sebab banyak harapan dan keinginan saya sudah pun menjadi kenyataan. Tapi tak payahlah saya singkap semua di sini, sebab yang penting, hati saya sekarang sangat happy. Jadi, biar saya kongsi serba sedikit moment raya yang sangat indah dan sempat saya rakam itu di sini.



Ok, cerita paling wahid -- maskot Cupcakekasih, iaitu....none other than Ariana Nur Kasih Roslan. Sukanya dia dapat beraya walaupun hanya berjaya berpuasa (emmmm....berapa hari saja ya?). Tapi, tanpa rasa bersalah sedikit pun, Kasih menikmati keseronokan beraya hingga ke tahap maksimum. Pagi-pagi lagi Kasih dah bangun dan tak payah disuruh-suruh pun (macam selalu tu...), Kasih mandi dan berias sendiri. Seronoklah tu sebab dapat berbaju raya (yang baru sempat dibeli minggu lepas).





Ini pula Arina. Jangan salah sangka ya...dia bukannya terkena renjatan elektrik. Tapi dia ni memang super duper hyper active dan buat apapun secara spontan. Contohnya.... posing ala-ala bintang Hollywood ni...orang suruh duduk elok-elok, dia siap baring-baring. Jadi, begini bunyinya caption yang sesuai untuk gambar ini ...



"Arina tersangat gembira sebab dapat puasa penuh 30 hari dan selepas ini dia dah boleh makan siang semula sesuka hati dan dapat pula hadiah monopoly seperti yang mama janji."




Yay! Hip hip hooray 3x untuk Arina.




Ini Adam....satu satunya anak jantan saya...(sesiapa nak berbesan dengan saya...sangat dialu-alukan). Walaupun PMR tinggal beberapa hari saja lagi, Adam tetap mahu beraya sepenuh hati sehingga ke tahap maksimum juga. Tabah sungguh hati Adam ini bukan? Dan, dia telah membuat keputusan untuk melipat gandakan mood raya sakannya itu apabila mendapat tahu yang saya akan membuat solat hajat khusus untuk dia menjelang PMR nanti. Hai Adam....Adam.... :-))






Well ini Alia dengan baju raya konsep vintage ala 50-an. Bukan senang tau nak penuhi selera fesyen Alia ni. Puas saya cadang itu ini dan last-last fesyen potongan ala Saloma ini menambat hatinya. Ingat Alia....laram-laram juga, SPM tak lama lagi....and minggu depan dah nak sit for driving test. Mesti lulus cemerlang tau (senang hati saya sebab selepas ni dah ada driver percuma :-))




Ini acara rasmi keluarga, bergambar sekeluarga dulu sebelum mula jalan-jalan raya.





Cuba lihat betapa klasik gambar ini. Kalau nak tahu, caption gambar ini berbunyi begini:


"Alia dalam dakapan Papa, bergaya dengan baju sontok dan seluar katok kuning yang mama beli di Mother Care...khas untuk Alia celebrate hari raya yang pertama. Dan gambar di sebelah itu pula episod terkini -- Alia yang sudah besar panjang, bergaya di sebelah papanya; yang tetap kacak berbaju biru, ditaja oleh Mama."





Seronok saya...lengkap sudah raya saya apabila saya dapat mendakap emak pada lebaran kali ini. Seronok sangat...rasa nak pecah korset yang ku pakai itu ...sebab hati saya menjadi kembang macam bunga penuh setaman. syukran ya Allah.



Ini adalah rakaman detik-detik manis beraya di rumah kakak saya Zuraida di Sungai Pencala Syukran Ya Allah....!




Kenangan manis dan ini adalah hadiah dan rahmat dari Allah. Tenguklah betapa seronoknya saya dapat beraya dengan kakak saya Zuraida....yang juga pakar masak dan merias kek.








Ini pula rakaman sesi lepak dot com di rumah ibu mentua saya selepas solat Eidulfitri.





Saya akan sambung coretan raya saya ini lagi kerana kerana hari sudah larut benar dan saya perlu tidur dahulu sebab esok hendak berjalan jauh pula. Kali ini kami nak melawat saudara mara suami di Melaka.



akhir kalam...



Selamat hari raya. Amin.

Wednesday, September 16, 2009

(...ya saya masih membilang jari)

Semakin hampir Aidilfitri, saya menjadi resah sendiri. Masakan tidak! Jadual saya selepas ini…ya ampun! Saya sendiri tak sanggup nak tenguk. Nampaknya bulan madu saya sudah hampir ke penghujungnya dan selepas ini silap-silap saya akan tidur berdiri.



Maklumlah, tak lama lagi satu Malaya kompang berbunyi -- riuh rendah dari Perlis sampai ke Johor. Semuanya gara-gara ramai ibu bapa yang memilih tarikh seminggu selepas raya untuk sambut menantu.



Dan kerana hal ini juga, saya pun tumpang sibuk juga dan sudah mula menyiapkan berpuluh-puluh kuntum bunga gum paste untuk merias kek dan cupcake. Saya sengaja buat awal sebab tak mahu memakai bunga fondant sebab sekarang ini cuacanya tak menentu. Jadi, daripada saya mengangis tak berlagu kalau semua kelopak bunga terlentuk, lembik dan 'layu', lebih baik saya bersusah payah sedikit menguli gum paste yang liat itu untuk membentuk kelopak ros, teluki dan melati. Kalau tidak, bimbang nanti ada pulak pengantin yang menangis tak berlagu (nauzubillah). Maklumlah, bukannya senang nak bawak kek dan cupcakes ni berjalan jauh.



Ada yang nak ke Kota Bharu...Miri, Lundu, Ipoh....Kedah. Dan, yang nak sambut harijadi pun sama-sama rancak membuat tempahan. Setiap kali sms masuk...saya hanya teraya menggeleng saja. Walaupun terasa kesian juga...tambah pulak yang tulis diiringi emosi syahdu tu....tapi saya terpaksa tolak juga. Nak buat macam mana? Nak pas kat kawan-kawan yang lain pun tak boleh sebab list order depa pun dah panjang berjela.



Tak tahu dah berapa banyak butter dan gula yang saya borong, Bimbang juga harga naik lagi sebab masa ni semua orang sibuk nak buat biskut raya. Bake With Yen yang besar itu pun terasa sempit sampai nak tolak troli pun tak boleh. Berlaga punggung. Kata Shashue banyak barang di baking shop kat area rumah dia tu habis sampai dia terpaksa melintasi beberapa tol semata-mata nak beli sekampit gula..hem :-((



Terlanjur berulang-alek ke BWY tu, sempat juga saya beli barang-barang baking yang dipesan Rina di Perlis dan sudah di pos laju Selasa lalu. Sebenarnya Rina ni pernah hadiri kelas sekorasi saya dan dia minta tolong beli beberaoa barang yang diperlukan untuk merias kek. Maklumlah, kata Rina kat Perlis tu langsung tak ada tempat nak borong. Biasanya dia kena turun ke Alor Star atau Penang. Jadi, saya beli yang asas saja untuk Rina. Tak lah mahal sangat...semuanya dalam RM140 sahaja dan Insyaallah, menjelang lebaran ni...anggun ler meja hidangan di rumah Rina dengan cucpakesnya yang cute-cute itu :-))



captions: Kalau tak ada ini....saya tak boleh buat bunga dan figurine fondant tau...!

Ini pun penting juga....
Memang dah rezeki Rina...! Ini adalah set cutter daun yang terakhir bergantungan di rak kat BWY tu. Biasanya benda ini sold out memanjang tau. Maklumlah...kalau nak beli yang ori mahal tiga kali ganda...jadi saya selalu beli ekstra untuk simpanan hari tua.


Oh! Ini tak ada kena mengena dengan cerita persiapan raya saya. Tapi cerita petang semalam. Tempahan untuk Miss Jamie. Saya anggap ini adalah tempahan paling pantas dan tak sampai sejam deal closed. Kata Miss Jamie dia mencari secara rambang sahaja dan terjumpa blog saya dalam Google....kemudian dia called. Memang saya pun tengah ada mood nak rias cupcakes dengan buttercream...jadi roger sajalah. Aduh bestnya kerja macam ni. Tak perlu redah hujan panas lagi. Duduk saja di dapur! Biar kek dan cupcakes saya saja bergerak ke seluruh Malaya. Syukran Ya Allah.






Dan saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada majalah Intrend kerana sudi memilih blog saya sebagai 'Blog Pilihan' untuk bulan ini. Thanks ya Rozie...editor Intrend yang sangat trendy itu dan juga Haizan....penolong pengarangnya yang kekal awet ayu itu.

Buat semua...selamat meneruskan ibadah puasa....rebutlah Ramadan yang terakhir ini. Tahun depan belum tentu kita akan bertemu lagi dengan bulan yang mulia ini.....semuanya bergantung rahmat daripada Illahi.

wasalam